Followers

Tuesday, December 8, 2009

Media Malaysia, Indonesia berperanan rapatkan hubungan: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Media Malaysia dan Indonesia mempunyai peranan yang besar dalam merapatkan hubungan kedua-dua negara serta bertindak untuk menghapuskan segala salah sangka di kalangan rakyat di negara masing-masing.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerjasama erat antara kedua-dua negara juga dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan sesuatu pihak sebelum ia menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat yang membaca kandungan sesebuah laporan.

"Media mempunyai peranan sangat besar kerana ia akan mempengaruhi pemikiran dan persepsi orang yang membaca kandungan laporan mereka.

"Jadi, saya yakin kita (Malaysia-Indonesia) perlu mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik agar laporan yang dikeluarkan tidak mengganggu sensitiviti rakyat di dua buah negara ini," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2009 bertajuk "Peluang dan Cabaran Daripada Perspektif Media dan Perniagaan" di sini, hari ini.

Mahathir yakin media kedua-dua negara bukanlah hanya mementingkan kemajuan dan agensi masing-masing, tetapi juga sensitif terhadap hubungan dengan sesama negara.

"Sekiranya ada hubungan yang baik di kedua-dua belah negara, sesebuah laporan yang dikeluarkan itu dapat ditentukan salah atau benarnya.

"Hubungan yang baik dan harmonis, komunikasi yang lancar dan saling memahami juga akan dapat menghalang gerakan anasir berniat jahat yang datang untuk menimbulkan perbalahan kedua-dua buah negara ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan perhimpunan dan forum yang bertujuan merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia diadakan tahun depan dengan menjemput media kedua-dua negara melawat agensi media negara masing-masing.

"Saya gembira melihat kehadiran media dari kedua-dua negara ini. Saya cadangkan supaya tahun depan satu perhimpunan yang sama diadakan, kalau sering berjumpa, maka salah faham dapat dihapuskan.

"Bila ada hubungan yang rapat sebegini, maka saya yakin rakyat juga akan mempunyai persepsi yang sama dan akan berasa senang untuk melawat negara masing-masing," katanya. - Bernama

Malaysia, Indonesia perlu bersama tangani isu minyak sawit: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh dibiarkan berseorangan mendepani "serangan" memburuk-burukkan minyak sawit di pasaran antarabangsa, kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

"Ini kerana Indonesia juga adalah pengeluar utama minyak sawit. Jika kedua-dua negara ini bergabung dan mempunyai satu suara, ia akan lebih berkesan," katanya dalam ucaptama di Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2009.

Katanya, hasil yang baik kelak bukan sahaja dinikmati oleh Malaysia tetapi Indonesia dan pengeluar minyak sawit dunia yang lain.

Minyak sawit ketika ini menghadapi kempen "anti minyak sawit" dari pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan aktivis di Eropah yang kini giat mempengaruhi penggubal keputusan menghentikan importnya menerusi perundangan.

Minyak sawit adalah pesaing utama bagi minyak soya.

Bagi tujuan sama, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun turut menyarankan supaya kedua-dua pemimpin negara itu lebih lantang menyuarakan pendirian yang sama di medan perbincangan antarabangsa.

"Ia akan menjadikan kedua-dua negara lebih dihormati. Kebiasaannya di peringkat Asean, apa sahaja yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia, ia akan diterima dan tidak dipersoalkan lagi oleh negara anggota lain," katanya.

Pada sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata beliau pernah menasihati Indonesia dalam menangani krisis kewangan 10 tahun lalu, supaya tidak tunduk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Ya, saya ada meminta Presiden Suharto berbuat begitu. Tetapi mungkin krisis yang berlaku memberi kesan lebih teruk berikutan kejatuhan nilai rupiah berkali ganda daripada kejatuhan nilai ringgit dan memaksa Indonesia menerima bantuan IMF," katanya.

Ditanya apakah yang beliau akan lakukan bagi memajukan Indonesia sekiranya beliau adalah Presiden negara itu ketika ini, Dr Mahathir menjawab, "saya akan lakukan seperti apa yang saya lakukan ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu."

Hampir semua soalan diterima daripada delegasi Indonesia yang rata-rata mengkagumi pentadbiran beliau membangunkan Malaysia.

Ditanya apakah impian beliau yang belum tercapai ketika usia bakal mencecah 85 tahun pada 20 Disember ini, beliau berkata:

"Saya ingin melihat Malaysia mencapai negara maju pada tahun sasaran 2020." - Bernama

RMK-10 beri tumpuan baiki infrastruktur Sabah, Sarawak

TOKYO: Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10) akan memberi tumpuan untuk memperbaiki infrastruktur utama seperti jalan dan air di Malaysia, terutama sekali di Sabah dan Sarawak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan mempastikan ada keseimbangan pembangunan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Oleh kerana kawasan yang luas, kemudahan infrastruktur di Sabah and Sarawak tidak begitu lengkap, seperti bekalan elektrik dan air yang tidak sampai dan jalan asas yang tidak begitu lengkap.

"Namun, Semenanjung Malaysia pun ada kawasan yang perlukan kemudahan asas yang lebih baik, terutamanya dalam kawasan pedalaman. Kerajaan akan ambil perhatian juga," katanya dalam satu sesi soal jawab dengan pelajar dan warganegara Malaysia yang bekerja di Jepun.

Muhyiddin kini dalam satu misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun mulai semalam hingga Khamis. - Bernama

Label Dr Mahathir sebagai perkauman melampau: TPM

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah agak terlampau untuk melabelkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai perkauman.

Beliau berkata, Dr Mahathir sudah banyak berjasa kepada negara dan masih mampu menyumbangkan idea.

"Jadi hendak menyebut beliau sebagai perkauman itu agak terlampau. Dia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) kawan saya juga tetapi tidak tahu kenapa perkara itu terkeluar.

"Dalam situasi politik negara hari ini macam-macam pihak boleh menyalahtafsir," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Muhyiddin yang dalam misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam yang melabelkan Dr Mahathir sebagai perkauman kerana mempertahankan modul kurikulum Biro Tata Negara (BTN).

Dr Mahathir sebelum itu berpendapat kerajaan tidak perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga perlu merombak modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN dan telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di Malaysia.

Muhyiddin berkata, semua pihak terutamanya pemimpin seharusnya tidak terperangkap dengan strategi pembangkang sehingga berlaga-laga dan berdebat sesama sendiri.

Beliau berkata, adalah lebih berfaedah sekiranya semua pihak mengambil pendekatan kurang bercakap.

"Jadi sebaik mungkin, supaya kita tidak dilihat berdebat secara terbuka, saya rasa tidak perlulah berdebat atau berpolemik mengenai agensi-agensi kerajaan seperti BTN," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak berkuasa di beberapa negeri, pembangkang mempunyai strategi untuk "memperlekehkan" semua institusi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi diraja mahupun BTN supaya semua rakyat akan buruk sangka terhadap kerajaan dan pemimpin.

"Ini strategi mereka. Selama ini kita tidak berdebat soal-soal begitu. BTN adalah untuk kepentingan negara dan bukan bertujuan membawa kesan buruk kepada negara.

"Jadi kalau kita terperangkap dengan agenda pembangkang, saya rasa ia mungkin membawa kesan yang tidak baik seperti kes ini di mana pemimpin terpaksa berlaga sesama sendiri dan mereka tersenyum sahaja apabila agenda mereka berhasil," katanya.

Muhyiddin berkata, apa yang lebih ditakuti ialah jika ada gerakan tertentu yang dibuat secara halus oleh pembangkang untuk melaga-lagakan pemimpin dan memperlekehkan institusi dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, rakyat sudah bosan dengan politiking yang terlalu banyak dan pemimpin sepatutnya menghentikan debat politik dan menumpukan soal-soal yang lebih penting seperti pembangunan.

"Tapi kita kadang-kadang terperangkap dan bergaduh sesama sendiri yang bagi saya ia tidak berfaedah," katanya. - Bernama