Followers

Wednesday, November 25, 2009

Belia berusia 21 tahun daftar automatik sebagai pengundi: Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini mencadangkan supaya warga negara yang mencapai umur 21 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.

Beliau berkata, sistem pendaftaran pemilih automatik ini telah diamalkan di Jerman, Finland, Denmark, Norway dan Taiwan dan berjaya mengurangkan jumlah belia yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada Khamis lalu memberitahu Dewan Rakyat dalam satu jawapan bertulis bahawa sehingga 20 Oktober lalu, seramai 4,300,542 belia sudah mencapai umur 21 tahun tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Ini adalah satu angka yang besar," kata Teo pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau berkata, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mempunyai tarikh kelahiran dan alamat kesemua warga Malaysia, maka proses pendaftaran secara automatik boleh lakukan tanpa sebarang masalah.

Teoh berkata, cara itu dapat menjimatkan wang, tenaga dan masa. - Bernama

Sabah & Sarawak: Rakyat Malaysia diminta pertahan perpaduan

KOTA KINABALU: Status Malaysia sebagai model negara pelbagai kaum yang berjaya menyediakan kehidupan berkualiti untuk rakyatnya perlu dipertahankan, terutama ketika menghadapi cabaran yang berpunca daripada perbezaan ideologi politik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata ketahanan rakyat pelbagai agama dan bangsa menghadapi cabaran berkenaan penting bagi memastikan perpaduan yang menjadi kunci pembangunan negara mampu dipertahankan.

"Negara sentiasa berdepan pelbagai cabaran yang mungkin boleh menggugat perpaduan rakyat pelbagai kaum. Elemen perbezaan ideologi politik itu umpama api dalam sekam jika kita tidak berhati-hati.

"Oleh itu, kita perlu belajar daripada sejarah kerana ahli falsafah menyatakan bahawa jika kita tidak belajar daripada sejarah, kita akan disumpah untuk mengulanginya. Keadaan seperti ini menyebabkan ada beberapa negara bersengketa," katanya.

Beliau berucap merasmikan Bengkel Gagasan 1Malaysia, anjuran Biro Tatanegara (BTN) dengan kerjasama Biro Penerangan Umno Sabah yang bertujuan meningkatkan kefahaman peserta bengkel mengenai gagasan berkenaan, selain memupuk semangat patriotisme.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Penolong Setiausaha Perhubungan Umno Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Bengkel itu dihadiri kira-kira 300 peserta membabitkan pemimpin politik, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

Musa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, berkata rakyat juga harus menerima perbezaan berkenaan secara rasional dan tidak menjadikannya sebagai faktor yang boleh mengancam kemakmuran negara.

"Kita perlu akui, walaupun bersifat pelbagai, kita masih ada persamaan terhadap nilai yang kita kongsi bersama. Gagasan 1Malaysia janganlah disamakan dengan pendekatan 'Malaysian Malaysia' atau apa juga persamaan yang dibawa pihak lain," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Sabah dipilih sebagai negeri pertama menganjurkan bengkel berkenaan kerana negeri ini adalah contoh terbaik dalam gagasan berkenaan berikutan sifat kepelbagaikan kaumnya.

"Sabah negeri pertama menganjurkan bengkel ini kerana ia adalah contoh terbaik negeri yang mempunyai pelbagai kaum, iaitu lebih 35 etnik," katanya.

Sabah & Sarawak: IPTS disaran tingkat kursus kemahiran

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyarankan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri itu menawarkan kursus bersesuaian dengan perkembangan dan perubahan semasa supaya graduan yang dilahirkan berupaya bersaing dalam pasaran pekerjaan serta ekonomi yang semakin mencabar.

Pada masa sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata IPTS juga perlu memperbanyakkan kursus kemahiran tambahan ke arah membentuk graduan yang bukan saja berpengetahuan tinggi, malah memiliki ketrampilan dan pelbagai kemahiran diri.

Katanya, pendekatan itu penting bagi membantu meningkatkan peluang graduan IPTS memasuki pasaran pekerjaan terutama dalam bidang baru yang dikenal pasti berpotensi dikembangkan sebagai penjana ekonomi negeri.

"Saya percaya pelajar memilih melanjutkan pengajian di IPTS berikutan kualiti pendidikan yang ditawarkan dan kursus pengajiannya menepati kehendak keperluan pasaran pekerjaan serta industri.

"Bagaimanapun, IPTS harus memberi penekanan kepada aspek keupayaan pasaran dalam kursus dan latihan yang ditawarkan.

"IPTS perlu mengambil kira perkembangan dan perubahan semasa supaya kursus ditawarkan relevan bagi keperluan jangka panjang," katanya pada majlis perasmian Konvokesyen ke-14 Kolej Yayasan Sabah (KYS) di Auditorum Tun Raffae, Menara Tun Mustapha di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Dr Johan Ariffin Abdul Samad; Pengerusi Lembaga Pengarah KYS, Datuk Kamal Quadra dan Ketua Eksekutif KYS, Dr Dayang Aminah Ali.

Musa berkata, kerjasama IPTS diperlukan bagi membantu kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional terutama dalam bidang berasaskan sains dan teknologi.

"Penekanan yang diberi kerajaan dalam bidang ini berjaya menghasilkan ramai penyelidik, pakar sains, kejuruteraan, perubatan dan teknologi maklumat yang mahir tetapi jumlahnya masih tidak mencukupi menampung keperluan sektor perkhidmatan dan industri.

"Kita mengiktiraf dan menghargai sumbangan IPTS kerana ia dapat membantu perkembangan bidang pendidikan dan sektor perkhidmatan di negeri ini, terutama dalam bidang teknikal dan kemahiran yang dikehendaki pasaran kerja semasa," katanya.

Mengenai KYS, Musa melahirkan kebanggaan kerajaan negeri kerana kolej itu adalah antara IPTS tumpuan dan pilihan sebilangan besar pelajar di Sabah, dengan kira-kira 1,900 pelajar ketika ini.

Beliau berkata, KYS menyediakan peluang dan tempat khususnya untuk rakyat Sabah melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, sekali gus membantu menjadikan negeri sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini.

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan memberi peluang dan tempat kepada lebih ramai pelajar lepasan sekolah tempatan, terutama yang tidak berpeluang memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya.

Sementara itu, pada majlis konvokesyen KYS kali ini, seramai 400 graduan menerima diploma dan sijil berbanding 230 orang pada konvokesyen ke-13 pada tahun lalu.

Sabah & Sarawak: 38 sekolah agama lulus 100 peratus

KOTA KINABALU: Sebanyak 38 sekolah rendah agama kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan swasta di seluruh negeri dan Labuan mencatat pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) bagi tahun ini.

Daripada jumlah itu, 18 adalah Sekolah Rendah Ugama Negeri (SAN) atau turut dikenali sebagai Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS) manakala 19 adalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sebuah lagi ialah Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) Wilayah Persekutuan Labuan.

SAN di Bahagian Pedalaman Bawah adalah yang paling banyak mencatat keputusan 100 peratus iaitu SAN Kabidang, Lubak dan Kota Klias di Beaufort, SAN Ulu Sipitang, Pelakat dan Naluyan di Sipitang serta SAN Haji Hashim di pekan Menumbok, Kuala Penyu.

Ia diikuti SAN Bahagian Pedalaman Atas dengan empat sekolah mencatat 100 peratus iaitu SAN Rumah Anak Yatim, Tambunan, SAN Meninipir dan Pekan Apin-Apin di Keningau serta SAN Chinta Mata di Tenom manakala di Bahagian Tawau pula dua SAN tersenarai iaitu Silabukan, Lahad Datu dan Merotai Besar, Tawau.

Bahagian Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Sandakan dan Labuan masing-masing hanya ada sebuah SAN mencatat 100 peratus iaitu SAN Tambalang (Tuaran), Libang (Ranau), Kolapis (Beluran) dan SRAI Membidai (Labuan).

Bagi kategori SAR, antara yang mencatat keputusan 100 peratus ialah SAR Al-Mubaraj Masjid Bandaraya, An-Nur Kingfisher, Al-Hidayah Kuala Menggatal dan SAR Rampayan, Menggatal di ibu negeri serta SAR Klias Baru dan Kebulu di Beaufort.

Turut tersenarai ialah SAR Bukit Quoin (Lahad Datu), Darul An-Nur Hamparan Badai (Lahad Datu), Gugusan Felda Kalabakan (Tawau), Masjid Quba (Tawau), Al-Falah Tanjung Batu Darat (Tawau), Al-Mukarramah Tanjung Batu Keramat (Tawau) serta SAR Al-Muraqabah dan Taman Samudera di Sandakan.

SAR lain termasuk Pusat pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari dan SAR An-Nur di Kota Belud, SAR Al-Khairiah Kemburongoh dan Bestari di Ranau serta SAR Bariawa Ulu di Keningau.

Mengumumkan keputusan itu di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah baru-baru ini, Pengarah JHEAINS, Datuk Amri Suratman, berkata seramai 4,317 murid dari 194 sekolah termasuk 103 SAN, 80 SAR dan 11 SRAI menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 3,395 murid atau 78.6 peratus lulus dengan masing-masing tiga orang mendapat tahap cemerlang (Mumtaz), terbaik atau Jayyid Jiddan (118), baik atau Jayyid (937) dan lulus atau Maqbul (1,158).

Tiga murid yang mendapat tahap cemerlang ialah Liyana Jefrin dan Nur Wahyu Kamil dari SAN Kampung Bayangan, Keningau serta Siti Zaleha Abdul Tahar dari SAN Kampung Kukut, Beaufort.

Bagi Sijil Menengah Ugama SMU) , Amri berkata dua sekolah kendalian JHEAINS mendapat keputusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Ugama Islam (SMUI) Tambunan dan SMUI Pekan Kunak.

"Dua sekolah lagi iaitu SMUI Toh Puan Hajah Rahmah, Kota Kinabalu dan SMUI Pantai Manis, Papar masing-masing hanya mendapat 97.2 peratus dan 89.3 peratus.

"Sementara itu, dua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) iaitu SABK Islamiah Tawau dan SABK Marakau Ranau masing-masing mendapat 92.9 peratus dan 52.6 peratus," katanya.

Tahun ini, katanya, 214 daripada 240 pelajar yang menduduki peperiksaan SMU di enam sekolah terbabit lulus dengan masing-masing 105 pelajar mendapat pangkat satu, pangkat dua (41) dan pangkat tiga (68).

Empat pelajar iaitu Anith Fatihah Fakhrurazi (SMUI Toh Puan Hajah Rahmah), Masnih Mustapa (SMUI Toh Puan Hajah Rahmah), Nurfaezzah Umirah Mohd Rasid (SABK Islamiah Tawau) dan Masnitah Jamlin (SMUI Pekan Tambunan) terpilih sebagai pelajar cemerlang SMU bagi tahun ini.