Followers

Monday, November 23, 2009

Malaysia tak serang pihak lancar kempen anti minyak sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendekatan tidak menyerang secara terus kepada pihak yang melancarkan kempen anti minyak sawit sebaliknya menggunakan strategi perbincangan bersama pengeluar minyak masak lain di seluruh dunia.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata ini kerana apabila penggunaan minyak masak daripada kelapa sawit berkurangan pada masa depan, sudah tentu permintaan minyak masak daripada bahan lain akan meningkat.

"Untuk menyerang pihak lawan, kita terpaksa mempunyai beberapa strategi yang mungkin berbeza dengan pihak lawan di mana kita bukan hanya melihat pengeluar minyak masak lain seperti kacang soya, biji sesawi dan minyak jagung sebagai pihak lawan.

"Tetapi yang kita mahu sekarang ini adalah untuk beritahu kepada mereka bahawa kita adalah kawan kepada pengeluar minyak masak yang lain kerana penggunaan minyak masak di seluruh dunia akan bertambah dari semasa ke semasa.

"Sebab itu lebih baik pengeluar-pengeluar minyak masak di seluruh negara untuk duduk sekali dan kenali kekuatan masing-masing dalam industri minyak di dunia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hamzah berkata Malaysia dan Indonesia serta negara pengeluar minyak masak lain juga telah bekerjasama dalam menangani kempen-kempen anti minyak sawit yang bertujuan untuk menyekat import minyak sawit yang dilancarkan oleh aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara Barat.

Beliau berkata kejayaan industri sawit sama ada di Malaysia atau negara pengeluar yang lain telah memberi saingan hebat kepada pengeluar minyak dan lelemak dunia seperti pengeluar minyak kacang soya dan biji sesawi.

"Mereka akan menggunakan pelbagai taktik yang berbentuk tarif dan bukan tarif untuk mengurangkan penerokaan pasaran minyak sawit dunia," katanya.

Hamzah berkata sehubungan itu, kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah melaksanakan beberapa aktiviti bagi menangani perkara itu termasuk menyebarkan maklumat mengenai pengeluaran minyak sawit mapan melalui laman web khusus seperti www.mpoc.org.my.

"Selain itu, MPOC juga menerbitkan iklan-iklan dan dokumentari mengenai pengeluaran minyak sawit mapan di beberapa saluran televisyen utama termasuk CNBC dan Bloomberg," katanya.

Beliau berkata MPOC juga membiayai kajian-kajian berkaitan minyak sawit dari segi kesihatan serta menganjurkan lawatan kerja yang diketuai menteri dan berdialog dengan NGO.

"Dengan pelaksanaan program-program ini, kementerian harap lebih banyak fakta mengenai kemapanan minyak sawit dan kebaikannya akan dapat dimaklumkan dan dalam jangka masa panjang, ia akan dapat mengurangkan tohmahan tidak berasas terhadap industri sawit," katanya.

Beliau berkata peruntukan awal sebanyak RM24.1 juta dan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun depan juga adalah mencukupi untuk membiayai program-program bagi menangani kempen anti minyak sawit. - Bernama

Malaysia bukan pusat pengedaran peralatan, teknologi nuklear

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah menjadi pusat pengedaran atau penghantaran peralatan dan teknologi nuklear ke Iran, kata Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, hari ini.

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa kes rakyat dan syarikat dari negara ini yang didakwa melakukan kesalahan sedemikian di luar negara, iaitu Amerika Syarikat, kes itu adalah kes terpencil.

"Kes yang melibatkan tuduhan dan dakwaan ke atas dua syarikat dan dua individu dari Malaysia ini adalah kes yang terpencil dan ia tidak membuktikan bahawa Malaysia telah menjadi pusat bagi aktiviti sedemikian," katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang mahu Menteri Luar Negeri menyatakan dengan terperinci enam kes yang didakwa, disabitkan atau dihukum di Amerika Syarikat kerana menghantar peralatan dan teknologi tentera ke Iran yang membabitkan Malaysia dan alasan Malaysia menjadi pusat bagi aktiviti sedemikian.

Setakat ini, Kohilan berkata difahamkan bahawa perbicaraan mahkamah individu serta syarikat terbabit belum berlangsung dan kerajaan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

Beliau berkata pada 11 September tahun lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mengeluarkan satu indikmen ke atas lapan individu dan lapan entiti asing termasuk dua individu dan dua syarikat dari Malaysia.

Dua syarikat itu ialah Eco Biochem Sdn Bhd dan Vast Solution Sdn Bhd manakala dua individu terbabit pula adalah Brian Kaam, juga dikenali sebagai Kam Chee Mun, seorang warganegara Malaysia, dan Majid Seif, juga dikenali sebagai Mark Ong, seorang warganegara Iran yang menetap di Malaysia.

Kohilan Pillay berkata mereka dikenakan 13 tuduhan dan didakwa di Mahkamah Daerah Selatan Florida, Amerika Syarikat.

"Antara tuduhan berkenaan termasuk tuduhan konspirasi, melanggar peraturan-peraturan di bawah United States International Emergency Economic Powers Act of 1977 dan United States Iran Embargo Act of 1996 serta membuat keterangan palsu kepada agensi persekutuan Amerika Syarikat berkenaan pengeksportan barangan buatan Amerika Syarikat yang mempunyai dua kegunaan ke Iran," katanya.

Katanya maksud barangan dua kegunaan ialah barangan yang mempunyai aplikasi komersial, namun boleh juga digunakan untuk tujuan ketenteraan. - Bernama

TNB dalam 250 syarikat tenaga terunggul Asean

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) muncul sebagai syarikat Utiliti Elektrik berkedudukan terbaik di Asean dan tempat keempat di Asia dalam Senarai 250 Syarikat Terunggul Platts bagi 2009, satu anugerah industri tenaga berprestij yang mengiktiraf prestasi kewangan cemerlang syarikat tenaga terunggul.

Ranking tahunan oleh Platts, penyedia maklumat tenaga dan komoditi ini, mengukur prestasi syarikat dalam tahun sebelumnya dengan menggunakan empat kaedah pengukuran utama - pertumbuhan aset, pendapatan keuntungan dan pulangan ke atas modal pelaburan.

Dalam kalangan utiliti elektrik di Asia, TNB menduduki tempat keempat.

Ia diikuti oleh utiliti elektrik lain yang mantap seperti Kansai Electric Power, Jepun, Chubu Electric Power Co Japan dan lain-lain.

TNB juga meraih kedudukan ke-123 bagi prestasi keseluruhan berbanding tempat ke-100 pada tahun sebelumnya.

"Kejayaan kami ini membanggakan memandangkan tahun kewangan 2008 adalah tempoh sukar kerana harga bahan api yang turun naik dan ringgit yang susut," kata Presiden TNB dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun melalui tempoh yang sukar namun, katanya, TNB terus memberikan tumpuan kepada usahanya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan melalui peningkatan kecekapan, produktiviti dan kualiti tenaga elektrik yang disalurkan kepada pelanggan TNB.

Anugerah itu disampaikan pada majlis Anugerah 250 Syarikat Tenaga Global Terunggul Platts di Singapura.

TNB diwakili oleh Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat, Ismail Abdul Rahman. - Bernama

Langkah pencegahan H1N1 di semua kem PLKN

SIBU: Ibu bapa diingatkan agar jangan bimbang untuk menghantar anak mereka yang dipilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun depan ekoran Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah berwaspada dan pencegahan Influenza A(H1N1) di semua 82 kem PLKN di seluruh negara.

Mulai Januari tahun depan, beliau berkata 38,000 pelatih PLKN akan menghadiri sesi pertama, 42,000 untuk sesi kedua pada Mac dan 40,000 bagi sesi ketiga pada Jun.

"Selain itu, 26,000 yang lain yang telah menangguhkan latihan mereka, akan menyertai sesi latihan ini pada tahun depan yang akan dibahagi-bahagikan kepada tiga sesi itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan malam dengan pengendali Kem PLKN Bumimas, Ho Su Yen dan kakitangannya.

"Kita akan sentiasa menghubungi Kementerian Kesihatan. Kita akan sentiasa memantau semua kem kita untuk kebersihan serta kesihatan bagi semua pelatih kita.

"Pengalaman kita sebelum ini mengurus pelatih yang sakit di mana 40 kem diarah ditutup selama seminggu tetapi tidak ada masalah kepada mana-mana pelatih," kata beliau.

Selain itu, Abdul Hadi berkata setiap kem akan mempunyai lima pegawai kesihatan.

Dalam perkembangan lain, katanya beliau percaya latihan khidmat negara ialah salah satu saluran terbaik untuk mempromosikan konsep 1Malaysia.

"Latihan kita meliputi mendapatkan remaja yang dipilih daripada pelbagai kaum, latar belakang dan agama dari seluruh negara untuk menyertai kem ini yang membolehkan mereka bercampur antara satu sama lain," katanya.

Antara elemen yang diterapkan semasa latihan itu ialah menanamkan semangat patriotik dan bersatu di kalangan rakan latihan dan memahami serta menghargai perbezaan kaum, latar belakang dan bangsa antara satu sama lain.

"Kita mahu mereka menjadi warganegara dan pemimpin masa depan yang patuh dengan undang-undang," tambahnya.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 440,000 remaja Malaysia telah menyertai PLKN. - Bernama