Followers

Thursday, November 19, 2009

Sabah & Sarawak: Mangsa serangan 'mundu' masih trauma

KOTA BELUD: Penduduk di Pulau Mantanani, Kuala Abai dan Rampayan Laut, di sini, mengakui masih trauma dengan serangan lanun atau ‘mundu’ yang menyerang nelayan Kampung Kuala Abai dan Rampayan Laut walaupun kejadian itu berlaku kira-kira 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, mereka meminta polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan rondaan di perairan pulau dan kampung terbabit bagi mengelak tragedi hitam itu berulang.

Ia berikutan penduduk mendakwa sesekali melihat bot tidak dikenali memasuki perairan terbabit, bukan milik penduduk tempatan atau pihak berkuasa.

Imam Kariah Pulau Mantanani, Kennedy Ismail, yang mempunyai pengalaman ditawan lanun pada 19 April 1996 berkata, penduduk lega dengan langkah rondaan polis marin dan APMM secara konsisten di perairan itu hingga berjaya mengurangkan risiko serangan lanun.

Bagaimanapun, katanya, mereka berharap rondaan itu dapat dilakukan dengan lebih kerap demi keselamatan semua pihak.

"Kami bersyukur dengan kecekapan pihak berkuasa meronda, malah keadaan di perairan Kuala Abai dan Pulau Mantanani ketika ini memang baik kerana tiada lagi kedengaran pencerobohan lanun.

"Kegiatan lanun mungkin masih ada tetapi nelayan tidak bimbang kerana pihak berkuasa keselamatan sentiasa membuat rondaan.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa kerana pihak tidak bertanggungjawab memang menunggu kita leka sebelum mengambil kesempatan," katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

Diminta menceritakan detik ditawan lanun, Kennedy berkata ia berlaku di Kampung Kuala Abai, di sini, pada 19 April 1996.

Katanya, sebelum itu empat lelaki bersenjata api automatik dan berpakaian celoreng merompak lapan nelayan tempatan di perairan Kuala Abai dan Rampayan Laut, di sini, termasuk melarikan lapan enjin bot sangkut milik nelayan terbabit.

Katanya, beliau mendengar suara riuh-rendah di tepi pantai Kuala Abai dan menyangka ada askar datang membuat pemantauan kerana ‘mundu’ berkenaan memakai pakaian pasukan keselamatan terbabit.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila beliau ditawan lanun terbabit.

"Saya dibawa ke sebuah kedai runcit dan di situ saya nampak pemilik kedai terbabit juga sudah ditawan lanun. Saya dan tiga penduduk kampung diarah lanun terbabit memunggah semua barang termasuk beras, gula, kopi dan biskut di dalam kedai runcit itu ke dalam bot mereka.

"Lanun turut merompak barang kemas milik isteri dan anak pemilik kedai runcit berkenaan.

"Saya cuma pandang ke arah pemilik kedai terbabit kerana takut ditembak jika enggan menurut arahan ‘mundu,’ katanya.

Kennedy berkata, pemilik kedai itu memberi isyarat mengangguk tanda membenarkan beliau membantu memunggah barang dalam kedainya kerana bimbangkan keselamatan isteri dan anak gadisnya.

Beliau mengakui masih berasa serba salah terhadap pemilik kedai runcit terbabit kerana terpaksa `membantu' lanun merompak kedainya.

"Saya sudah memohon maaf kepada pemilik kedai runcit itu dan beliau memaafkan saya kerana bukan saya sengaja.

"Saya mengesyaki lanun terbabit diketuai ‘Moloi’ yang lakaran wajahnya disiarkan menerusi akhbar dua hari kemudian. Moloi memang terkenal dengan kelicikan melarikan diri daripada kepungan polis," katanya.

Kejadian berlaku antara jam 1 hingga 4 pagi ketika nelayan terbabit mencandat sotong apabila dalam dua kumpulan berasingan sebelum dihampiri kumpulan bersenjata.

Sabah & Sarawak: Gaji pekerja tak mahir lebih tinggi

KOTA KINABALU: Gaji pekerja tidak mahir dalam sektor perkilangan di Sabah adalah lebih tinggi iaitu minimum RM590 berbanding RM530 pada peringkat nasional berdasarkan data Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Michael Asang, berkata keadaan sama turut dikesan bagi pekerja separuh mahir di Sabah yang mendapat gaji minimum RM625 berbanding hanya RM588 di peringkat nasional.

Katanya, ia jelas menunjukkan gaji pekerja tidak mahir dan separuh mahir di Sabah jauh lebih baik berbanding peringkat nasional.

"Bagaimanapun, gaji minimum pekerja mahir juruelektrik di Sabah adalah lebih rendah iaitu RM670 dan peringkat nasional ialah RM873, sama seperti pekerja am di Sabah cuma menerima RM700 berbanding RM942 sebulan di peringkat nasional.

"Lazimnya gaji pekerja ditetapkan berdasarkan tahap kemahiran, pengalaman bekerja dan polisi syarikat berkaitan," katanya menjawab soalan Johnny Goh (BN-Inanam) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Asang berkata, kebanyakan syarikat yang beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut mengiklankan jawatan kosong di syarikat mereka termasuk menerusi media.

Bagaimanapun, katanya, kaedah paling kerap dan banyak digunakan bagi mengiklankan jawatan kosong di syarikat dalam KKIP adalah menerusi kain rentang di jalan masuk utama ke KKIP di Jalan Sulaman.

Beliau berkata, beberapa syarikat turut menggunakan ekspo pekerjaan di perkarangan institusi latihan dan kemahiran di KKIP seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Politeknik untuk mengiklankan jawatan kosong.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Jainab Ahmad, berkata kerajaan mewujudkan pelbagai bantuan kepada penganggur termasuk di kawasan luar bandar bagi mengelak mereka terpinggir dari arus perdana.

"Ia termasuk program Tekun Nasional (Tekun) yang diadakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pusat Bimbingan Usahawan Negeri Sabah (PBUNS) yang menawarkan pelbagai kursus," katanya menjawab soalan Datuk Syed Abbas Syed Ali (BN-Balung).

Beliau berkata, MECD menyediakan RM73.6 juta untuk Program Tekun Rakan Niaga menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, Tekun turut menawarkan kemudahan pinjaman RM50,000 kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Selain itu, agensi kerajaan negeri seperti Koperasi Pembangunan Desa (KPD) turut bekerjsama dengan OISCA, sebuah badan kerajaan dari Jepun untuk melatih belia luar bandar dalam bidang pertanian asas," katanya.

Sabah & Sarawak: 1,000 murid sekolah rendah tunjuk kemahiran baca al-Quran

KOTA KINABALU: Seramai 1,000 murid sekolah rendah memperdengarkan bacaan al-Quran pada majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) peringkat negeri Sabah, di Dewan Saadah, Wisma Muis, di sini baru-baru ini.

Bacaan al-Quran oleh 500 murid lelaki dan 500 murid perempuan itu diteliti sekumpulan ‘khalifah’ untuk membetulkan kesalahan.

Program yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman itu dianjurkan Jabatan Pelajaran Sabah.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Normah Gagoh dan timbalannya, Dr Muhyiddin Yussin serta Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco), Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.

Berucap pada majlis itu, Musa berkata, tema ‘Al-Quran Pemangkin Modal Insan Cemerlang’ pada program itu harus digalas sebagai cabaran dan amanah oleh semua pihak.

Katanya, peserta program itu harus menjadikan tema itu sebagai titik tolak untuk mempelopori, menghayati dan mendalami ilmu melalui al-Quran.

Beliau berkata, kejayaan melahirkan murid terpilih menyertai majlis itu akan meningkatkan semangat guru untuk berusaha secara lebih gigih pada masa depan.

"Tanggungjawab melahirkan murid yang menyertai majlis khatam al-Quran hari ini tidak akan dicapai tanpa dedikasi guru yang cekap mendidik kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, modal insan cemerlang yang diperlukan negara pada masa depan adalah mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi, berpegang teguh kepada agama, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri, beretika dan mempunyai minda kelas pertama.

"Mereka bukan saja penting kepada pembangunan negara, malah berfungsi menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta meningkatkan daya saing negara pada peringkat global," katanya.

Sabah & Sarawak: Kampung setinggan diisytihar kampung tradisi

KOTA KINABALU: Semua perkampungan setinggan yang didiami Bumiputera di seluruh Sabah akan diisytiharkan sebagai perkampungan tradisi seperti dilakukan di Kampung Air dan Kampung Landung Ayang, Kudat.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ghulam Khaidar Khan Bahadar, berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan penduduk kampung terbabit dapat menikmati kehidupan selamat dan selesa.

Beliau berkata, kaedah itu adalah lebih praktikal berbanding mendiami kawasan setinggan yang tidak teratur dari segi pembinaan struktur rumah dan terlalu berdekatan antara satu lain, sekali gus terdedah kepada bencana seperti kebakaran yang boleh memusnahkan keseluruhan penempatan.

Katanya, kampung tradisi juga akan melindungi penduduk daripada masalah diarah mengosongkan rumah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mendiami kawasan tanah rizab kerajaan.

"Justeru, adalah lebih baik bagi mereka menetap di kawasan perkampungan tradisi yang jauh lebih tersusun.

"Langkah ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengutamakan kepentingan rakyat dan mahu memberikan yang terbaik,” katanya menjawab soalan Teo Chee Kang (BN-Tanjong Kapor) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Ghulam berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri akan mewartakan Kampung Gumpah, Kudat sebagai tanah Kampung Tradisi Gumpah.

Beliau berkata, lot di kampung itu akan dibahagikan kepada lot kediaman untuk menempatkan penduduk asal yang mendiami tapak setinggan.

Katanya, kementerian juga sudah mengenal pasti kawasan sesuai di Sikuati, Kudat untuk memindahkan setinggan dari kawasan Tanjung Kapor, Pantai Bahagia dan Pangaraban.

"Pada masa sama, sebanyak 500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa dibina di Taman Ehsan, Kudat bagi menempatkan setinggan di Kudat.

"Kerajaan berharap penduduk kawasan setinggan terbabit memberi kerjasama dengan memanfaatkan PPR disewa berkenaan.

"Kita melakukan semua ini kerana mahu rakyat berkeluarga tinggal bersama dalam suasana selesa dan dapat meningkatkan taraf hidup mereka secara beransur-ansur," katanya.