Followers

Wednesday, November 11, 2009

Presiden Indonesia tiba di Malaysia bagi lawatan dua hari

SEPANG: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, tiba hari ini untuk lawatan dua hari ke Malaysia, negara pertama yang dilawatinya selepas dipilih semula untuk penggal kedua pada 20 Oktober lalu.

Ketibaan beliau, bersama isteri, Ani Yudhoyono dan rombongannya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai menteri pengiring dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Susilo kemudian beredar ke Bangunan Parlimen untuk sambutan rasmi sebelum mengunjungi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Esok, beliau dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu-isu kepentingan bersama, serantau dan antarabangsa.

Susilo dijangka berlepas ke Singapura petang esok. - Bernama

BNM, Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China jalin kerjasama

PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China bagi menjalin kerjasama lebih terperinci berhubung pemantauan perbankan.

Pemeteraian MoU itu adalah berikutan penandatanganan Pelan Tindakan Bersama mengenai Kerjasama Strategik Malaysia-China antara kedua-dua negara pada 3 Jun tahun ini.

MoU itu juga meliputi perkongsian maklumat dan penggalakan integrasi kewangan, kata BNM di dalam satu kenyataan di majlis pemeteraian MoU itu di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden China, Hu Jintao.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, menandatangani MoU berkenaan bagi pihak Malaysia manakala China diwakili oleh Pengerusi Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China, Liu Ming Kang.

Menurut BNM, MoU itu menunjukkan kekukuhan perkongsian kerjasama antara kerajaan China dan Malaysia.

Katanya, acara itu turut menandakan satu mercu tanda penting di dalam meningkatkan kerjasama kawal atur dan hubungan ekonomi serta kewangan antara China dan Malaysia. - Bernama

Malaysia beri kontrak kepada China bina landasan kereta api berkembar Gemas-JB

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini bersetuju memberikan kontrak pembinaan landasan kereta api berkembar dari Gemas ke Johor Bahru kepada kontraktor negara China, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan dengan Presiden China, Hu Jianto di sini, pagi ini.

Najib berkata demikian pada sidang media bersama Hu, di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Pemimpin China itu yang sampai ke Malaysia semalam adalah dalam rangka lawatan rasmi dua hari.

Keputusan ganti helikopter Nuri masih belum muktamad

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memutuskan untuk memuktamadkan perolehan helikopter utiliti bagi menggantikan helikopter Nuri, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan berpandangan bahawa proses ke arah perolehan helikopter utiliti berkemampuan "mencari dan menyelamat" (SAR) ini masih dalam pertimbangan.

"Pertimbangan ini, meliputi semua aspek termasuk kedudukan ekonomi negara supaya helikopter yang bakal diperoleh kelak menepati keperluan keupayaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah yang diambil bagi memastikan sistem pertahanan negara sentiasa dikemas kini serta status pembelian helikopter bagi menggantikan helikopter Nuri dan sistem lama yang lain.

Pada September tahun lalu, Kementerian Pertahanan bersetuju untuk mendapatkan 12 helikopter Eurocopter EC 725 bernilai RM1.6 bilion bagi menggantikan helikopter Nuri.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kemudian menangguhkan pembelian selepas pemilihan EC725 menimbulkan kontroversi pelbagai pihak.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), mengenai tempoh hayat operasi Nuri, Abdul Latiff berkata, sebanyak 28 helikopter Nuri kini masih lagi mampu beroperasi sehingga 2015 berikutan penyelenggaraan yang baik dan kerap dilakukan.

"Kerajaan memang sedar bahawa Nuri mempunyai keupayaan terhad bagi melaksanakan operasi SAR terutamanya pada waktu malam kerana ia tidak dilengkapi dengan kanta mata penglihatan malam.

"Tetapi, hasil penyelenggaraan yang mantap dan baik yang diuruskan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Nuri masih mampu menjalankan tugas utiliti dengan baik sehingga 2015. Sebab itu kerajaan tidak terlalu terburu-buru," katanya.

Kepada soalan lain, Dr Tan bertanya sama ada kerajaan bercadang membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya Chin Peng kembali ke Malaysia, Abdul Latiff berkata, Chin Peng masih menjadi ancaman kepada negara.

"Ini kerana ketika perjanjian damai antara kerajaan dengan komunis di Selatan Thailand pada 1989, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya itu tidak menandatangani persetujuan untuk meletak senjata.

"Hanya parti komunis saja yang bersetuju meletak senjata tetapi Chin Peng yang mengetuai penentangan bersenjata enggan berbuat demikian, menyebabkan sehingga sekarang dia masih disenaraikan sebagai musuh negara," katanya. - Bernama