Followers

Monday, November 9, 2009

Pihak ketiga keruhkan hubungan Malaysia-Indonesia: Anifah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akui wujudnya pihak ketiga yang mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia bertujuan untuk meraih kepentingan politik dan mempromosi agenda tertentu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata menyedari perkara itu, kerajaan kedua-dua negara kini sentiasa memantau pergerakan mereka.

"Pihak ketiga ini cuba memperbesar isu kecil ini untuk politik mereka, mempromosi agenda berkenaan. Kita mengetahui langkah yang diambil dan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tertentu.

"Negara jiran (Indonesia) juga maklum mengenai kewujudan organisasi ini yang cuba menangguk di air keruh dan kita akan gunakan kebijaksanaan antara kedua-dua negara untuk pantau anasir seumpama ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Batu Tangga) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Idris dalam soalannya ingin tahu sama ada wujud kebarangkalian pihak tertentu dalam negara yang cuba merosakkan hubungan harmoni antara Malaysia dan Indonesia dengan menimbulkan pelbagai isu antaranya tarian pendet, sempadan maritim (Ambalat), pembantu rumah asing dan isu Manohara (bekas isteri kerabat Diraja Kelantan).

Semasa menjawab soalan asal Idris yang ingin mengetahui langkah kementerian dalam menangani dan mengelakkan konflik sesama negara jiran serantau serta mekanisme penyelesaian konflik yang sesuai, Anifah berkata Kumpulan Pakar Perundangan Peringkat Tinggi Asean sedang memuktamadkan draf Protokol Mekanisme Penyelesaian Pertikaian yang merangkumi empat mekanisme penyelesaian konflik.

"Empat mekanisme itu ialah timbang tara, jasa baik, perdamaian dan perantaraan yang dimantapkan bersama peraturan Timbang Tara, Peraturan Jasa Baik, Peraturan Perdamaian dan Peraturan Perantaraan.

"Protokol ini bersama peraturannya yang berkaitan akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun 2009. Dengan ratifikasi protokol ini, Asean akan mempunyai mekanisme penyelesaian konflik yang tersendiri yang bersifat Asean dan memantapkan status Asean sebagai organisasi berasas peraturan, mekanisme penyelesaian konflik yang penting dalam usaha memelihara dan memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala di kalangan negara anggota Asean," katanya.

Kepada soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) mengenai cadangan Malaysia supaya Thailand mempertimbangkan kuasa autonomi bagi wilayah di Selatan Thailand, Anifah berkata Malaysia menghormati prinsip dan dasar berkecuali yang diamalkan Asean dan akan memberi cadangan sekiranya diminta negara jiran berkenaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, dijadual mengadakan lawatan bersama ke wilayah bergolak merangkumi Pattani, Narathiwat dan Yala Disember ini.

"Perdana Menteri kita dijemput oleh Perdana Menteri Thailand ke Selatan Thailand dan bertemu pemimpin di wilayah bergolak berkenaan...Kita tunggu lawatan Perdana Menteri ke sana dan perbincangan selanjutnya," katanya. - Bernama

Langkah SPRM tubuh pasukan khas untuk menambah baik peraturan: TPM

ISTANBUL: Pasukan khas yang ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti peraturan mengenai perbelanjaan Adun dan Ahli Parlimen sebagai menambahbaik peraturan sedia ada, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian diminta mengulas mengenai penubuhan pasukan khas SPRM itu bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dan Adun daripada terus berlaku.

Makmal analisis halal pertama beroperasi tahun depan

KUALA LUMPUR: Makmal Analisis Halal pertama di Malaysia akan beroperasi awal tahun depan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, bagi membantu mengatasi masalah kekurangan makmal yang berupaya menjalankan analisis terhadap produk makananan halal yang selama ini bergantung kepada Jabatan Kimia Malaysia.

Makmal berharga RM10 juta yang mula dibina pertengahan tahun ini akan membolehkan analisis kajian terhadap produk berunsurkan daging, lemak, alkohol dan gelatin yang mengandungi produk tidak halal, diketahui secara terperinci.

Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof Madya Dr Suhaimi Mustafa, berkata makmal halal itu mampu memberikan keputusan ujian terhadap Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang terdapat dalam sesuatu produk hanya dalam tempoh dua jam.

"Ujian terhadap pelbagai produk seperti perubatan, makanan, kosmetik dan pakaian bagi menentukan tahap halalnya dapat dilaksanakan di makmal ini.

"Tempoh keputusan ujian terhadap barangan tersebut ditentukan berdasarkan jumlah kandungan produk tersebut," katanya yang ditemui selepas berucap pada Seminar Sehari Kesedaran Produk Makanan Halal UPM, di sini hari ini.

Katanya, dengan adanya makmal berkenaan pengguna Islam akan lebih merasa selesa dan selamat terhadap produk yang dikeluarkan pengilang dan pengeluar di pasaran tempatan. - Bernama

Sabah&Sarawak: DBKK tak tukar status setinggan

Penghuni penempatan haram perlu faham kerajaan terpaksa utamakan pembangunan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak berhasrat menukar status semua penempatan setinggan di bandar raya ini kepada perkampungan tradisi bagi membolehkan penghuninya terus tinggal di kawasan terbabit.

Datuk Bandar, Datuk Iliyas Ibrahim, berkata langkah itu tidak boleh dilaksanakan kerana tanah diduduki setinggan diperlukan kerajaan untuk projek pembangunan pada masa depan.

Katanya, penghuni setinggan harus menyedari perkara itu dan tidak mendesak pihak berkuasa memenuhi permintaan mereka atau menghalang tindakan merobohkan penempatan secara haram.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini ada penempatan setinggan ditukar menjadi perkampungan tradisi tetapi keputusan itu bergantung kepada keadaan dan kedudukan penempatan berkenaan.

“Kita tidak boleh menukar status setinggan kepada perkampungan tradisi sewenang-wenangnya, terutama ketika bilangan tanah kosong untuk pembangunan semakin terhad.

“Apa yang kita boleh lakukan ialah membina lebih banyak rumah mampu milik untuk disewa atau dijual kepada setinggan bagi mengatasi kesukaran mendapatkan tempat tinggal di bandar raya ini," katanya di sini, semalam.

Beliau ditanya langkah DBKK mengatasi masalah penempatan setinggan ke arah menjadikan bandar raya ini sebagai kawasan bebas setinggan.

Katanya, antara penempatan setinggan yang diterima sebagai perkampungan tradisi ialah Kampung Lok Urai di Pulau Gaya dan Kampung Kopungit di Kepayan Ridge.

"Masalah setinggan berlaku disebabkan penghijrahan penduduk dari luar bandar yang datang ke ibu negeri untuk mencari pekerjaan tetapi tidak mampu menyewa atau membeli rumah.

“Sebagai penyelesaian, mereka membina rumah di tanah kosong di sekitar bandar raya seperti di kawasan bakau. Ada juga membina rumah di tanah terbiar berhampiran jalan raya," katanya.

Iliyas berkata tindakan itu menimbulkan kerosakan kepada alam sekitar dan pemandangan kurang manis kerana kebanyakan rumah setinggan dibina ala kadar dan lebih sesuai dipanggil pondok.

Katanya, masalah sampah mengotori sungai dan perairan sekitar bandar raya juga berpunca daripada penempatan setinggan berikutan sikap penghuninya mengambil jalan mudah membuang sampah di atas air.

“Masalah inilah yang perlu ditangani sebaik mungkin kerana ia menjejaskan keindahan dan kebersihan bandar raya. Jika tidak imej bandar raya akan terus tercalar," katanya.

Bagi mengatasinya, DBKK akan meneruskan operasi meroboh setinggan di sekitar bandar raya dan pada masa sama merancang membina lebih banyak perumahan baru untuk disewa atau dijual kepada setinggan.

Langkah itu bertujuan memastikan tiada lagi pemandangan rumah atau pondok usang di kawasan bakau atau tepi jalan sekitar bandar raya ini selaras usaha meningkatkan imej bandar raya sebagai kawasan bersih, indah dan selamat.