Followers

Wednesday, November 4, 2009

Sabah&Sarawak: Disyor jadi agropelancongan

Bertujuan manfaatkan penduduk kampung untuk tambah peluang pekerjaan

MENUMBOK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri diminta membangunkan Stesen Pertanian Kelapa di Kampung Tanjung Aru di sini, sebagai kawasan agropelancongan, selain memanfaatkan sepenuhnya fungsi sebagai pusat penyelidikan tanaman kelapa di Sabah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata stesen itu yang dibuka pada 1980 di kawasan seluas 400 hektar belum dibangunkan sepenuhnya kerana separuh dari keluasannya masih terbiar.

Katanya, kementerian berkenaan wajar merancang pembangunan bersesuaian bagi memastikan tanah yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk penyelidikan tanaman kelapa digunakan sepenuhnya demi kebaikan rakyat.

“Selain menjadikan kawasan ini sebagai pusat penyelidikan kelapa, ia juga boleh dimajukan sebagai pusat agropelancongan. Saya yakin langkah itu akan memanfaatkan penduduk kampung dari segi peluang pekerjaan.

"Sehubungan itu, saya meminta kerajaan negeri khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil kira cadangan ini dan membuat kajian mengenai kesesuaiannya sebagai pusat agropelancongan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian kepada media selepas merasmikan Surau al-Hidayah Stesen Pertanian Kampung Tanjung Aru, di sini.

Hadir sama wakil Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hanafiah Mohamad; Penguasa Stesen Pertanian Kampung Tanjung Aru, Yasin Muhamad dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri, Isnin Aliasnih.

Lajim berkata, jika usaha itu dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu lagi daya tarikan baru kepada pelancong dan orang ramai yang berkunjung ke daerah kecil ini.

“Kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya sudah disediakan di kawasan ini, oleh itu tiada masalah untuk melaksanakan cadangan berkenaan.

"Kerajaan negeri juga boleh memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakannya," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Lajim yang juga Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) meminta umat Islam di negeri ini supaya turut menjadikan surau sebagai tempat untuk mengukuhkan perpaduan sesama orang Islam.

Katanya, pelbagai program keagamaan yang dianjurkan jawatankuasa surau boleh menjalin semangat muhibah di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat Islam.

"Selain untuk beribadat, surau atau masjid perlu dijadikan sebagai tempat untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat Islam. Pelbagai program lain seperti kelas fardu ain dan kelas bimbingan al-Quran boleh dianjurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sabah&Sarawak: 50,000 penduduk utara Sabah terputus hubungan

Laluan rosak ke Kota Belud berpunca tanah runtuh beberapa bulan lalu belum dibaiki

KOTA MARUDU: Lebih 50,000 penduduk dari lima daerah di utara Sabah berdepan masalah terputus hubungan berikutan laluan rosak dari daerah ini ke Kota Belud yang berpunca daripada beberapa kejadian tanah runtuh Belud sejak beberapa bulan lalu, belum dibaiki.

Selain penduduk daerah ini, mereka yang menetap di Kudat, Pitas, Tandek dan Matunggong turut bergantung kepada jalan berkenaan sebagai laluan utama setiap hari.

Ia juga menjadi laluan pintas pengguna dari Kota Kinabalu menuju ke Pantai Timur Sabah seperti Beluran, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau sejak jalan baru melalui daerah ini ke daerah berkenaan dibina hampir empat tahun lalu.

Tinjauan mendapati lebih 10 kejadian tanah runtuh dikesan sepanjang laluan itu yang dengan sendirinya menjejaskan strukturnya, sekali gus mendedahkan pengguna terhadap risiko kemalangan.

Kejadian tanah runtuh itu dikesan berlaku di Kilometer 31, Kilometer 32, Kilometer 34, Kilometer 36, Kilometer 37, Kilometer 40 dan Kilometer 43 Jalan Kota Marudu-Kota Belud.

Daripada jumlah itu, hanya dua bahagian jalan terbabit mengalami runtuhan serius dan dibaiki Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu berhampiran Kilometer 36 dan Kilometer 43.

Bagaimanapun, hampir semua bahagian jalan yang mengalami runtuhan itu sudah diletak tanda amaran sebagai peringatan pemandu berhati-hati melalui kawasan berkenaan.

Berikutan itu, pengguna berharap JKR dapat mengambil tindakan segera membaiki bahagian jalan yang terjejas oleh kejadian tanah runtuh untuk kebaikan dan keselamatan mereka.

Pengguna dari Kota Marudu, Tony Kaduk, 42, berkata tindakan membaiki jalan runtuh itu dapat mengelak penduduk di daerah ini dan empat daerah lain terputus hubungan dengan daerah lain.

"Biasanya hujung tahun kerap berlaku hujan berterusan dan keadaan itu boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.

"Ada baiknya langkah pencegahan diambil sekarang sebelum berlaku perkara tidak diingini, terutama yang membabitkan aspek keselamatan.

"Jalan raya dalam keadaan elok dapat mengurangkan risiko kemalangan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Difahamkan, beberapa kemalangan berlaku di kawasan laluan terjejas walaupun belum ada kes mengorbankan nyawa pengguna.

Pengguna dari Pitas, Billy William, 44, berharap laluan sempit disebabkan tanah runtuh dapat dilebarkan kepada saiz asal.

"Keadaan jalan sempit turut membahayakan lalu lintas, terutama kenderaan berat yang sering menggunakan kawasan berkenaan," katanya.

Gempa Iran cederakan 700 mangsa

TEHRAN: Gempa bumi di Iran mencederakan sekurang-kurang 700 penduduk di selatan negara itu.

Agensi media Iran melaporkan 100 yang tercedera sudah dimasukkan ke hospital manakala yang lain cedera ringan.

Gempa bumi pada magnitud 4.9 itu menggegarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas pada jam 2.56 pagi waktu tempatan, menyebabkan tenaga elektrik dan talian telefon terputus. - AP

Sabah&Sarawak: Lima NGO tentang tenaga kotor

Loji jana kuasa arang batu bertentangan usaha lindungi hutan, hidupan liar di Sabah

KOTA KINABALU: Lima badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah bergabung bagi menentang sebarang penggunaan tenaga tidak bersih termasuk yang dihasilkan daripada loji jana kuasa arang batu di negeri itu.

Gabungan yang dikenali sebagai Sabah Unite to Re-Power the Future atau Green Surf itu dibentuk sejajar usaha Sabah yang mementingkan pemuliharaan, sekali gus menyifatkan penggunaan tenaga tidak bersih termasuk pembinaan loji jana kuasa arang batu sebagai bertentangan dengan kerja melindungi hutan dan hidupan liar.

Lima NGO yang menyertai gabungan itu Land Empowerment Animals and People (Leap), Partners of Community Organisations (Pacos Trust), Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (Sepa), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Sabah dan Pejabat Tabung Hidupan Liar Antarabangsa (WWF) Malaysia cawangan Sabah.

Ketua Pegawai Teknikal WWF-Malaysia cawangan Sabah, Dr Rahimatsah Amat, berkata kawasan baru yang dikenal pasti bagi pembinaan loji jana kuasa arang batu iaitu di Semenanjung Dent di pantai timur Sabah adalah sebahagian daripada Eko-Wilayah Marin Sulu-Sulawesi dan Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang (CTI).

"Malaysia komited dalam kedua-dua aspek itu, malah perairan di kawasan berkenaan mempunyai pelbagai spesies marin merangkumi penyu, paus, ikan lumba-lumba dan dugong," katanya di sini, kelmarin.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan keputusan kerajaan membina loji jana kuasa arang batu di Felda Sahabat, kira-kira 100 kilometer dari Lahad Datu sebagai penyelesaian masalah kekurangan bekalan elektrik di pantai timur Sabah.

Susulan itu, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan Semenanjung Dent berhampiran Felda Sahabat di Lahad Datu sebagai tapak sesuai bagi membina loji arang batu di Sabah tetapi ia akan dilakukan selepas kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diterima.

Loji jana kuasa arang batu yang boleh menghasilkan tenaga elektrik hingga 300 megawatt asalnya dicadang dibina di Silam, dekat Lahad Datu tetapi ditolak kerajaan negeri selepas mendapat bantahan penduduk tempatan.

Ia kemudian dipindahkan ke Sandakan tetapi turut ditolak penduduk tempatan yang kemudian menggesa kerajaan supaya tampil dengan loji jana kuasa menggunakan teknologi mesra alam.

Sementara itu, Pengarah Leap, Cynthia Ong, berkata walaupun Green Surf memberi penekanan terhadap kepentingan tenaga bersih bagi melindungi alam sekitar secara keseluruhan, ia bukan NGO yang bergerak sebagai antikerajaan.

"Sebaliknya, kami sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha memastikan hanya sumber tenaga bersih digunakan di negeri ini. Gabungan ini juga dibentuk bagi memenuhi gesaan dan rayuan orang ramai.

"Ia kerana pembinaan loji menggunakan tenaga arang batu adalah bertentangan dengan usaha pemuliharaan dan mengancam kebersihan alam sekitar," katanya.