Followers

Thursday, October 29, 2009

Indonesia hargai tindakan tegas Malaysia dalam kes Mantik

JAKARTA 29 Okt. — Pemerintah Indonesia pada Khamis menyatakan penghargaan terhadap tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani kes pembantu rumah Indonesia yang mati dipercayai didera majikannya, Mantik Hani.

Jurucakap Presiden, Dino Patti Djalal berkata, Indonesia juga menghargai kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia bahawa hak-hak warganegara Indonesia di Malaysia adalah sama dengan hak-hak rakyat Malaysia.

"Harus dilindungi keselamatannya (warganegara Indonesia), tidak kira sama ada status orang yang terlibat ”legal” atau ”illegal” (pendatang dengan izin yang sah atau tidak),” katanya dalam kenyataan di sini. - Bernama

Syarikat korporat dan IPT perlu jalin kerjasama, kata Ismail

KUALA LUMPUR 29 Okt. — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mahu melihat lebih banyak kerjasama terjalin di antara syarikat korporat dan institusi pengajian tinggi bagi mewujudkan program latihan keusahawanan untuk golongan muda.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian sentiasa menyokong usahasama daripada mana-mana pihak bagi melatih golongan belia dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran sebelum bergelar usahawan.

"Sebagai contoh, kerjasama yang terjalin di antara syarikat telefon mudah alih tempatan, CSL Group of Companies dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak Ogos lepas dengan mewujudkan program ”On Job Education” bagi melatih golongan belia dalam bidang keusahawanan serta pemasangan telefon mudah alih.

"Usaha itu secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan Kedai Konsep CSL ke-107 dan SSTHER MOBILE di Kompleks Pertama di sini hari ini. - Bernama

Rakyat perlu terus sokong Kerajaan BN, kata Muhyiddin

KOTA TINGGI 29 Okt. — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu meneruskan sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional agar usaha memajukan negara ini dan menjadikan mereka sebagai bangsa yang berjaya, tercapai.

"Kerajaan komited dalam usaha membela nasib rakyat pelbagai lapisan di negara ini dan ini dapat dibuktikan melalui Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini,” katanya pada majlis bersama pemimpin di Kampung Felda Sungai Mas, Pengerang, lebih kurang 35 kilometer dari sini hari ini. - Bernama

Sekolah agama dibantu untuk perkasa pendidikan Islam

KOTA TINGGI 29 Okt. — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mendaftarkan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama Negeri sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendaftaran berkenaan amat bertepatan dalam menjaga kebajikan dan menghargai jasa guru agama sekaligus membuktikan kerajaan sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan Islam.

"Dengan pendaftaran ini, sekolah-sekolah agama akan menikmati pelbagai kemudahan seperti bantuan sumbangan bagi urusan pentadbiran sekolah, bantuan modal bagi pembangunan fizikal sekolah, guru terlatih, mengekalkan kurikulum agama negeri yang menggunakan kurikulum Azhari (Buuth Al Azhari) dan skim saraan yang setimpal dengan kululusan serta pengalaman guru,” katanya ketika merasmikan Multaqa” Guru Agama Kerajaan Johor dan mesyuarat agung Persatuan Kebangsaaan Guru-guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor di sini hari ini. - Bernama