Followers

Sunday, October 18, 2009

Gempa sederhana gegar Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.8 melanda kepulauan Sulawesi, Indonesia, hari ini, kata ahli seismologi, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, tiada laporan berlaku sebarang kerosakan dan amaran tsunami tidak dikeluarkan.

Agensi Klimatologi dan Meteorologi Indonesia, berkata gempa yang berlaku jam 3.23 petang tadi waktu Indonesia itu menggegarkan timur laut bandar Kendari dan tenggara wilayah Sulawesi.

Ekonomi negara dijangka pulih tahun depan: Awang Adek

KUALA TERENGGANU: Keadaan ekonomi negara dijangka kembali pulih tahun depan dengan mencatatkan pertumbuhan yang positif sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, keyakinan dan andaian itu berdasarkan pergerakan ekonomi dunia sekarang yang menunjukkan ke arah pemulihan.

"Dalam suku pertama dan suku kedua pertumbuhan ekonomi negara kita pada tahun ini mencatatkan pertumbuhan yang negatif dan dunia pun macam itu.

"Bagaimanapun ada baiknya apabila penguncupan pada akhir suku kedua ia kecil sedikit iaitu 3.9 peratus berbanding sebelum ini penguncupannya sehingga enam dan tujuh peratus," katanya selepas merasmikan majlis Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) kedua di sini, hari ini.

568 graduan yang mengikuti pengajian tiga tahun di KIST Induk di Bachok menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen terbabit.

Dr Awang Adek berkata, tidak dinafikan dalam keadaan ekonomi yang lembab, ramai yang berhadapan dengan masalah diberhentikan kerja, namun ia hanya bersifat sementara.

"Apabila ekonomi kembali pulih, pelaburan bertambah, sudah tentu peluang pekerjaan akan wujud. Mereka yang diberhentikan itu akan diambil semula bekerja," katanya.

Katanya, negara mengalami kekurangan eksport yang agak ketara iaitu kira-kira 20 peratus dan apabila kilang-kilang ini kembali beroperasi tahun depan, majikan akan mengupah kembali tenaga kerja.

Dr Awang Adek juga berkata, kerajaan juga banyak mengadakan program-program latihan dan kemahiran yang dikendalikan Kementerian Sumber Manusia untuk mereka yang diberhentikan kerja.

"Sebenarnya di negara ini kerja memang banyak, tinggal lagi ada antara kita yang suka memilih kerja. Peluang kerja begitu banyak di sektor perladangan dan restoran-restoran tetapi kebanyakannya tidak diminati oleh pekerja kita," katanya. - Bernama

Populariti Mahmud Abbas menurun 12.1 peratus, Fatah kekal popular

BAITULMUQADDIS: Keyakinan rakyat Palestin terhadap presidennya, Mahmud Abbas jatuh kepada 12.1 peratus berbanding 17.8 pada Jun lalu, menurut undi yang dilakukan Pusat Media dan Komunikasi Jerusalem (JMCC), hari ini.

Undian itu menunjukkan, walaupun popularitinya menurun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, namun partinya yang membawa fahaman sekular, Fatah lebih popular berbanding kumpulan Hamas.

Ketika ditanya sama ada rakyat negara itu siapa yang akan mereka undi dalam pilihan raya presiden yang diadakan tahun depan, Mahmud Abbas mendapat undian yang sama dengan Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya dan pemimpin Fatah, Marwan Barghuti yang ketika ini dipenjarakan seumur seumur hidup di penjara Israel.

Berdasarkan kaji selidik itu, ketiga-tiga mereka akan memperoleh undian antara 16 hingga 17 peratus.

Sementara itu, Parti Fatah mendapat 40 peratus undi berbanding Hamas yang hanya memperoleh 18.7 peratus bagi pilihan raya umum 2010 negara itu, di mana kebanyakan mereka lebih cenderung ke arah parti Mahmud Abbas. - AFP

Maklumat H1N1 sekali dalam seminggu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini, memaklumkan bahawa kenyataan media mengenai penularan kes Influenza A(H1N1) hanya akan dikeluarkan seminggu sekali memandangkan terdapat trend penurunan kes berkenaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kementerian memutuskan bahawa kenyataan media hanya akan dikeluarkan setiap Rabu, berbanding setiap hari sebelum ini.

Dr Mohd Ismail juga memaklumkan bermula esok, perkhidmatan Talian Bebas (03-88810200 atau 03-88810300) hanya akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Bagaimanapun, sebarang pertanyaan mengenai H1N1 masih boleh dihantar melalui e-mel kepada Kementerian Kesihatan di alamat cprc_h1n1@moh.gov.my," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maklumat terkini berkaitan penyakit berkenaan juga masih boleh diperolehi menerusi laman web www.moh.gov.my atau www.h1n1.moh.gov.my.

Mengulas situasi terkini H1N1, Dr Mohd Ismail berkata, hari ini seramai 102 pesakit baru dengan gejala influenza-like-illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, sementara 126 kes discaj.

Sehingga kini, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 580 kes di 76 hospital termasuk tiga hospital swasta, katanya.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 23 pesakit atau empat peratus adalah kes influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya.

Beliau berkata, daripada 23 orang pesakit Influenza A(H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak lima kes atau 22 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pada hari ini tiada kemasukan kes baru ke ICU dan seorang telah discaj. Kesemua lima kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti obesiti (1), penyakit kronik (2) dan kanak-kanak bawah lima tahun (2)," katanya.

Dr Mohd Ismail turut memaklumkan tiada kematian akibat influenza A(H1N1) yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang. - Bernama