Followers

Friday, October 16, 2009

Umno Kedah ikrar tawan semula negeri itu daripada pembangkang

KUALA LUMPUR: Umno Kedah berikrar dan berjanji untuk menawan semula negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, Perhimpunan Agung Umno 2009 diberitahu di sini, hari ini.

Wakil negeri itu yang juga Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Paduka Md Rozai Shafian, berkata beliau yakin dan percaya "kalau Kedah rebah di atas ribaan kami, InsyaAllah pada pilihan raya umum ke-13, atas keringat yang ada, Kedah akan kembali kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)".

Kedah buat pertama kali pada pilihan raya umum Mac tahun lalu jatuh ke tangan parti pembangkang setelah hanya memenangi 14 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, berbanding 22 kerusi yang dimenangai parti pembangkang daripada PAS (16), DAP (1), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (4) termasuk satu Bebas (1).

Beliau berkata dengan suntikan semangat yang diberikan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmiannya semalam, Umno Kedah kini bersedia untuk menawan kembali negeri berkenaan daripada pembangkang.

Ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden, katanya pindaan perlembagaan parti yang diluluskan semalam adalah pengorbanan besar presiden parti terutama dari aspek memperluaskan jumlah perwakilan. - Bernama

Jangan tolak ansur sembrono: Umno Johor

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno mahu semua bentuk tolak ansur yang dilakukan pucuk pimpinan bagi kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini, tidak dilaksanakan secara sembrono sehingga boleh menjejas kepentingan orang Melayu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Wakil Johor, Datuk Shamsul Bari Jamali, berkata kebimbangan itu disebabkan niat baik pucuk pimpinan mengundang pelbagai persepsi dan penilaian berbeza daripada kalangan ahli sehingga ada yang meluat dan bosan, sekali gus menghakis keyakinan orang Melayu terhadap parti itu sebagai pembela nasib bangsa.

"Sebenarnya amalan kompromi ini saling menguntungkan semua pihak, namun pada hakikatnya secara kumulatif, berlaku kecairan kepentingan orang Melayu. Kita dilihat kelihatan sering mengalah. Berdasarkan kos, kita terpaksa membayar harga yang tinggi daripada kehilangan sokongan demi sokongan daripada kita sendiri.

"Untuk membuktikan Umno sebagai pendukung perjuangan parti, kita perlu memberi keyakinan baru kepada rakyat dengan memperkasa kepemimpinan sedia ada yang berani dan yakin dalam usaha memecah tembok kecelaruan yang ditimbulkan pelbagai pihak," katanya berucap pada Perhimpunan Agung Umno di sini, hari ini.

Shamsul berkata, transformasi yang dilaksanakan menerusi kerangka gagasan 1Malaysia juga perlu memberi penekanan kepada prinsip perlembagaan yang memberi keadilan kepada semua kaum seperti yang dipersetujui ketika membentuk kemerdekaan negara.

Katanya, bagi tujuan itu kesamarataan yang menjadi matlamat gagasan perlu mengambil kira kebajikan rakyat terutama golongan miskin yang menjadi golongan majoriti dengan menggunakan kaedah indeks kualiti hidup yang diperkenalkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sejak 1999.

"Umno perlu membawa kesejahteraan kepada golongan majoriti yang lemah berbanding minoriti yang kuat dengan mempertingkat bantuan dan sokongan kepada rakyat miskin yang ramai daripada usaha melonggok kemewahan kepada segolongan kecil yang sudah meraih kekayaan.

"Indeks ini mampu menjadi kayu pengukur kepada kesejahteraan rakyat merangkumi soal pendapatan dan pengagihan, produktiviti, pengangkutan, pendidikan, ekonomi, perumahan, alam sekitar, penyertaan sosial, keselamatan awam dan kehidupan berkeluarga.

"Prinsip keadilan yang diamalkan tanpa mengira kaum, indeks kesejahteraan dan harapan supaya tidak berkompromi secara sembrono adalah transformasi yang harus ada kesinambungan dalam kerangka gagasan 1Malaysia yang berlandaskan perlembagaan," katanya.

Pemimpin Umno perlu ubah sikap: Ku Li

KUALA LUMPUR: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata perubahan dalam Umno bukan setakat membabitkan pindaan perlembagaan parti tetapi juga menuntut perubahan daripada segi sikap pemimpin jika mahu mendapatkan semula sokongan rakyat.

Beliau menggesa pemimpin membuang "kelengkapan” seperti pengawal peribadi yang menghalang mereka daripada bergaul dengan akar umbi.

“Pindaan bukan setakat membabitkan perlembaan parti. Ia patut bermula dengan perubahan personaliti, sikap dan kelakuan pemimpin-pemimpin.

“Kita memerlukan pemimpin yang bersih, yang bebas daripada rasuah dan perilaku yang dicerca oleh orang ramai," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas pindaan parti yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno.

Pindaan utama ialah pertambahan jumlah perwakilan yang boleh mengundi untuk memilih pemimpin bagi jawatan tinggi parti daripada 2,500 sekarang kepada 146,500 di peringkat bahagian.

Razaleigh yang juga bekas naib presiden parti dan Ahli Parlimen Gua Musang, menyambut baik pindaan itu tetapi berpendapat hak pengundian patut dibuka kepada semua anggota.

“Semua anggota sepatutnya dibenarkan mengundi, bukan hanya perwakilan tetapi juga memantau pengaruh "pemimpin berkuasa" dan politik wang," katanya selepas menyampaikan ucaptama sempena pelancaran buku bertajuk “Multiethnic Malaysia: Past, Present and Future”, himpunan artikel cendekiawan Malaysia. - Bernama

Keikhlasan, keyakinan faktor utama perjuangan Umno: Shafie

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu ahli Umno menerapkan nilai keyakinan dan keikhlasan dalam diri dan menjadikannya sebagai antara faktor utama dalam meneruskan perjuangan untuk bangsa dan negara.

Katanya perjuangan parti itu perlu diteruskan kerana ia bukan hanya mampu menangani segala isu yang berbangkit malah ia juga berupaya meningkatkan lagi perkhidmatan kepada rakyat.

"Ini amat jelas terbukti dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini di mana Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dikenang oleh pengundi di Bagan Pinang dan mereka menyatakan mereka kenal Tan Sri Isa sebagai seorang yang telah berkhidmat dan berbakti di Teluk Kemang," katanya ketika menggulung perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini, hari ini.

Shafie berkata dalam sejarah perjuangan bangsa menerusi Umno dan Barisan Nasional (BN), parti itu telah melalui liku-liku perjuangan yang amat mencabar.

"Apa yang saya katakan di sini ialah kita mampu melakukan segala-galanya walau apapun cabaran yang dihadapi asalkan kita landaskan dengan perancangan yang rapi dan juga keyakinan yang kental.

"Dari awal 1970-an hingga kini, kita mampu dan yakin boleh atasi cabaran tersebut. Apa yang penting ialah semangat dan keyakinan untuk terus meletakkan Umno di hati rakyat," katanya.

Shafie berkata secara perbandingan dengan parti-parti politik lain di negara ini, apa yang telah dilakukan oleh Umno selama ini jelas membuktikan bahawa ia boleh membela nasib bangsa dari pelbagai sudut.

"Adakah kita yakin bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu membela nasib bangsa? Cakap bukan main berani tetapi kita sedar mereka hanya bercita-cita hendak jadi Perdana Menteri sedangkan mereka sedang bergelut dengan masalah.

"Adakah kita yakin DAP mampu mendaulatkan nasib bangsa dalam bidang agama, sedangkan kita sedar DAP hanya mempersendakan agama Islam dengan membaca segala hadis dan bertakbir semasa berkempen.

"Jelas daripada apa yang saya katakan, saya yakin, Umno boleh, mampu, terbukti membela nasib bangsa dan mendaulatkan syiar Islam dan menyatukan rakyat di negara ini," katanya.

Shafie, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Biro Keahlian Umno, berkata jawatankuasa itu akan melakukan beberapa pendekatan bagi menambah dan menarik lebih ramai menyokong Umno.

Beliau berkata pendekatan itu ialah pemutihan senarai anggota di peringkat cawangan dan bahagian dengan kerjasama ibu pejabat dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat. - Bernama