Followers

Wednesday, October 14, 2009

Wanita, Pemuda, Puteri Umno mulakan perhimpunan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini mengadakan perhimpunan agung masing-masing secara berasingan, sekaligus memulakan perbincangan bagi pindaan perlembagaan parti itu, yang akan dibentangkan dalam satu Perhimpunan Agung Khas Umno esok.

Perwakilan dijangka membincangkan cadangan pindaaan perlembagaan itu sewaktu mereka membahaskan usul ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing.

Pindaan perlembagaan itu adalah sebahagian daripada usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Presiden Umno untuk mentransformasi parti itu secara menyeluruh bagi membolehkannya kekal sebagai pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Ketiga-tiga ketua sayap parti itu, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyampaikan ucapan sulung mereka selepas peralihan kepimpinan pergerakan masing-masing pada Perhimpunan Agung Umno 2008, Mac lalu.

Perhimpunan Agung Wanita berlangsung di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Dr Ismail manakala Puteri di Dewan Tun Hussein Onn. Mesyuarat bermula pada jam 8.30 pagi.

Seramai 795 perwakilan masing-masing menghadiri perhimpunan agung Wanita dan Pemuda manakala sejumlah 789 perwakilan mengambil bahagian dalam perhimpunan agung Puteri. - Bernama

Wanita Umno tumpu tiga isu

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil mahu ahli wanita mengorak langkah keluar daripada pemikiran hanya untuk menjadi pemimpin wanita saja.

"Kita perlu berfikir di luar lingkungan wanita dan mengorak langkah serta bertindak bagi mendapat pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan yang diberikan selama ini," katanya pada perhimpunan agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ia adalah ucapan dasar sulungnya selepas dipilih ke jawatan itu Mac lalu.

Beliau berkata, isu kepimpinan wanita adalah antara tiga isu yang akan diberi fokus segera oleh Wanita Umno, selain isu wanita serta undang-undang dan pengupayaan ekonomi wanita.

Shahrizat berkata, bahawa dalam bidang politik, perwakilan wanita di peringkat pembuat keputusan di semua tahap masih lagi rendah kerana, berdasarkan stastik, wanita Malaysia masih jauh daripada tahap 30 peratus.

Di dalam Umno, katanya, bilangan wanita sebagai ahli termasuk daripada pergerakan Puteri adalah 1.68 juta orang (48.3 peratus), namun bilangan wanita yang menduduki Majlis Tertinggi (MT) hanya enam orang atau 11.8 peratus.

Shahrizat berkata, perjuangan ke arah penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam parti adalah penting kerana kewujudan "siling kaca" menyebabkan wanita yang berpotensi dan berkelayakan tidak dapat memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan.

"Fenomena ini disebabkan oleh tanggapan bahawa hanya lelaki sahaja yang layak memegang jawatan di peringkat tertinggi dan adalah mustahil bagi wanita untuk berada di peringkat tersebut," katanya.

Beliau berkata, isu keseimbangan kerjaya dan keluarga juga menjejaskan peluang wanita untuk berjaya dalam kerjaya memandangkan wanita masih dianggap sebagai penjaga keluarga yang utama.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kurangnya penonjolan wanita di tempat kerja dan pengaruh persekitaran yang membentuk peranan gender juga menyebabkan wanita kurang berkeyakinan untuk memegang jawatan yang penting walaupun berkelayakan.

Katanya, daripada aspek undang-undang, Wanita Umno mendapati kes syariah terutama bilangan kes mal yang melibatkan keluarga, masih merekodkan jumlah prosiding yang tinggi, dan ini menunjukkan wujud masalah dalam pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini.

Ia dapat dilihat dengan kes mal yang masih tertunggak di Mahkamah Syariah di mana dari 2005 hingga 2008 sebanyak 41 peratus atau 5,350 kes daripada 12,839 kes tuntutan fasakh masih tertunggak manakala 41.3 peratus atau 16,308 kes daripada 39,474 kes tuntutan penceraian juga tertunggak dan tuntutan pengesahan cerai taklik iaitu sebanyak 54.1 peratus atau 7,734 kes daripada 13,557 kes tertunggak, katanya.

"Bagi menjamin hak wanita dilindungi sepenuhnya, pihak-pihak berwajib terutamanya pihak mahkamah hendaklah lebih serius dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kaum wanita dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang Syariah," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penyeragaman pentadbiran undang-undang keluarga Islam supaya penyelesaian kes-kes keluarga dapat dipercepatkan dan ditangani dengan lebih berkesaan.

Menyentuh isu pengupayaan ekonomi wanita, Shahrizat berkata, wanita mesti mempunyai keupayaan daripada segi ekonomi kerana dengan keupayaan tersebut, wanita mampu berdikari dan tidak hanya bergantung kepada orang lain, terutama jika sesuatu musibah terjadi dalam keluarga.

Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini antara 1990 dan 2008 tidak berganjak pada jajaran 44 peratus hingga 47 peratus berbanding negara maju seperti United Kingdom adalah 69.7 peratus, Amerika Syarikat (69.2), Jepun (60.8) dan Korea Selatan (54.5).

Katanya, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati sebab utama 55 peratus wanita berhenti kerja adalah untuk mengurus rumah tangga, menjaga anak atau menjaga anggota keluarga, dan jika keadaan ini tidak dibendung, akan merugikan bukan sahaja wanita tetapi juga negara.

Beliau meminta majikan mempertingkatkan cara pengurusan kerja yang fleksibel dengan meluaskan amalan waktu kerja anjal, bekerja dari rumah dan "teleworking".

Shahrizat juga berharap ahli keluarga mengubah persepsi dan minda di mana tugas menguruskan keluarga bukanlah tanggungjawab wanita semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab bersama semua ahli keluarga.

Katanya, bidang keusahawanan merupakan satu bidang yang berpotensi untuk diceburi oleh wanita bagi menjana pendapatan dan untuk mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang sangat mencabar.

"Walaupun bidang ini mempunyai banyak risiko, kaum wanita mesti berani menghadapi cabaran untuk mendapatkan pulangan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, bagi wanita yang telah berjaya, mereka hendaklah menjadi mentor kepada mereka yang baru menceburi bidang itu supaya dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan akan menjadikan mereka lebih kompetitif dan turut mencapai kejayaan.

Shahrizat berkata, jika cadangan pindaan perlembagaan diterima dalam Perhimpunan Khas esok, maka peningkatan ketara kepada sekurang-kurangnya 22,500 perwakilan wanita dari peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi akan berpeluang diberi tanggungjawab penting memilih pucuk pimpinan parti dan menentukan hala tuju Umno. "Wanita juga diberi pengiktirafan apabila satu tambahan tempat diberi secara lantikan dalam Majlis Tertinggi. Jika dahulu Presiden boleh melantik anggota MT seramai 12 orang tetapi kini ia bertambah kepada 13 orang iaitu khusus kepada wanita.

"Begitu juga di peringkat bahagian daripada tujuh orang kepada lapan orang dengan syarat diberikan kepada wanita. Di peringkat cawangan pula daripada lima orang kepada enam orang yang turut diberikan kepada wanita," katanya. - Bernama

Puteri bukan sekadar perayu undi: Rosnah

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno mahu sayap itu diangkat sebagai pengukuh dan penyokong kepada Umno, bukan sekadar untuk berkempen dan merayu undi ketika pilihan raya.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata Puteri Umno juga ada perjuangan bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara, bukan pesaing kepada sayap lain.

Dalam ucapan sulung sebagai Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung pergerakan itu, beliau berkata pergerakan itu juga mahu bergerak seiring dengan dua sayap lain iaitu Pergerakan Wanita dan Pemuda.

"Jika mereka (Wanita dan Pemuda) menjadi sayap, kita juga mesti terbang dengan sayap itu. Jika mereka menjadi tulang belakang, biarlah kita kekal menjadi tulang rusuk yang menjadi rasuk yang mengukuh.

"Rasuk pada tiang seri sebuah rumah yang kukuh berdiri tanpa sebatang pun kaku," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Menggarap 1Perjuangan, Mengukuh Puteri, Menjulang Parti."

Rosnah berkata, ahli pergerakan itu yang dikategorikan sebagai golongan muda, cantik, pandai, bergaya dan berpendidikan tinggi mesti peka kepada tuntutan semasa.

Katanya, ahli Puteri perlu sentiasa memikirkan perihal bangsa dan agama apabila kedudukan Umno yang semakin tidak selesa berikutan ungkitan demi ungkitan membabitkan perkara yang sudah pun dipersetujui perlembagaan.

Rosnah turut menggemukakan cadangan pindaan perlembagaan, mengumumkan kempen keahlian, membangkitkan isu pendidikan, kemiskinan bandar, ekonomi Melayu, bahasa, kerjaya, agama, kesihatan, 1Malaysia dan Portal Puteri Umno Malaysia.

Wanita perlu setaraf kepimpinan arus perdana: Shahrizat

Oleh Wan Hazmir Bakar

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno mahu kepimpinan di peringkat tertinggi Umno mencerminkan keahlian dalam parti dengan pemimpin wanita diberi peranan sebagai pemimpin arus perdana Umno, bukannya sekadar mewakili sayap parti.

Ketuanya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pada masa ini bilangan ahli wanita dalam Umno, termasuk Puteri Umno, adalah seramai 1.68 juta orang atau 48.3 peratus daripada keseluruhan ahli parti tetapi bilangan wanita yang menduduki Majlis Tertinggi (MT) hanya enam orang atau 11.8 peratus.

"Begitu juga di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di mana perwakilan wanita masih kecil iaitu sekadar 'mewakili Wanita Umno', bukannya 'mewakili Umno'.

"Pemimpin wanita seharusnya diberi peranan sebagai pemimpin arus perdana Umno, bukannya mewakili sayap tertentu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Sharizat berkata, bilangan kaum wanita pada tahap sekurang-kurangnya 30 peratus dalam kalangan pembuat keputusan penting kerana kewujudan 'siling kaca' menyebabkan wanita yang berpotensi dan berkelayakan tidak dapat memegang jawatan berkenaan.

Katanya, isu keseimbangan kerjaya dan keluarga menjejaskan peluang wanita untuk berjaya dalam kerjaya kerana wanita masih dianggap penjaga keluarga utama manakala kurangnya penonjolan wanita di tempat kerja walaupun mereka telah berjaya memberi sumbangan kepada organisasi.

"Pengaruh persekitaran yang membentuk peranan gender juga telah menyebabkan wanita kurang berkeyakinan untuk memegang jawatan yang penting walaupun berleayakan untuk berada di peringkat pembuat keputusan," katanya.

Namun, Shahrizat yakin keadaan itu dalam Umno akan berubah jika cadangan pindaan perlembagaan parti diterima dan pemimpin wanita akan diarusperdana dan diinstitusikan di peringkat cawangan, bahagian dan MT.

Katanya, kalau dulu hanya 280 perwakilan wanita diberi peluang untuk memilih pucuk pemimpin, pindaan itu akan memberi sekurang-kurangnya 22,500 perwakilan wanita dari peringkat cawangan, bahagian dan MT kuasa memilih.

"Walaupun tidak semua cadangan yang dikemukakan diterima, namun Wanita Umno tetap positif kerana ia membuka lembaran dan era baru dalam kepimpinan wanita dalam partis siasah utama negara," katanya.