Followers

Saturday, October 10, 2009

Korban di Filipina lepasi angka 540


PARA penduduk berpaut pada tali semasa menyeberangi sebatang jalan raya yang ditenggelami banjir akibat taufan Parma di Rosales Pangasinan di utara Manila, semalam. – Reuters


MANILA 9 Okt. – Jumlah korban akibat taufan yang melanda Filipina utara dalam tempoh dua minggu lalu meningkat melebihi 540 orang hari ini, selepas kejadian tanah runtuh mengorbankan berpuluh-puluh penduduk dan banjir menenggelamkan banyak pekan.

Sekurang-kurangnya 181 orang terbunuh dalam beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan tanah tinggi di utara Filipina, malam tadi .

Hujan masih turun berterusan di pulau utama Luzon. Kawasan pergunungan kini berhadapan lebih banyak kejadian tanah runtuh manakala banjir yang boleh mencecah sehingga 8 meter di kawasan dataran.

“Skala hujan kali ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata pegawai eksekutif Majlis Koordinasi Bencana Kebangsaan, Glen Rabonza kepada AFP.

Sementara itu, beribu-ribu orang terperangkap ekoran banjir yang semakin buruk di utara Filipina hari ini selepas hujan lebat memaksa pihak berkuasa melepaskan air dari empangan.

Pegawai tempatan membuat permohonan kecemasan untuk mendapatkan helikopter dan bot getah bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di wilayah Pangasinan. – AFP

Kerajaan sedia kerjasama dengan parti yang sokong dasar: PM

SERDANG: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam dan luar Barisan Nasional (BN), badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan sesuai dengan semangat 1Malaysia bagi menangani masalah masyarakat India.

Perdana Menteri berkata, apa yang penting mereka percaya pada dasar dan prinsip kerajaan itu.

"Masalah itu telah bersama-sama kita untuk sekian lama dan ia memerlukan usaha besar-besaran untuk menyelesaikan masalah berkenaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Parti Makkal Sakti dan mesyuarat agung kali pertama parti itu di MAEPS di sini.

Kematian pertama akibat H1N1 di Cuba

HAVANA: Cuba semalam mengumumkan tiga wanita mengandung mati selepas dijangkiti virus Influenza A (H1N1), iaitu laporan pertama mangsa maut akibat virus terbabit.

"Kami tidak bernasib baik dan mengesahkan kes kematian beberapa individu akibat selesema babi," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Jose Angel Portal Miranda, menerusi program berita sebuah televisyen.

Beliau tidak mendedahkan tempoh wanita itu mati, tetapi berkata, ketika ini Cuba mencatatkan 621 kes selesema babi. - AFP

Korban gempa bumi Padang kini 803 orang

JAKARTA: Jumlah mangsa yang mati dalam kejadian gempa bumi berkekuatan 7.9 skala Richter pada 30 September lalu meningkat menjadi 803 orang sehingga tengah hari tadi ketika kaum keluarga masih berharap menemui jasad 241 orang lagi yang dilapor masih hilang.

Data Badan Penanganan Bencana Sumatera Barat setakat malam tadi menunjukkan 891 orang cedera parah dan 1,365 orang cedera ringan.

Lebih 133,000 rumah mengalami kerosakan teruk, runtuh atau hancur sepenuhnya dan lebih 110,000 yang lain mengalami pelbagai kerosakan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) pula hari ini dilapor membuat pembetulan tahap gempa bumi daripada yang disebutkan pada mulanya berkekuatan 7.6 kepada 7.9 pada skala Richter.

Hari ini, bekalan elektrik di Kota Padang dan Pariaman dilapor hampir pulih sepenuhnya manakala penjualan minyak juga kembali seperti biasa.

Hanya bekalan bekalan air bersih yang masih diperbaiki. - Bernama