Followers

Thursday, October 8, 2009

3 gempa di Vanuatu hasil tsunami kecil tetapi amaran dibatalkan

WELLINGTON, New Zealand: Tiga gempa bumi kuat menggegarkan selatan Pasifik berhampiran kepulauan Vanuatu hari ini, menghasilkan tsunami kecil hanya selepas seminggu gelombang ombak besar meragut 178 nyawa di kepualauan Samoa dan Tonga.

Tiada laporan awal kerosakan dan semua amaran tsunami dibatalkan.

Namun, amaran awal itu menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri ke tanah tinggi di sekurang-kurangnya tiga pulau Pasifik itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii mengeluarkan amaran tsunami serantau untuk 11 negara dan wilayah selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 berlaku 294 kilometer di barat laut pulau Vanuatu Santo pada kedalaman 35 kilometer.

Dua lagi gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.3 menyusul di kawasan sama.

Pusat itu membatalkan amaran tsunami selepas bacaan paras laut menunjukkan gelombang yang dihasilkan gempa bumi itu terlalu kecil untuk menyebabkan kerosakan.

Tiada laporan awal kecederaan atau kerosakan di Vanuatu, iaitu rantaian 83 pulau yang terletak lebih 2,200 kilometer di barat laut Sydney, Australia.- AP

Produk plum, prun kering ada logam plumbum berlebihan diharamkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengharamkan 16 jenama produk buah kering yang diimport dari China, Taiwan dan beberapa negara Asia kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata produk buah kering antaranya plum kering dan prun kering itu mengandungi paras plumbum yang agak tinggi iaitu antara 0.11 dan 30.3 bahagian sejuta (ppm) atau miligram (mg)/kilogram (kg).

Beliau berkata paras plumbum yang ditetapkan di negara ini ialah dua bahagian sejuta ppm atau mg/kg di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika kandungan logam melebihi paras berkenaan, tindakan undang-undang akan dikenakan.

"Mana-mana pihak yang terlibat, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2009 di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan U.S Food and Drug Administration (USFDA) menerusi laman webnya http://www.fda.gov yang bertajuk "Consumers Warned Not to Eat Certain Imported Dried Plums" pada Khamis lalu.

Liow berkata produk berkenaan adalah "The Original Chinese Candy", "Dried Plums with Pickle and Lemon", "Saladitos Con Pepino Y Limon", "Saladitos 6 Count", "Saladitos Salted Prunes", "Saladitos Chinese Candy", "Its Fruit Chinese Style Dried Prune" dan "Salted Plum Suckers".

Produk lain adalah "Salados Salted dried plums", "7 Salted Plums", "Preserved Liquariced Prune", "Preserved Plums:Preserved Salted Prunes", "Preserved Plums:Preserved Red Prunes", "Preserved Fruit Pitted Prunes", "Chan Pui Mui Preserved Plum" dan "Ka Po Preserved Plum".

Liow berkata kementerian terus memantau untuk memastikan produk berkenaan tidak terdapat dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata kementerian juga akan meneruskan pemantauan di pintu masuk dengan meletakkan pemeriksaan Tahan Lima (Tahan, Uji dan Lepas) dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) untuk semua produk yang terlibat.

Plumbum adalah bahan cemar dalam makanan yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia dalam jangkamasa panjang akibat daripada pengumpulan bahan cemar dalam badan.

Beliau berkata kesan yang mungkin berlaku adalah gangguan kepada sistem saraf dan perkembangan otak terutama di kalangan kanak-kanak.

"Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produk-produk yang terlibat, manakala penjual dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ataupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat sekiranya produk berkenaan terdapat di premis mereka," katanya.

Liow berkata pengimport atau ejen yang mengimport produk terbabit diminta menghentikan pengedaran dan memaklumkan kepada PKD atau JKN berdekatan untuk tindakan seterusnya. - Bernama

Undang-undang pencegahan 18 negara dikaji

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat kajian perbandingan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan undang-undang pencegahan dari 18 buah negara termasuk Amerika Syarikat dalam usahanya meminda ISA.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata negara berkenaan termasuklah Singapura, Australia, Tanzania, Brunei, India, United Kingdom, Thailand, Bangladesh, Ireland, Ghana, Uganda, Timor Leste, Korea Selatan, Macau, Bahrain dan Sri Lanka.

"Bagi Amerika Syarikat undang-undang pencegahan yang dikaji ialah Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002," katanya, sambil menambah kata bahawa akhirnya ISA akan dipinda mengikut acuan negara ini sendiri.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata hasil perbincangan kementerian dengan badan bukan kerajaan, ahli akademik dan orang ramai, tiada pihak yang mahukan ISA dimansuhkan.

"Mereka mahukan ISA dikekalkan bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat tetapi dipinda bagi ditambahbaik lagi termasuk di sudut menjaga hak asasi manusia dan ketelusan," katanya.

Abu Seman berkata, perbincangan akan terus diadakan sebelum pindaan akta itu dibentangkan pada sesi Parlimen bulan ini.

Mengenai ancaman Benteng Dekomrasi Rakyat (Bendera) dari Indonesia yang sentiasa membawa buluh runcing ketika berdemonstrasi kononnya mahu menyerang Malaysia hari ini, beliau berkata:

"Buluh runcing tak ada. Yang ada buluh yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di perairan negara."

Beliau berkata, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan walaupun setakat ini tiada maklumat serangan itu akan berlaku. - Bernama

Kemunculan ribuan ikan duri mungkin kerana gempa

JERTEH: Hasil tangkapan luar biasa ikan duri oleh nelayan di Kuala Kemasin dan Pantai Senok, Bachok, semalam berkemungkinan berpunca daripada kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Wilayah Timur, Azmi Daud, berkata fenomena kemunculan ribuan ikan dari dasar laut kebiasaannya terjadi apabila adanya kejadian bencana alam kerana ikan akan mencari kawasan yang lebih selamat.

"Biasanya haiwan seperti ikan laut ini mempunyai ketajaman deria yang kuat dan sensitif dan setiap kali berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan seumpamanya, ia berkumpul dan timbul di sesuatu kawasan yang sama dalam kuantiti yang luar biasa banyaknya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, nelayan di sekitar Kuala Kemasin dan Pantai Senok terkejut apabila memperoleh hasil tangkapan ikan duri sehingga 5,000 kilogram hanya dalam tempoh dua jam turun ke laut.

Seorang nelayan, Mat Zin Omar, 44, berkata kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak dia menjadi nelayan 15 tahun lepas.

"Kebiasaannya hasil tangkapan paling banyak diperoleh adalah sekitar 1,000 kilogram sahaja. Kejadian ini memang sesuatu yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata, nelayan menganggapnya satu rezeki yang tidak dijangka dan mereka kini menjual ikan duri terbabit kepada peraih pada harga RM4.60 sekilogram. - Bernama