Followers

Saturday, October 3, 2009

Terengganu kaji henti hantar pelajar perubatan ke Indonesia

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengkaji semula penghantaran pelajar jurusan perubatan ke Indonesia atas faktor keselamatan berikutan gempa bumi yang sering berlaku di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kemungkinan menghantar pelajar bidang perubatan ke Poland atau Hungary.

"Apa pun keputusan yang bakal diambil nanti, ia adalah yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita," katanya kepada pemberita pada Program Semarak Bestari 1Malaysia di Kampung Baru Seberang Takir, di sini, hari ini.

Razif berkata, buat masa ini terdapat seramai 65 pelajar Terengganu sedang menuntut dalam bidang perubatan di 10 buah universiti di Indonesia.

Seorang daripada pelajar berkenaan menuntut di Universitas Andalas di Padang yang mengalami gempa bumi dua hari lepas. Bagaimanapun, pelajar itu terselamat dalam kejadian itu.

Razif berkata, kerajaan negeri akan menghantar rombongan pegawai Yayasan Terengganu ke Indonesia minggu depan untuk melihat aspek keselamatan pelajar di sana.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan penghantaran masing-masing 50 pelajar ke Mesir dan ke Rusia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tahun ini. - Bernama

Tabung Gempa 1Malaysia Untuk Asia dilancarkan

PORT DICKSON: Atas semangat keprihatinan terhadap penderitaan mangsa bencana alam khususnya mangsa gempa bumi di Sumatera Barat, stesen TV kerajaan, RTM hari ini bekerjasama dengan badan bantuan kemanusiaan dan pembangunan antarabangsa Islamic Relief Malaysia (IRM) melancarkan Tabung Gempa 1Malaysia Untuk Asia.

Pelancaran tabung itu disempurnakan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dalam satu majlis di Pusat Media, Jabatan Penerangan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di Teluk Kemang di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Rais berkata RTM menjalinkan kerjasama dengan IRM bagi tabung berkenaan kerana yakin dengan keupayaan badan itu dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pihak yang ditimpa malapetaka.

"Dengan rangkaian 100 cawangan Islamic Relief di 40 buah negara di seluruh dunia, termasuk di Sumatera, komitmen badan itu dalam usaha berkenaan tidak dapat dipertikaikan lagi," katanya.

Beliau merayu rakyat Malaysia supaya menyumbang kepada tabung berkenaan secara cek atau tunai melalui akaun Maybank: 5621 4270 8704 atau akaun CIMB: 1259 0000 804 058 atau melayari laman web www.irm.org.my. - Bernama

400 hilang ditelan bumi ketika gempa di Padang

JAKARTA: Kira-kira 400 orang yang menghadiri satu majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman ketika gempa bumi berkekuatan 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat pada 5.16 petang rabu lalu.

Kebimbangan itu berdasarkan keadaan kampung itu yang kini rata ditutupi tanah dan menara masjid, iaitu merupakan struktur tertinggi di situ, juga sudah tidak kelihatan.

"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S Pakaya, yang dipetik Detikcom hari ini.

Sambil menyebut bahawa pasukan mencari dan menyelamat tidak mungkin menggali sedalam 30 meter untuk mengeluarkan mangsa, beliau berkata dengan tenggelamnya kampung itu, proses mencari dan menyelamat sangat sukar untuk dijalankan walaupun pasukan pencari masih berusaha.

Tragedi di kampung itu adalah satu daripada beberapa kejadian serupa yang mula mendapat perhatian setelah sistem komunikasi dan jalan raya mulai dapat berfungsi semula.

Di Kota Padang sendiri, televisyen tempatan menyiarkan visual pelbagai usaha mencari dan menyelamat yang giat dijalankan pihak berkuasa termasuk tentera di beberapa buah hotel dan bangunan lain seperti pusat tuisyen, ketika bau mayat dikatakan sudah mulai menyengat.

Kira-kira 100 mangsa pula dipercayai terhimpit di celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding Hotel Ambacang manakala 50 murid masih tertimbus akibat tanah runtuh yang menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman.

Kira-kira 200 orang lagi masih hilang, juga dipercayai tertimbus dalam runtuhan dua buah bukit di Petamuan, Padang Pariaman.

Setelah masuk hari keempat yang dianggap sangat genting bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk menemui dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup, para pegawai pihak berkuasa berkata keluarga mangsa terutama yang tertimbus harus ikhlas merelakan kepergian keluarga mereka. - Bernama

Taufan kedua landa Filipina

MANILA: Taufan Parma melanda Filipina hari ini dengan angin kencang menyebabkan banyak pokok dan tiang elektrik tercabut serta mencurah lebih banyak hujan ke negara itu.

Tiada laporan awal berhubung sebarang kecederaan mangsa.

Taufan itu, iaitu yang kedua dalam tempoh lapan hari, melanda wilayah utara Cagayan tengah hari tadi ketika ia menuju ke pantai.

Ia membelah kawasan timur laut pulau utama Luzon dan bergerak ke arah Taiwan, di mana usaha memindahkan penduduk kampung sedang dilakukan.

Puluhan ribu penduduk dipindahkan ke tempat selamat di seluruh Filipina sebelum taufan itu melanda beberapa hari selepas ribut pertama 26 September lalu yang menyebabkan banjir terburuk di Filipina dalam tempoh empat dekad.

Namun, Taufan Parma tidak dijangka menyebabkan kerosakan teruk berbanding taufan terdahulu.

Ketua biro cuaca Filipina, Prisco Nilo, memberi amaran hujan lebat boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir manakala angin kencang boleh mengakibatkan ombak besar sepertu tsunami di sepanjang pantai timur negara itu. - AP