Followers

Sunday, September 13, 2009

Rakyat tentukan kelangsungan kuasa BN: PM

TAWAU: Datuk Seri Najib Razak berkata dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini kuasa rakyat yang akan menentukan kelangsungan kuasa Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata bagi memastikan BN terus mendapat mandat memerintah negara ini, parti perlu bersifat adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

"Ini semua adalah kerana kalau kita dapat pertahankan hak semua kaum dan berlaku adil maka rakyat akan lebih senang kepada kita dan inilah juga perinsip kerajaan kita iaitu kerajaan BN.

"Kita akan ambil kira semua golongan supaya mereka tidak berasa terpinggir atau jauh hati daripada kita malah setiap kelompok, setiap kumpulan, setiap kaum akan dapat pembelaan sebaik-baiknya melalui dasar kerajaan kita iaitu kerajaan BN," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama di Tawau sempena majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan amal kepada anak yatim dan fakir miskin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pemimpin parti komponen BN dan bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai.

Najib berkata, prinsip keadilan yang digagaskannya melalui 1Malaysia adalah selaras dengan tuntutan agama Islam yang mahukan umatnya berlaku adil kepada semua kaum dan agama.

Katanya, konsep 1Malaysia itu menepati perkara yang dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika mendirikan kerajaan Madinah yang menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan dan memberi keadilan kepada semua kaum, melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan kepada kaum bukan Islam.

"Jika kita melihat konsep 1Malaysia, inilah (keadilan) inti patinya yang berdasarkan prinsip saling hormat menghormati, menerima kepelbagaian itu sebagai kekuatan kepada kita dan bukan satu (perkara) yang membawa masalah kepada kita. - Bernama

Najib tiba di Tawau untuk majlis bersama rakyat

TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di Tawau untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan masyarakat Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 3.30 petang dan disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan beberapa anggota Kabinet negeri.

Petang ini Najib dijadual mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Cina di Hotel Promenade sebelum menghadiri majlis penyampaian sumbangan amal Ramadan serta berbuka puasa di Masjid Al-Kauthar.

Sejurus selepas menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih, Najib dijadual mengadakan perjumpaan dengan anggota pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Hotel Promenade sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - Bernama

Arak: MB Kedah terkejut cadangan Pemuda Pas

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beliau tidak mengetahui mengenai cadangan kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat seperti dibangkitkan Dewan Pemuda Pas.

"Semalam saya bermesyuarat dengan Dewan Pemuda Pas Pusat tapi tiada yang membangkitkan perkara ini. Saya kena dapatkan maklumat mengenainya terlebih dahulu," katanya ketika ditanya mengenai cadangan dewan berkenaan.

Azizan berkata, beliau tidak melihat cadangan itu sebagai satu keperluan mendesak kerana Kedah sudah ada undang-undang sendiri berhubung kaedah penjualan arak.

"Di sini hanya kedai-kedai tertentu sahaja yang diberikan lesen penjualan arak kerana ada penganut agama lain yang minum arak kerana agama mereka tidak mengharamkannya.

"Saya rasa tiada masalah bagi orang Islam kerana mereka tahu memang haram minum arak," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kulim, Lim Soo Nee sebagai Ahli Exco Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Azizan, bagaimanapun, menyatakan rasa terkejut mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam.

"Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," katanya.

Timbalan Pengerusi Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abd Rani, berkata semalam mereka akan menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak itu. - Bernama

H1N1: Tiada kes kematian baru

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian baru berkaitan Influenza A dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi tetapi seramai 231 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza dimasukkan ke hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pada masa sama sejumlah 166 kes ILI telah dibenar keluar hospital.

"Ini menjadikan baki seramai 1048 ILI sedang dirawat di 106 buah hospital termasuk 14 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 255 pesakit (24.3%) telah disahkan positif H1N1," katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 74 kes kematian berkaitan H1N1 sudah disahkan di seluruh negara.

Dr Mohd Ismail berkta, daripada 255 kes yang telah disahkan H1N1, 42 kes sedang dirawat di ICU di mana tujuh kes adalah kemasukan baru, sementara empat lagi kes telah keluar dari ICU. Katanya, daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 34 (81.0%) mempunyai faktor risiko.

Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (14),penyakit respiratori kronik (3), obesiti (8), kanak-kanak bawah 5 tahun (8) dan hamil (1).