Followers

Saturday, September 12, 2009

MPP universiti Indonesia bantu jamin keselamatan

JAKARTA: Beberapa pertubuhan pelajar universiti tempatan Indonesia komited untuk turut membantu menjamin rakan mahasiswa sekuliah mereka dari Malaysia daripada sebarang ancaman oleh segelintir rakyat Indonesia.

Komitmen oleh Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM), seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti di Malaysia itu, dinyatakan ketika media massa tempatan heboh menyiarkan berita segelintir rakyat Indonesia telah melakukan 'sweeping' di Jalan Diponegoro di sini baru-baru ini, bagi mencari rakyat Malaysia untuk ditahan sebelum dihantar pulang.

Ketua BEM Fakulti Kedoktoran Universiti Trisakti, Gusti Agung Ahmad, berkata BEM fakultinya sedar mengenai ancaman oleh kelompok Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) itu dan kerana itu berusaha mengambil tahu mengenai keselamatan mahasiswa Malaysia di universiti itu.

"Kami sering bertanya kepada rakan-rakan dari Malaysia mengenai rakan yang lain, hanya untuk memastikan mereka diketahui berada di mana dan tidak terdedah kepada ancaman seperti itu," katanya kepada di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai badan yang mewakili pelajar, BEM di fakultinya tidak pernah membezakan antara mahasiswa berdasarkan negara asal mereka, sebaliknya memberi perhatian serupa kepada semua pelajar dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Setakat ini pimpinan dan para pensyarah Universiti Trisakti juga sentiasa memantau perkembangan terbaru dan akan bertindak segera jika terdapat gangguan," katanya, yang menambah bahawa universiti itu pernah menurunkan sebuah poster yang dikhuatiri tidak menyenangkan pelajar Malaysia.

Wakil pemimpin badan serupa di Fakulti Perubatan Universitas Indonesia, Maha Fitra pula berkata mereka juga turut memantau keselamatan rakan-rakan dari Malaysia walaupun tidak secara langsung dan jika mengetahui adanya sebarang bentuk ancaman pasti akan segera melaporkan kepada pentadbiran universiti.

"Kami di fakulti perubatan mungkin jarang mengikuti kegiatan badan lain di luar fakulti kami tetapi dalam perkembangan terbaru ini, kami turut memberi perhatian berat," katanya.

Pemimpin pelajar Malaysia di Universiti Trisakti, Ahmad Nabieh Abqory Rahmat pula berkata sepanjang pemantauannya, tidak terjadi sebarang ancaman fizikal ke atas pelajar Malaysia di situ, lantaran pihak universiti dan mahasiswa tempatan yang memang bersahabat baik dengan pelajar Malaysia sentiasa mengambil berat.

"Kalaupun ada daripada pelajar fakulti selain kedoktoran, hanyalah berupa sindiran melalui blog dan laman web lain, yang sebahagian kami akan cuba memberi penjelasan, mengemukakan bukti dan memandu mereka ke laman web kerajaan dan berita di Malaysia. Akhirnya mereka dapat terima penjelasan itu," katanya.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar pula memberitahu BERNAMA selepas satu kejadian di Yogyakarta, setakat ini belum ada laporan mengenai ancaman fizikal atau sebarang tindakan kekerasan secara langsung terhadap mana-mana pelajar Malaysia.

Sementara itu, dalam satu reaksi kepada bentuk ancaman kelompok Bendera itu yang tercetus semata-mata kerana tuduhan palsu yang tersebar di media massa kononnya Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali, beberapa pertubuhan pelajar Malaysia dan tempatan sepakat menubuhkan sebuah persatuan bersama.

Pada sebuah pertemuan muhibbah dan berbuka puasa di sini malam tadi secara spontan mereka menghasilkan kesepakatan untuk menubuhkan "Indonesia-Malaysia Student Association", ringkasnya IMSA bagi menggerakkan pelbagai kegiatan bersama untuk meningkatkan hubungan silaturrahim.

Junaidi yang turut hadir pada perjumpaan itu merestui penubuhan IMSA, yang diharapkannya menjadi jambatan meningkatkan persefahaman, beraktiviti bersama seperti dalam gerakan sukarela membantu mangsa bencana, lawatan sambil belajar dan saling menjaga hal-hal kebajikan dan keselamatan bersama.

Sementara itu, Pengarah Mara bagi Indonesia, Nor Uyon Shoib yang turut hadir, berkata Mara yang menaja lebih 1,000 mahasiswa di sini sekarang turut gembira atas inisiatif itu yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khasnya dalam merapatkan hubungan antara bakal pewaris kepimpinan negara masing-masing. - Bernama

Hapus sistem kuota tepat pada masanya: Abdullah

KEPALA BATAS: Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menghapuskan sistem kuota serta memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan memilih pada perhimpunan agung parti sebagai tepat pada masanya.

Bekas Presiden Umno itu berkata, keputusan berkenaan juga mampu menolong membanteras politik wang setiap kali menjelang perhimpunan agung parti.

"Saya menyokong sepenuhnya kerana ia diputuskan peringkat tertinggi parti dan percaya semua pihak sudah lama menantikannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal, di sini, hari ini.

Semalam, MT bersetuju menghapuskan sistem kuota dan memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan untuk membuat pemilihan pada perhimpunan agung parti.

Kerajaan pertingkat sistem pengawasan H1N1

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meningkatkan pengawasan terhadap wabak Influenza A(H1N1) menjelang musim cuti perayaan Aidilfitri dan menghadapi kemungkinan gelombang kedua pandemik yang dijangka melanda dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementerian akan mengukuhkan lagi sistem pemantauan, rawatan dan terutamanya sistem komunikasi awam dalam usaha untuk mencegah penularan influenza meskipun kes jangkitan wabak itu menurun pada bulan ini.

Beliau berkata semua doktor dan jururawat di pusat kemudahan penjagaan kesihatan telah diarahkan bersedia untuk dipanggil bertugas pada tempoh itu.

"Jumlah jangkitan dan simptom penyakit seakan-akan influenza (ILI) telah menurun pada bulan ini berbanding bulan lepas.

"Namun, kita akan meningkatkan sistem pemantauan sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua pandemik itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pandemik Influenza A(H1N1) Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Persidangan sehari itu dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Persekutuan Persatuan Pengamal-pengamal Perubatan Swasta Malaysia.

Liow melahirkan kebimbangan musim balik kampung yang akan menyaksikan pergerakan besar manusia akan menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan wabak secara mendadak.

Beliau berkata kementerian akan mengedarkan maklumat dan nasihat kepada orang ramai bagaimana hendak menjaga kebersihan diri dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah penularan H1N1.

"Saya yakin dengan sistem pengesanan dan rawatan kita. Tetapi saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati. Jangan sembunyikan kesakitan dan pastikan anda mendapatkan rawatan jika mengalami demam panas lebih daripada 48 jam," katanya.

Beliau berkata kumpulan pertama vaksin Influenza A(H1N1) akan dijadual tiba akhir bulan depan.

Mengenai perkembangan terkini pandemik itu, Menteri Kesihatan itu berkata sehingga hari ini 45 kes baru ILI dimasukkkan ke hospital untuk rawatan manakala sejumlah 116 pesakit didiscaj, menjadikan 983 pesakit sedang menerima rawatan di 103 hospital seluruh negara.

Beliau berkata daripada 983 kes, 215 disahkan positif A(H1N1).

Daripada 215 kes berkenaan, beliau berkata 42 mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 daripada mereka adalah dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Jumlah kematian kekal pada 74 orang.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Liow menjelaskan ujian calitan tekak akan dilakukan terhadap pesakit yang dimasukkan ke hospital.

"Bagi kes-kes yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar, rawatan yang diberikan tidak memerlukan ujian pengesahan. Pemberian ubat anti viral adalah berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor," katanya. - Bernama

Najib ingatkan pemimpin BN jangan kejar populariti

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) agar tidak mengejar populariti sehingga tidak disenangi rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Beliau berkata, tindakan sebegitu ada yang dibenci rakyat sehingga membawa kepada kekalahan pada pilihan raya.