Followers

Tuesday, September 8, 2009

Gempa 6.1 magnitud landa timur Jawa

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 6.1 magnitud melanda pesisir pantai di timur kepulauan Jawa, tengah malam tadi.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia dalam kenyataannya berkata, gempa yang berlaku jam 11.12 malam di kedalaman 15 kilometer (km) itu berpusat di 660km dari barat daya Jakarta.

Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan segera mengenai kerosakan dan mangsa yang terbabit.

Laporan menyebut penduduk di Cilacap, di selatan Jawa Tengah bergegas keluar dari rumah mereka kerana bimbang diancam ombak besar.

Bagaimanapun, mereka kembali semula ke kediaman masing-masing selepas tiada tsunami dilaporkan berlaku.

Minggu lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa berukuran 7.0 magnitud yang menggegarkan Jawa, mengorbankan lebih 64 orang setakat ini. - AFP

Bekas MB Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaakub meninggal dunia



Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaacob, bekas Menteri Besar Kelantan.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaakub meninggal dunia jam 6 pagi tadi di Hospital Pantai, di sini, kerana menghidap barah paru-paru.

Jenazahnya akan dibawa ke rumah anak perempuannya di no 195, Jalan Datuk Sulaiman 3, Taman Tun Dr Ismail, di sini, jam 9.30 pagi ini dan dijadual disembahyangkan di Masjid Taman Tun Dr Ismail.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara jam 1.30 tengah hari ini.

Sesi persekolahan 2010 bermula 3 Januari bagi Kedah, Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Januari, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.

"Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 September, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Januari 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 September, dan cuti akhir tahun dari 20 November hingga 2 Januari 2011," katanya.

Alimuddin berkata, jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari. - Bernama

H1N1: Tiada kematian untuk hari kelima berturut-turut

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan untuk lima hari berturut-turut dan angka korban kekal 73 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga jam 9 pagi tadi sejumlah 126 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Katanya, pada masa sama sejumlah 233 kes telah dibenar pulang dan menjadikan baki seramai 1,176 ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk tujuh hospital swasta di seluruh negara. "Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 372 pesakit (31.6 peratus telah disahkan positif H1N1.

"Daripada 372 kes yang telah disahkan H1N1, 40 kes berada di ICU di mana tiga kes adalah kemasukan baru, sementara 11 lagi kes telah keluar dari ICU.

"Daripada 40 kes yang sedang dirawat di ICU, 25 (62.5 peratus) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (10), morbid obesiti (9), kanak-kanak bawah 5 tahun (5), dan penyakit respiratori (1)," katanya.