Followers

Thursday, August 27, 2009

Sabah & Sarawak: 'Rumah kolam kumbahan'


WARGA emas penempatan atas air Kampung Sembulan merenung lautan sampah yang menjadi pemandangan harian penduduk kampung berkenaan.

KOTA KINABALU: Sayup azan berkumandang dari masjid berhampiran menandakan masuk waktu berbuka. Suasana langit bertukar jingga dapat dilihat dari celah dinding kayu kediaman sambil sesekali alunan air laut pasang memukul tiang rumah.

Senarionya sempurna untuk menikmati juadah bersama keluarga selepas seharian berpuasa, namun jika dialih pandangan ke luar jendela, ada kemungkinan selera makan terhenti tiba-tiba dan lapar serta dahaga tidak lagi diutamakan.

Lautan sampah-sarap mengelilingi kehidupan penduduk di penempatan atas air Kampung Sembulan. Carilah apa saja - plastik, botol, sisa makanan, kayu binaan, pakaian, tayar dan tin buruk - semuanya ada dengan jarak kurang satu meter.

Malah, tidak keterlaluan jika kawasan berkenaan diibaratkan ‘kolam kumbahan terbuka’ yang dipenuhi najis dan sisa domestik dari tandas serta dapur setiap rumah berikutan ketiadaan sistem kumbahan untuk mengalirkan bahan buangan secara sempurna.

Selamat datang ke `kampung sampah'. Masih berselera menikmati hidangan?

Ketika seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Aboy ditanya sama ada persekitaran itu mengganggunya, beliau memandang lautan sampah-sarap mengelilinginya dan menyoal kembali: "Apa yang tidak kena? Macam biasa saja saya tengok."

Biasa baginya sebagai penghuni di situ, tetapi janggal bagi masyarakat luar yang tidak sanggup hidup dikelilingi sampah.

Ketika penulis berjalan di pelantar yang menghubungkan rumah ke rumah, seorang penduduk dilihat mencampak sebaldi sampah menerusi tingkap dapur ke luar tanpa riak bersalah atau prihatin terhadap kemungkinan penularan pelbagai penyakit terutama denggi dan Influenza A (H1N1) yang rakus menyerang ketika ini.

Persekitaran itu bertentangan dengan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencapai misi menjadikan bandar raya kawasan bebas sampah, ditambah dengan lokasi Kampung Sembulan hanya satu kilometer (km) dari pusat bandar dan dikelilingi projek pembangunan komersial seperti Harbour Square dan South China Sea Place.

Tinjauan Berita Harian mendapati, beberapa pusat pengumpulan sampah tersedia di sepanjang jambatan, selain pusat pengumpulan khas DBKK di daratan sebagai kemudahan penduduk membuang sampah.

DBKK turut menyediakan pusat pembelian semula sampah kitar semula sebagai galakan kepada penduduknya membersihkan kawasan tetapi tetap tiada perubahan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan DBKK, Robet Lipon, berkata pihaknya turut menyediakan tong sampah di setiap hujung lorong masuk ke penempatan itu bagi kemudahan penduduk.

"Sudah banyak program kesedaran dianjurkan di kampung itu dan yang terbaru bulan lalu dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Malangnya, hanya kanak-kanak menyertai program.

"Pernah jawatankuasa dibentuk bagi mengutip sampah dari pusat pengumpulan di setiap simpang jambatan tetapi gagal kerana penduduk enggan membayar bil perkhidmatan bulanan.

"Mereka lebih suka membuang sampah dari tingkap terus ke air dan hidup dikelilingi sampah.

"Lokasinya di kawasan bandar menyebabkan ia mudah dilihat. DBKK sentiasa melaksanakan tugasnya, kini terpulang kepada penduduk sama ada mahu berubah atau hidup diselubungi sampah sepanjang masa," katanya.

Sabah & Sarawak: Masalah bekalan air diatasi 2010


ABDUL Rahman disambut penduduk sempena Pesta Perahu Naga dan Perahu Berhias di Kampung Kuala Abai, Kota Belud, kelmarin.

KOTA BELUD: Masalah ketiadaan bekalan air paip di daerah ini akan ditangani sepenuhnya menjelang 2010 dan permohonan mendapatkan peruntukan RM30 juta yang diperlukan bagi membiayai kos membaiki serta menggantikan saluran paip dari Loji Kampung Bayayat sudah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata janji itu akan ditunaikan sebaik peruntukannya diluluskan kerajaan.

"Pemeriksaan mendapati paip sedia ada tidak mampu menampung tekanan air dari loji Kampung Bayayat.

"Justeru, saya sudah menyerahkan kertas kerja permohonan peruntukan RM30 juta bagi tujuan itu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pesta Perahu Naga dan Perahu Berhias di Kampung Kuala Abai di sini, kelmarin.

Kegiatan berkenaan dianjur oleh Komuniti Bistari Kampung Kuala Abai dan Jabatan Penerangan Kota Belud.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Belud, Mohd Najib Muntok; Penolong Pengarah Cawangan Komuniti Bistari Sabah, Harun Madasa; Pegawai Penerangan Kota Belud, Durahim Zaman; dan Pengerusi Komuniti Bistari Kuala Abai, Sharifah Gundah.

Abdul Rahman berkata, loji air baru di Kampung Bayayat bernilai RM55 juta itu sudah beroperasi, namun tidak dapat membekalkan sepenuhnya bekalan air kepada penduduk berikutan faktor keadaan fizikal kemudahan yang ada.

Malah, katanya, paip berkenaan kerap pecah setiap kali Jabatan Bekalan Air Kota Belud mengepam air dari loji ke kampung di seluruh daerah itu.

Sabah & Sarawak: 15 sukarelawan Raleigh International sertai projek pasang paip graviti


SUKARELAWAN Raleigh mengangkut peralatan membina sistem paip graviti ke dalam hutan.

RANAU: Seramai 15 sukarelawan Raleigh International merangkumi belia pelbagai negara menyertai projek pemasangan paip graviti di Kampung Ratau dan Kamburongoh, di sini, yang ditaja syarikat pengeluar minuman Coca-Cola Malaysia.

Projek berkenaan bagaimanapun berbeza dengan pemasangan paip graviti biasa dilaksanakan sukarelawan Raleigh di Sabah terdahulu.

Projek kali ini bertumpu kepada usaha membina sistem paip graviti baru bagi menggantikan sistem sedia ada yang tercemar.

Kedua-dua kampung berkenaan sudah memiliki sistem paip graviti tetapi punca air yang digunakan didapati tercemar dengan sisa buangan yang dialir dalam sistem perparitan dari sebuah ladang berhampiran.

Pencemaran itu menyebabkan air yang memasuki sistem paip graviti penduduk kedua-dua kampung tidak selamat digunakan dan terpaksa dihentikan demi kesihatan penduduk kampung.

Bagi mengatasinya, sukarelawan Raleigh mencari punca air baru yang bersih dan membina takungan serta memasang sistem paip graviti baru untuk kemudahan penduduk di kedua-dua kampung yang disiapkan dalam masa lima minggu.

Penyiapan projek itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, baru-baru ini.

Pengurus Projek Raleigh, Alice Ruddenklau, dari New Zealand berkata, selain membantu penduduk di kedua-dua kampung menikmati bekalan air bersih, sukarelawan Raleigh juga berpeluang mendalami budaya dan kemesraan penduduk Sabah khususnya masyarakat di Ranau.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam Coca-Cola Malaysia, Kadri Talib, berkata syarikat itu menyumbang RM250,000 untuk melaksanakan pelbagi projek sosial di negeri ini yang dianggarkan memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk.

"Peruntukan ini membolehkan kita melaksanakan lebih banyak projek pembekalan air kepada penduduk luar bandar di pedalaman negeri ini. Syarikat memberikannya dalam bentuk peralatan seperi tangki, paip dan alat lain yang diperlukan untuk membina sistem air," katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri menghargai sumbangan sukarelawan Raleigh dan Coca-Cola bukan saja dalam kerja kemasyarakatan yang dilakukan di kampung, malah terhadap aktiviti pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan di kawasan dilindungi di negeri itu.

Selepas ini, sukarelawan berkenaan akan menyertai ekspedisi merentas hutan, cabaran hidup dan aktiviti air selama lima minggu di Kiulu, Tuaran.

Sabah & Sarawak: 100 peserta PPMS diami Projek Bantuan Rumah

PULAU BANGGI (Kudat): Jaminan kualiti hidup yang diberi kepada peserta projek Agropolitan kini tercapai apabila kemudahan rumah menerusi Projek Bantuan Rumah (PBR) untuk 100 peserta fasa pertama Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) di Pulau Banggi, Kudat, sudah didiami.

Malah, pelbagai rintangan dihadapi Felcra Berhad untuk memastikan projek ini berjaya termasuk penyediaan bekalan air bersih dan elektrik dapat diharungi selepas kira-kira dua tahun projek itu dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Ogos 2007.

Bagi 100 peserta PPMS di sini, pencapaian Felcra itu adalah pemberian tidak ternilai kerana ia membolehkan mereka turut mengecap pembangunan dan kemajuan seperti rakyat lain, sejajar 52 tahun negara merdeka.

Selepas puluhan tahun tidak pernah menikmati bekalan elektrik dan air paip melainkan sumber dari telaga, kira-kira 100 peserta yang terbabit dalam PPMS di pulau itu menarik nafas lega kerana dapat hidup dalam suasana lebih selesa.

Ketua Peserta PPMS, Abdullah Sulaiman, 45, berkata rumah dilengkapi bekalan air dan elektrik itu adalah sumbangan kerajaan yang tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat.

"Sekarang kami tidak perlu risau jika hujan atau panas. Air yang keluar dari paip pun sudah tentu bersih dan kami tidak akan lupakan sumbangan kerajaan ini.

"Ini adalah lembaran baru dalam hidup kami. Kami tidak pernah terbayang akan memiliki semua ini, malah sebelum ini kami takut mengenangkan masa depan anak-anak.

"Oleh itu, kehadiran projek mega di pulau ini sangat dialu-alukan kerana kami memerlukan perhatian daripada kerajaan. Kami mahu lebih banyak kemudahan dan pembangunan dibawa ke pulau ini," katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.

Abdullah yang mempunyai 10 anak berusia dua hingga 17 tahun berkata, beliau sekeluarga hidup serba daif sebelum ini kerana pendapatan sebagai nelayan banyak bergantung kepada cuaca.

Pembinaan 100 rumah bagi fasa satu PPMS dibina di kawasan seluas 11.5 hektar dengan kos kira-kira RM3 juta manakala penerima turut bekerja di ladang getah di pulau itu yang dikendalikan Felcra.

Talhaja Junaidal, 49, yang juga ibu tunggal, berkata beliau gembira dapat mendiami rumah mempunyai bilik, bekalan elektrik dan air.

"Rumah ini sesuai untuk saya dan tiga anak termasuk seorang yang tergolong dalam orang kurang upaya (OKU). Rumah lama dulu di Kampung Kobung, Karakit hanya ada telaga.

"Syukurlah sekarang saya boleh dapat RM500 atau lebih sebulan selepas bekerja di ladang getah projek Agropolitan sejak hujung tahun lalu," katanya.

Selain program PPMS, pelbagai pembangunan diperolehi penduduk di pulau itu selepas projek Agropolitan dilaksanakan yang dikendalikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada Ogos 2007.

Setakat ini, seramai 29 penduduk tempatan dilantik sebagai kakitangan pentadbiran Felcra Berhad di Pulau Banggi membabitkan jawatan seperti penjaga ladang hingga perkeranian yang menerima pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 sebulan.

Pada masa sama, seramai 302 penduduk diambil sebagai pekerja ladang dengan purata pendapatan RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Kebanyakan mereka sebelum ini adalah nelayan dengan perolehan kurang RM300 sebulan, malah ada di kalangan mereka langsung tidak bekerja.