Followers

Saturday, August 15, 2009

5 juta rakyat Malaysia berisiko dijangkiti H1N1: WHO

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

"Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam di sini hari ini.

Beliau berkata, wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.

"Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan," katanya.

Liow berkata, kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.

"Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang," katanya. - Bernama

Kementerian bersama tangani H1N1 elak jejas ekonomi

KOTA BAHARU: Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak Influenza A (H1N1) daripada menjejaskan ekonomi negara ke tahap yang serius, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

"Kementerian Kewangan sudah mengadakan perbincangan untuk menyelaraskan usaha menangani gejala itu dengan Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menyampaian bantuan insentif pelbagai peralatan kepada nelayan di sini, hari ini.

Katanya, pada masa ini, wabak itu yang melanda negara sekarang ini belum sampai ke peringkat menjejaskan ekonomi negara ke tahap yang mencemaskan.

Beliau berkata, wabak penyakit itu bukan saja membabitkan negara ini kerana ia merupakan isu global yang ditangani seluruh dunia.

Katanya, walaupun wabak itu kini boleh menjejaskan industri pelancongan, namun pada keseluruhannya ia tidak sampai ke peringkat mencemaskan ekonomi negara.

"Walaupun ia sedikit menjejaskan industri pelancongan negara, tetapi diharap ia dapat diatasi dengan adanya penyelarasan yang dilakukan di peringkat kementerian berkaitan. Bagaimanapun, kesan di peringkat kilang-kilang belum nampak lagi," katanya ketika ditanya sama ada wabak berkenaan turut menjejaskan industri perkilangan menyebabkan kilang di negara ini berpaksa ditutup. - Bernama

H1N1: Penyokong parti diminta elak berhimpun

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Kesihatan menasihati penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir supaya tidak mengadakan perhimpunan besar-besaran pada hari penamaan calon, Isnin ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah itu bagi membendung penularan wabak influenza A (H1N1) yang semakin meningkat di negara ini.

"Saya harap orang ramai yang tidak terbabit dengan hari penamaan calon itu supaya tidak berkumpul beramai-beramai di pusat penamaan calon," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada hari pengundian 25 Ogos ini dan hari penamaan calon yang akan diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini, kementerian akan membuka dua kaunter di perkarangan institut itu bagi mengedarkan topeng mulut dan cecair pembersih kepada orang ramai.

Selain itu, Liow berkata Pejabat Kesihatan Daerah juga akan memantau penyediaan makanan untuk petugas yang terbabit pada hari penamaan calon dan pengundian.

Beliau turut menasihatkan parti yang bertanding pada pilihan raya kecil itu supaya melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi mengelak penularan wabak H1N1 khususnya semasa berkempen.

"Banyak aktiviti sosial dan kempen akan dilakukan seperti lawatan dari rumah ke rumah, jadi saya harap pihak terbabit mematuhi nasihat kementerian," katanya.

Sehingga pagi tadi, Malaysia mencatatkan 59 kematian akibat H1N1. - Bernama

Kadar jenayah di Sabah turun

KOTA KINABALU: Jumlah kes jenayah di Sabah dari Januari hingga Julai tahun ini turun sebanyak 7.74 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, sebanyak 4,776 kes direkodkan dalam tempoh itu berbanding 5,179 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jenayah kekerasan turun dari 834 kes kepada 732 kes sementara jenayah harta benda turun sebanyak 301 kes daripada 4,345 kes," katanya pada Majlis Pelancaran Program Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Negeri, di sini hari ini

Noor Rashid berkata, kes membabitkan juvana juga turun daripada 238 kes kepada hanya 82 kes.

Katanya, kejayaan dalam mengurangkan kegiatan jenayah menunjukkan strategi pembendungan yang dijalankan memberi impak positif.

Katanya daripada 4,776 kes, 38.13 peratus atau 1,821 kes telah diselesaikan, berbanding 32.15 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini belum dapat dibanggakan kerana matlamat kami mesti melepasi tahap 40 peratus,” katanya. - Bernama