Followers

Thursday, August 6, 2009

Sabah&Sarawak: Mesyuarat Umno bahas 1Malaysia

PAPAR: Mesyuarat Persidangan Perwakilan Umno bahagian Papar, Jumaat ini dijangka membahas dan menyokong konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Umno bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata konsep 1Malaysia iaitu `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' itu antara yang akan dibahaskan sejajar komitmen Umno Papar untuk membantu merealisasikan konsep berkenaan.

"Umno bahagian Papar komited untuk membantu merealisasikan gagasan kerajaan itu, malah barisan kepemimpinan Umno bahagian ini juga sudah mula turun padang untuk memberi penjelasan mengenai konsep itu pada peringkat akar umbi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Umno bahagian Papar di Pejabat Umno Bahagian, di sini.

Turut hadir, Timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar; Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian, Datin Dayangku Ainun Pengiran Bagul dan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Surianti Adam.

Persidangan itu akan dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Dewan Masyarakat Pekan Papar, jam 2.30 petang.

Seramai 437 perwakilan Umno bahagian Papar dijangka menghadiri persidangan berkenaan.

Abdul Rahim yang juga Adun Pantai Manis meminta semua ahli Umno dan parti komponen Barisan Nasional hadir bagi mendengar amanat disampaikan Shafie.

"Mesyuarat kali ini istimewa kerana dirasmikan Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga anak tempatan," katanya.

Sabah&Sarawak: Sistem pengangkutan bandar raya, Sandakan diperkemas

RM83 juta diperuntuk kerajaan Persekutuan memantapkan perkhidmatan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM83 juta bagi memantapkan sistem pengangkutan awam di bandar raya ini dan Sandakan termasuk RM63 juta untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam melalui Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam membabitkan empat projek utama di bandar raya ini.

Peruntukan berkenaan digunakan untuk membina Terminal Rangkaian Selatan Kepayan bernilai RM50 juta dan menaik taraf Terminal Plaza Wawasan (RM5 juta) serta membina empat rangkaian terminal dalam bandar dan tempat mengambil serta menurunkan penumpang (RM5 juta) dan RM3 juta untuk pembinaan tempat perhentian bas dan teksi membabitkan peruntukan RM3juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata peruntukan itu akan salurkan secepat mungkin, selain peruntukan RM17.5 juta bagi membina terminal bas berpusat di Sandakan dan RM3 juta menaik taraf Terminal Bas Plaza Wawasan di sini.

"Peruntukan ini membuktikan kerajaan Persekutuan prihatin terhadap kualiti hidup masyarakat di Sabah," katanya pada sidang media selepas melawat Terminal Bas Plaza Wawasan, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) negeri, Datuk Edmund Chung Ket Wah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.

Nazri juga berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus mencontohi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengurus sistem pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan di bandar raya.

Ia kerana, katanya, sistem pengangkutan berpusat dan kod laluan khas yang diamalkan DBKK menjadikan bandar raya ini bebas daripada kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, walaupun sistem itu baru diamalkan tiga tahun lalu, ia menampakkan kesan positif kepada penumpang kenderaan awam dan pemandu kenderaan persendirian.

"Ia berbeza dengan DBKL kerana tiada sistem khusus untuk bas keluar masuk di bandar raya. Sebaliknya, semuanya bertumpu di Puduraya," katanya.

Terdahulu, Nazri mendengar rintihan pemandu dan penumpang bas di terminal berkenaan bagi membantu mengatasinya.

Beliau turut menaiki bas dari terminal berkenaan ke Hotel Hyatt Regency dengan membayar tambang 50 sen.

Sabah&Sarawak: Pandangan negatif bidang pertanian perlu dikikis

KUALA PENYU: Rakyat negeri ini digesa mengikis pandangan negatif terhadap bidang pertanian yang sering dikaitkan dengan masalah kemiskinan dan tanggapan bahawa pembabitan dalam sektor itu tiada jaminan masa depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata pandangan itu tidak seharusnya wujud kerana sektor pertanian mempunyai potensi besar sebagai sumber ekonomi utama rakyat negeri ini.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa bidang pertanian mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka jika diusahakan dengan betul kerana kegiatan pertanian penting untuk membekalkan bahan makanan.

"Jika sektor ini diusahakan dengan betul dan terancang, ia pasti menghasilkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Justeru, rakyat perlu melihat sektor ini sebagai bidang berdaya maju untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.

"Pada masa sama, rakyat seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Penyu, di sini.

Sejak ditubuhkan pada 2004, PPK Kuala Penyu kini mempunyai kira-kira 1,000 ahli.

Hadir sama, Pengerusi PPK Kuala Penyu, Zahari Mohd Zinin; wakil Pendaftar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Herdyiony Wirma dan Naib Ketua Umno Beaufort, Datuk Kimjus Duim.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memberikan perhatian serius memajukan sektor pertanian bukan saja sebagai ejen pertumbuhan ekonomi negara, malah satu usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat khususnya di luar bandar.

Timur: Ekonomi, H1N1 pengaruhi kunjungan

ROMPIN: Kementerian Pelancongan mengakui suasana ekonomi dan perubahan iklim yang tidak menentu serta penularan wabak selesema bagi atau Influenza A (H1N1) yang semakin serius pada peringkat global menyebabkan jumlah kehadiran pelancong antarabangsa berkurangan tahun ini.

Setiausaha Perhubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan, Mohd Halimi Ibrahim, berkata pihaknya menjangkakan hanya 20 juta pelancong asing dijangka berkunjung ke Malaysia berbanding sasaran 24 juta pelancong tahun ini.

Beliau berkata, sektor pelancongan negara berjaya memperoleh sehingga RM46 billion menerusi kehadiran 22 juta pelancong luar negara tahun lalu tetapi jumlah itu dijangka berkurangan kepada RM44 biliion tahun ini.

Justeru, katanya, pihaknya sedang mengkaji pelbagai strategi baru sebagai usaha memastikan sektor pelancongan negara tidak terjejas dengan lebih teruk dan memberi impak negatif kepada jumlah pendapatan negara.

"Kita sedang merancang memperkenalkan produk baru seperti warga emas atau 'Golden Third Age' (G3A) dan golongan berada, iaitu kumpulan sasaran mempunyai kuasa berbelanja yang tinggi.

"Kerajaan juga sedang dalam proses menubuhkan sebuah badan khas menerusi kementerian yang ditugaskan membuat pembidaan untuk mendapatkan hak penganjuran mesyuarat dan seminar peringkat antarabangsa," katanya.