Followers

Friday, July 31, 2009

Pelan tindakan untuk calon UPSR terbabit H1N1 disediakan

BUTTERWORTH: Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan tindakan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) September ini bagi calon yang dikuarantin akibat Influenza A (H1N1).

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kementerian itu telah berbincang dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia mengenai tindakan yang bakal diambil jika terdapat calon dan pusat peperiksaan yang terbabit dengan H1N1.

"Penangguhan peperiksaan itu adalah pilihan terakhir kerana kita sudah ada pelan tindakan bagi calon dan pusat peperiksaan yang terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru SRJK (C) Lay Keow di sini, hari ini.

Peperiksaan UPSR dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 7 September.

Bagi calon yang dikuarantin berikutan wabak itu, Wee berkata mereka akan menjalani peperiksaan di bilik khas yang disediakan.

Mengenai peruntukan RM3.6 juta untuk 10,000 sekolah di seluruh negara bagi membeli alat cegah jangkitan virus H1N1, Wee berkata peruntukan itu akan mula disalur kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) minggu depan.

Beliau berkata peruntukan itu membabitkan pembelian cecair pembersih dan topeng mulut yang akan diedar kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara.

"Setakat ini, saya berpuashati dengan tindakan yang diambil oleh JPN dalam menangani isu ini," katanya.

Beliau berkata kementerian dari masa ke semasa memantau perkembangan wabak itu melalui Jawatankuasa Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan yang ditubuhkan pada bulan lepas bagi menangani H1N1 di sekolah. - Bernama

Semua IPT tempatan beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR: Semua operasi harian di institusi pengajian tinggi (IPT) akan berjalan seperti biasa dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak menutup semua institusi pengajian tinggi (IPT) akibat penularan wabak Influenza A (H1N1).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai langkah keselamatan, Kementerian Pengajian Tinggi akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan akan meminta nasihat dan pandangan mereka mengenai tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh penuntut di IPT.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan Karnival Kerjaya Antarabangsa 2009 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall di sini hari ini.

Mohamed Khaled berharap pihak universiti tempatan dapat melakukan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap pelajar dan mengesan mereka yang disyaki menghidap penyakit H1N1 dan melakukan langkah-langkah pencegahan agar wabak itu tidak merebak kelak.

Ditanya adakah Kementerian Pengajian Tinggi akan mempercepatkan cuti semester universiti tempatan akibat penularan H1N1 itu, beliau berkata ia terserah kepada pengurusan universiti.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam teks ucapannya, yang dibacakan Mohamed Khaled, berkata graduan perlu melengkapkan diri mereka bukan saja dengan ilmu pengetahuan tetapi mengambil inisiatif untuk memahami kelayakan dan keperluan dalam pasaran pekerjaan semasa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Karnival Kerjaya Antarabangsa anjuran UIAM itu akan memberi peluang kepada graduan-graduan tempatan menimba pengalaman daripada golongan profesional yang berpengalaman dalam sesi khidmat nasihat dan kaunseling dalam karnival itu. - Bernama

Sabah&Sarawak: 13 pulau dalam proses penandaan milik negara

SANDAKAN: Tiga belas pulau di perairan Sabah kini dalam proses penandaan sebagai bukti penguasaan pulau itu milik Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, proses penandaan itu termasuk membabitkan pembinaan tugu, menaikkan bendera Malaysia dan menamakan mana-mana pulau yang tidak mempunyai nama.

Beliau berkata, lokasi pulau itu merangkumi perairan di timur Sabah iaitu dari Kudat hingga ke Tawau membabitkan pulau yang tidak berpenghuni dan pulau kecil.

“Langkah itu sejajar dengan keputusan kerajaan untuk menandakan semua pulau yang tidak berpenghuni dan kecil berada di perairan Malaysia selepas Malaysia menang kes tuntutan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, ” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Terminal Bas di sini semalam, Mohamed Nazri berkata jurukur negeri sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka sedang dalam proses penandaan termasuklah terhadap pulau yang baru timbul.

Terdahulu, Mohamed Nazri berkata, sebuah terminal bas baru bernilai RM17.5 juta yang dilengkapi kemudahan moden akan dibangunkan di daerah ini, menggantikan terminal bas ekspres sedia ada.

Katanya, tapak terminal berkeluasan empat hektar sudah dikenal pasti berhampiran terminal sekarang dan kertas kerja untuk tujuan itu sudah dihantar untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, terminal bas Sandakan yang beroperasi di bandar dan menempatkan bas mini juga dalam perancangan untuk dipindahkan ke terminal baru itu.

"Ia sebahagian daripada perancangan kerajaan mewujudkan sistem hab bersepadu dengan prasarana moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan di bandar besar seperti Sandakan.

“Sandakan akan menjadi seperti bandar lain di negara ini yang berupaya memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.

Sabah&Sarawak: Wisma Putra ke luar bandar dedah peluang kerjaya

KOTA KINABALU: Orang ramai terutama graduan di Sabah yang berminat menceburi perkhidmatan luar negara berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai kerjaya serta aktiviti ditawar Kementerian Luar sempena Program Seranta, Diplomasi Awam dan Penerangan di Kota Kinabalu dan Pekan Membakut, mulai 7 Ogos hingga 9 Ogos ini.

Program itu antara lain bertujuan memberi kesedaran dan memaklumkan orang awam termasuk di luar bandar mengenai kepentingan Wisma Putra sebagai agensi pelaksana kerajaan menangani isu hubungan antarabangsa dan dasar luar negara.

Kementerian Luar dalam kenyataannya di sini berkata, pada masa sama, ia juga memperkenalkan perkhidmatan disediakan selain usaha mencari pegawai muda yang berpotensi diserap ke dalam perkhidmatan luar.

"Sejajar usaha memastikan rakyat di seluruh negara memahami tindakan kerajaan menerusi dasar luar negara, kementerian mengambil inisiatif buat pertama kalinya menganjurkan program seperti ini di luar bandar iaitu di Membakut.

"Program ini juga akan diadakan di kawasan luar bandar lain pada masa akan datang," katanya.

Program tiga hari itu bermula dengan ceramah peluang kerjaya perkhidmatan luar negara di Bilik Kuliah Utama, Bangunan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mulai jam 9 pagi, 7 Ogos ini.

"Pada hari sama, turut diadakan aktiviti bertemu pelanggan dan pameran foto Kementerian Luar di foyer luar Perpustakaan UMS, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang serta terbuka kepada semua.

"Mulai jam 2.30 petang, temu duga terbuka graduan muda di Galeri Koleksi Perdana Perpustakaan UMS akan diadakan," katanya.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, dijadual menyampaikan ucapan dasar di Bilik Kuliah Utama, Bangunan Perpustakaan UMS, jam 10.45 pagi, pada 7 Ogos.

Sementara itu, pameran foto kementerian akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut mulai jam 10 pagi hingga 5 petang pada 8 Ogos ini manakala di Kompleks Centre Point, mulai jam 10 pagi hingga pada 7 dan 8 Ogos.

Pameran terbuka kepada awam dan percuma.

Kementerian Luar juga menjemput orang ramai, pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk guru, pelajar di daerah Beaufort serta Papar menghadiri ceramah mengenai pengenalan kepada dasar luar Malaysia di Dewan Utama SMK Membakut, jam 9 pagi, 8 Ogos ini.