Followers

Monday, July 13, 2009

H1N1: 62 kes baru, 34 jangkitan tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan 62 kes baru Influenza A (H1N1), iaitu 28 kes import dan 34 kes jangkitan tempatan yang dicatatkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Ia menjadikan jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) di negara ini kepada 772 kes, di mana 535 adalah kes import dan 237 kes jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan sepanjang tempoh terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 sudah mendapatkan rawatan pesakit luar manakala 10 pesakit dimasukkan ke wad.

Beliau berkata, daripada 772 jumlah pesakit yang disahkan dengan H1N1, 685 atau 89 peratus sudah sembuh dan discaj daripada hospital.

Katanya, baki pesakit yang sedang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk mereka yang menerima rawatan pesakit luar.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut memaklumkan terdapat satu kelompok kes influenza yang dikesan pada 11 Julai lalu, di kalangan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka.

60 penuntut dengan tanda-tanda influenza sudah diletakkan di bawah pengasingan di kolej berkenaan.

Ujian rawak yang dijalankan pada waktu itu membabitkan lima penuntut, yang mana empat daripadanya disahkan positif jangkitan Influenza A (H1N1).

Kini, dua penuntut sudah dimasukkan ke Hospital Melaka manakala tiga lagi ditempatkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing, iaitu dua di Selangor dan seorang di Kuala Lumpur.

Kerjasama antara Pihak Pengurusan Tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diadakan bagi membincangkan langkah kawalan dan pencegahan wabak tersebut, termasuk aktiviti saringan ke atas pelajar lain yang terdedah serta dekontaminasi ke atas semua blok penginapan dan isolasi, dewan kuliah dan lain-lain bangunan yang digunakan pelajar.

Sunday, July 12, 2009

Seorang pelajar UiTM Lendu suspek H1N1

MELAKA, 12 Julai — Seorang pelajar lelaki dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Alor Gajah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan setelah disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1) malam tadi.

Pengarah UiTM Melaka, Prof Madya Datuk Dr Mizan Hitam berkata pelajar tersebut berusia 18 tahun.

“Langkah pencegahan telah diambil di kampus tersebut dan setakat ini tidak ada pelajar yang dikuarantin. Semua aktiviti termasuk kelas berjalan seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Dr Mizan berkata tiada juga larangan untuk urusan keluar masuk ke kampus itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Ghazali Othman berkata pelajar berkenaan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.

Beliau berkata pihaknya telah membuat saringan terhadap pelajar lain yang pernah mempunyai kontak dengan pelajar berkenaan. — Bernama

Gemuk mudah diserang H1N1

Sembilan daripada 10 pesakit selesema babi adalah obes di hospital Michigan


WASHINGTON: Orang yang gemuk namun sihat mungkin berisiko khas menghadapi masalah kesihatan lebih teruk termasuk kematian akibat virus selesema babi (H1N1), lapor penyelidik Amerika Syarikat, kelmarin.

Mereka mendedahkan kes 10 pesakit di sebuah hospital Michigan yang terpaksa diberi bantuan pernafasan, tiga daripadanya maut.

Selain itu, sembilan daripada mangsa terbabit adalah dalam kategori obes, tujuh orang dalam keadaan kegemukan sederhana termasuk dua daripada tiga yang maut.

Kajian itu diterbitkan bagi laporan mingguan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit CDC) berhubung kematian dan penyakit, turut mencadangkan doktor boleh menggandakan dos biasa 'oseltamivir', ubat antiviral Roche AG yang dijual atas jenama Tamiflu.

"Kes mereka membawa pandangan bahawa komplikasi teruk boleh berlaku apabila mereka dijangkiti virus itu terutama di kalangan pesakit yang obes teruk," kata pakar virus CDC, Dr Tim Uyeki.

"Lima daripada pesakit itu mengalami darah beku dalam paru-paru. Ia sebelum ini tidak diketahui berlaku terhadap pesakit yang teruk kerana virus influenza," kata Uyeki dalam temubual telefon.

Dr Lena Napolitano dari Pusat Perubatan Universiti Michigan dan rakannya mengkaji kes 10 pesakit itu yang dimasukkan ke unit rawatan rapi universiti dengan sindrom kesukaran pernafasan teruk disebabkan jangkitan H1N1.

"Daripada 10 pesakit, sembilan obes (dengan indeks jisim tubuh lebih 30), termasuk tujuh yang obes melampau (BMI lebih 40)," menurut laporan mereka.

Kajian mereka tidak direka untuk melihat jika obesiti atau punca lain memberi faktor risiko khas bagi selesema. Namun, penyelidik terkejut atas apa yang berlaku kerana tujuh daripada 10 pesakit obes melampau.

Malah, sembilan daripada mereka mengalami kegagalan pelbagai organ yang biasa dilihat selepas jangkitan influenza namun lima mengalami darah beku pada peparu dan enam lagi didapati kerana buah pinggang gagal berfungsi.

Tiada seorang pun daripada mereka pulih sepenuhnya, kata penyelidik. Virus selesema babi pertama kali muncul di Mexico pada Mac lalu sebelum merebak di luar kawalan di Amerika ketika sedang dikenal pasti April lalu.

H1N1 begitu mengancam hingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik, Jun lalu. Selesema boleh menyebabkan penyakit sederhana dan semua virus influenza boleh membawa maut, termasuk H1N1 yang mengorbankan hampir 500 orang di seluruh dunia, lebih 200 di Amerika saja.

Virus baru itu sedikit berbeza daripada selesema bermusim kerana merebak pada musim panas, menyerang dewasa dan kanak-kanak serta mungkin menjejaskan tubuh pesakit. - Reuters

Cinta Terakhir

Kau Cinta pertamaku
Engkau cinta terakhirku
Tiada apa yang bisa menafikan kasih kita…

Kau ayu dimataku
Satu antara seribu
Tiada tara didunia…

Mungkin kan terputus di tengah jalan
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir…

Mungkin kitakan berbeza haluan
Berakhirnya cerita percintaan
Segalanya ditentukan Tuhan….

Lagu/lirik: Hafiz Hamidun