Followers

Sunday, June 7, 2009

Gempa bumi kuat di utara Mid-Atlantic Ridge

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Ritcher dikesan di Utara Mid-Atlantic Ridge pada jam 4.33 pagi.

Gempa bumi itu berpusat di garisan lintang 23.9 Utara dan garisan bujur 46.1 Barat iaitu 3,200 kilometer (KM) dari tenggara New York, Amerika Syarikat dan 15,044 KM dari timur laut Pulau Langkawi.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi tersebut tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama

H1N1: Penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 digesa lapor diri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan, hari ini, menggesa semua penumpang pesawat AirAsia X D7 2723 yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne, Australia, Jumaat lalu supaya menghubungi kementerian itu berikutan pengesanan kes ketujuh yang positif Influenza A (H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata penumpang tersebut khasnya yang berada di tiga baris dari kerusi bernombor 31A (dari arah hadapan, belakang, kiri dan kanan) diminta menghubungi kementerian itu di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif H1N1 membabitkan seorang pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama-sama ibunya untuk menziarah saudara mara mereka di negara ini.

Mereka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari Melbourne pada jam 7 pagi dengan menaiki penerbangan itu yang membawa 258 penumpang dan pelajar terbabit duduk di kerusi bernombor 31A.

"Sehingga semalam, tiada kes baru dilaporkan. Jumlah kes yang disahkan Influenza A (H1N1) masih kekal tujuh kes import. Kelima-lima kes yang dilaporkan pada 4, 5 dan 6 Jun masih dalam rawatan dan telah beransur pulih serta berkeadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga kini, katanya, 153 orang kontak sedang dikenakan kuarantin di rumah dan kesemuanya dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan Influenza A (H1N1).

Dr Ismail turut menggesa pelajar Malaysia di luar negara yang sedang bercuti musim panas supaya menangguhkan perjalanan pulang ke tanah air jika mereka mempunyai tanda-tanda penyakit itu.

Katanya, bagi mereka yang sudah pulang dan mempunyai tanda-tanda jangkitan, haruslah segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Beliau berkata, setakat ini, sejumlah 20 notifikasi kes yang mempunyai tanda jangkitan selepas kembali dari luar negara sudah diterima di seluruh negara dan dimasukkan ke empat hospital rujukan Influenza A (H1N1) bagi tujuan rawatan dan penyiasatan.

"Daripada 20 kes itu, 16 adalah negatif terhadap Influenza A(H1N1) dan empat masih menunggu keputusan," katanya. - Bernama

Pelajar warga Australia disah positif H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan warga Australia berusia 15 tahun yang datang ke Malaysia bersama ibunya untuk menziarahi saudara mereka di sini disahkan positif Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya berkata, kes ketujuh sehingga jam 5 petang semalam itu, dikesan apabila pelajar perempuan terbabit didapati mempunyai suhu badan yang tinggi ketika saringan demam menggunakan alat pengimbas di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)

"Mereka tiba di LCCT daripada Melbourne pada jam 7 pagi, 5 Jun lalu melalui penerbangan AirAsia X D7 2723 dan daripada pemeriksaan lanjut pasukan perubatan bertugas, pesakit memberitahu mengalami demam, batuk dan sakit tekak sehari sebelum ketibaan di sini.

"Pesakit dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.15 pagi dan dimasukkan ke wad khas pada jam 9.50 pagi. Beliau disahkan menghidap jangkitan H1N1 dan diberi rawatan antiviral kini dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini, ibu pesakit tidak menunjukkan tanda jangkitan dan kini dikuarantin.

"Kami dimaklumkan pesawat AirAsia X D7 2723 membawa 258 penumpang dan pesakit duduk di kerusi 31A. Oleh itu, kementerian meminta semua penumpang pesawat terbabit terutama yang duduk di tiga baris hadapan, belakang, kiri dan kanan menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 antara jam 8 pagi hingga 9 malam," katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan kes keenam membabitkan pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia MH091 dari New York dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7 pagi Rabu lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, sehingga jam 8 pagi semalam, jumlah terkumpul kes H1N1 yang dilaporkan ke WHO adalah 22,092 kes dengan 125 kematian daripada 69 negara iaitu pertambahan sebanyak 2,274 kes dan 8 kematian dari hari sebelumnya.

H1N1: 5 lagi kes disahkan di China

BEIJING: Pihak berkuasa kesihatan China hari ini mengesahkan lima lagi kes Influenza A (H1N1) di negara itu menjadikan semua 72 orang setakat ini.

Kes penghidap terbaru itu membabitkan mereka yang baru pulang dari melawat Amerika Syarikat dan Kanada, baru-baru ini.

Penghidap terbaru itu kini tinggal di Beijing dan Wilayah Hubei, Guangdong dan Sichuan.

Pihak berkuasa setakat ini sudah mengkuarantin 15 orang yang mempunyai hubungan rapat dengan dua wanita di Beijing yang disahkan positif H1N1 dan kedua-duanya baru balik dari Amerika Syarikat beberapa hari lalu. - AFP