Followers

Monday, November 22, 2010

Ekonomi negara boleh tumbuh lebih 6 peratus: Najib

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia boleh melangkaui pertumbuhan enam peratus tahun ini meskipun persekitaran luar yang mencabar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita bermula dengan enam peratus, jadi kita akan melangkui enam peratus. Malah, kebanyakan penganalisis menjangka tujuh peratus atau lebih sedikit daripada tujuh peratus tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ketua-ketua Perniagaan Global 2010 di sini hari ini.
Mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang bakal diumum hari ini, beliau berkata: "Saya tidak mahu mencuri perhatian kerana pengumuman akan dibuat. Saya tahu angkanya.
"Pada suku kedua, kita jangka pertumbuhan kita masih boleh kita pertahankan tetapi kadarnya menurun sedikit kerana persekitaran luar, maknanya pertumbuhan sektor pembuatan bergantung kepada permintaan daripada negara-negara maju.

"Ekonomi mereka tidak tumbuh dengan kadar yang begitu memberangsangkan sebab itu angka kita berhubung dengan sektor pembuatan, tidak tumbuh begitu tinggi," katanya ketika mengulas sama ada pertumbuhan ketiga akan lebih baik berbanding suku ketiga.

Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pada keseluruhannya, unjuran pertumbuhan tahun ini berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

Mengenai perkembangan bahagian kedua Model Baru Ekonomi(MBE), Najib berkata ia akan dikeluarkan tidak lama lagi.
"Kami mahu memastikan inisiatif pembaharuan strategik (SRI)...ia menyentuh pertimbangan dasar utama, jadi perlu dikaji dengan teliti supaya apabila laporan dikeluarkan, kerajaan boleh menerima cadangan itu.

"Walaupun ini hanya cadangan dan tidak wajib bagi kerajaan menerimanya, laporan itu perlu seiring dengan apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan.

"Adalah penting SRI dilaksanakan kerana ia merupakan satu lagi perkara penting bagi model baru ekonomi," katanya.

Beliau berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan SRI adalah pembolehlaksana bagi transformasi MBE dan walaupun orang lebih menumpukan kepada projek ETP, ia sama pentingnya yang SRI juga dilaksanakan oleh kerajaan. - BERNAMA

PDRM, AS siasat kes godam: KPN

KUALA LUMPUR: Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang bersuhabat dengan seorang rakyat Malaysia yang didakwa mencuri hampir setengah juta nombor pemegang kad kredit dan debit di negara itu bulan lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata kerjasama itu juga bagi mengenalpasti sekiranya terdapat kuncu atau pembabitan rakyat negara itu dalam kegiatan seumpama itu di negara lain.
"Saya telah arahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk menghubungi pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk dapatkan butir lanjut sama ada rakyat Malaysia yang ditahan itu ada melakukan jenayah yang sama di negara lain.
"Risikan dan siasatan juga bertumpu kepada pembabitan suspek yang mungkin mempunyai hubungan dalam kegiatan yang sama di negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Agung Bersama Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) Cawangan "A", Pegawai Diwartakan (CPW) & Cif Inspektor (CI), serta Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja (PPRPD) di sini hari ini.

Lin Mun Poo, 32, ditahan pada 21 Oktober lalu atas kesalahan menggodam Bank Pusat Amerika Syarikat di cawangan Cleveland, Ohio, dalam beberapa serangan menggodam untuk mencuri lebih 400,000 nombor kad kredit.

Selain mencuri data pemegang kad, suspek juga didakwa minggu lalu atas kesalahan menceroboh beberapa sistem pertahanan komputer di negara itu.
Suspek dikatakan amat cemerlang dalam kerjayanya di beberapa institusi kewangan, mengambil kontrak untuk mengukuhkan sistem pertahanan komputer, termasuk menjual dan memperdagangkan maklumat.

Pasukan Perkhidmatan Perisikan Amerika memberkas Lin beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

Menurut Pejabat Peguam Negara, ejen perisikan merampas komputer bimbit suspek yang mengandungi ribuan data akaun kewangan dan maklumat peribadi yang dipercayai diperolehnya menerusi kegiatan penggodaman.

Ketua Perkhidmatan Perisikan Amerika, Brian Parr, dipetik sebagai berkata antara kegiatan suspek ialah memecah masuk sistem pertahanan kontraktor Pentagon yang mengandungi maklumat logistik ketenteraan yang amat sensitif. - BERNAMA

Kadmium, plumbum pada gelas kanak-kanak

LOS ANGELES: Gelas minuman dengan karakter komik dan wayang seperti Superman, Wonder Woman dan the Tin Man daripada “The Wizard of Oz” melebihi paras persekutuan untuk barangan kanak-kanak sehingga 1,000 kali ganda, menurut ujian makmal yang ditugaskan The Associated Press.
Corak enamel pada set superhero itu yang diperbuat di China dan dibeli di kedai Warner Brothers Studios di Burbank, mengandungi antara 16 peratus dan 30.2 pertus plumbum. Had persekutuan bagi produk kanak-kanak ialah 0.03 peratus.
Gelas yang sama juga mengandungi tahap tinggi kadmium yang lebih merbahaya walaupun tiada had persekutuan bagi logam toksik itu dalam corak permukaan.
Dalam ujian berasingan bagi meniru penggunaan harian, gelas bercorak lain mengeluarkan sedikit plumbum atau kadmium.

Pihak persekutuan bimbang logam toksik itu melekat pada tangan kanak-kanak dan boleh sampai ke mulut.

Antara jenama gelas berknaan ialah Coca-Cola, Walt Disney, Burger King dan McDonald’s. - AP

Angkasa nafi dakwaan penyelewengan RM6.4 juta

PETALING JAYA: Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum, hari ini menafikan dakwaan kononnya berlaku penyelewengan wang sebanyak RM6.4 juta oleh lapan anggota Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa.
Beliau menyifatkan dakwaan oleh Pengerusi Rangkaian Sahabat Dungun (Kerabat), Datuk Seri Noor Zainan Zainul, itu sebagai tidak berasas dan dilakukan tanpa usul periksa serta bertujuan mencemar nama baik Angkasa.
"Kenyataan yang dibuat ini mempunyai motif jahat, tohmahan palsu tanpa usul periksa dan merosakkan imej orang tertentu demi mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita di Wisma Ungku Aziz di sini.
Menurut laporan media, Noor Zainan dan Pengerusi Koperasi Ukhwah Mustapa Kamal Maulut telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan itu.

Mohd Ali berkata, antara 27 pertuduhan yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 17 November lalu ialah kononnya Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa menggunakan wang atau elaun tanpa mendapat kelulusan mesyuarat agung tahunan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Mustahil kita akan mendapat wang atau elaun tanpa kelulusan SKM dan mesyuarat, dan semua bukti yang melibatkan pengeluaran masuk wang disimpan sebaiknya sekiranya kes seumpama ini berlaku," katanya.

Mohd Ali berkata, dakwaan lain yang telah dibuat adalah mengenai elaun tahunan tetap sebanyak RM300,000 pada setiap anggota jawatankuasa itu selain menambah peruntukan sebanyak RM500,000 bagi persidangan kebangsaan tahunan yang sepatutnya hanya RM1.5 juta.
Beliau menjelaskan bahawa setiap elaun yang diterima oleh anggota jawatankuasa itu adalah mengikut kerja dan peranan yang dimainkan dalam Angkasa.

"Tidak ada elaun tetap seperti yang didakwa," katanya.

Mohd Ali berkata, peruntukan sebanyak RM2 juta yang digunakan pada persidangan itu telah mendapat kelulusan SKM dan tidak wajar perkara itu dipersoalkan.

Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada Noor Zainan dan Mustapa, beliau berkata mereka telah dilucutkan hak untuk menyertai mana-mana persidangan kebangsaan, negeri atau mesyuarat Angkasa masing-masing selama tempoh tiga dan lima tahun bermula dari 25 Ogos. - BERNAMA