Followers

Saturday, October 23, 2010

UMNO harus tubuh institusi pemikir: Khairy

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNo mencadangkan penubuhan institusi pemikir sebagai platform untuk menyampaikan aspirasi parti kepada rakyat, kata ketuanya, itu Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, kewujudan institusi yang terdiri daripada ahli Pemuda UMNO, golongan profesor dan profesional itu sangat penting bagi memastikan segala permasalahan rakyat dapat diperhalusi dan disampaikan kepada peringkat tertinggi.
"Banyak dasar UMNO dan BN telah dijalankan tetapi hari ini ramai dah lupa atau buat-buat lupa, dari penubuhan UiTM, UKM, UIA, semuanya daripada UMNO. Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera, perlembagaan asas, soal Islam, malah kemerdekaan itu juga perjuangan UMNO.
"Saya harap Presiden (Datuk Seri Najib Razak) dapat wujudkan 'touch point' bukan untuk kerajaan tapi untuk UMNO dan BN supaya kita tak dilihat sebagai pelengkap tetapi sebagai nadi yang gerakkan transformasi kerajaan, untuk kesejahteraan rakyat," katanya ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Meskipun program kemasyarakatan rakyat yang sedang giat dijalankan UMNO dilihat berkesan, beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap usaha UMNO dan kerajaan BN akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang.

Namun, Khairy yakin perjuangan UMNO akan melekat kuat di hati rakyat sehingga akhirnya dividen dan sokongan datang kembali sekiranya institusi itu dapat direalisasikan.

Khairy turut menasihatkan orang Melayu agar tidak terlalu obses mengenai hak dan keistimewaan yang termaktub dalam perkara 152 dan 153, sebaliknya terus berusaha berdikari dan bersikap kompetitif agar menjadi bangsa maju dan berdaya saing.
"Jangan kita Melayu risau dan takut kerana segala hak ini dijaga baik dan terkunci kemas tetapi kita perlu cari kunci kejayaan. Bagaimana kita boleh tingkat dan martabat bangsa Melayu untuk jadi jaguh yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Saya rasa tak ada makna sekiranya negara jadi maju pada tahun 2020, tapi Melayu masih tak maju.

"Jadi saya pohon sebagai anak muda, sekiranya cetusan idea keramat 30 peratus diilhamkan Tun Abdul Razak, biarlah dalam tempoh masa anaknya menjadi Perdana Menteri sebelum 2020, kita sampai ke garisan penamat, kita bawa orang Melayu ke garisan 30 peratus, tapi sama-samalah kita berdikari, kerja kuat, dan buang tongkat," katanya.

Sebelum mengakhiri penggulungannya, Khairy mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan taktik dan sandiwara pembangkang yang begitu menginginkan tampuk pemerintahan kerana dikhuatiri ia akan menghancurkan negara. - BERNAMA

Usah lagi bangkitkan soal Perlembagaan: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu soal Perlembagaan tidak lagi dibangkitkan dan menegaskan dasar hak Bumiputera akan terus diperjuangkan UMNO dan kerajaan.
Merujuk ucapan dasarnya yang menegaskan peruntukan soal itu dalam Perlembagaan sudah "terpatri kemas", Najib yang juga Presiden UMNO berkata semua pihak perlu segera berhenti mempersoalkan perkara itu.
"Soal Perlembagaan jangan dibangkit lagi oleh sesiapa pun lagi...bak kata orang putih, 'let us move on'...habis cerita, tutup buku," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Agung UMNO 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Malah, kata Najib, beliau sudah menegaskan perkara itu semasa Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini.

"Saya kata kalau majoriti dalam sebuah negara itu memiliki sebahagian kecil kekayaan itu tidak adil, itu tidak baik untuk negara," katanya sambil menambah kekayaan yang dinikmati kaum lain juga disebabkan dasar kerajaan yang diterajui UMNO.

Monday, October 18, 2010

Muhyiddin minta perwakilan UMNO bahas isu penting demi parti

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta ahli UMNO menggunakan kesempatan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2010 untuk membincang dan membahaskan isu penting demi masa depan parti dan Barisan Nasional (BN).

"Ini perhimpunan agung yang penting...dan akan memberi ruang dan kesempatan
bagi ahli parti membahaskan perkara yang dianggap penting demi masa depan UMNO, BN, bangsa, agama dan negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini. Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, berkata adalah amat penting bagi anggota parti untuk mendengar dan membahaskan Ucapan Dasar Presiden oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini.

"Semua persiapan untuk perhimpunan itu, yang berlangsung mulai esok hingga Sabtu ini, sudah disusun dan dijadual berjalan lancar.

"Senarai wakil anggota Majlis Tertinggi (MT) yang akan bertindak sebagai pemerhati pada perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sudah ditetapkan," katanya.

Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO akan dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dua wakil MT, Datuk Azian Osman dan Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Bagi Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, pemerhati adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin, serta Ahli MT, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, akan menjadi pemerhati perhimpunan agung sayap itu. - BERNAMA

Malaysia bukan negara eksport modal, kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia bukan negara pengeksport modal tetapi usaha perlu diteruskan untuk menyokong industri domestik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata adalah penting untuk membolehkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur di luar negara terutamanya jika peluang dalam negara agak terhad.
"Saya percaya jika kita mempunyai peluang dalam negara, adalah lebih baik untuk tidak mengeksport modal. Kita bukan negara pengeksport modal, jadi kita seharusnya membelanjakan kebanyakan wang kita dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang bermula esok.
Semasa memberi contoh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dr Mahathir berkata kumpulan berkenaan yang mempunyai lebih RM300 bilion dalam saiz dana, mungkin mendapati sukar untuk memadankan pelaburan yang sesuai dengan semua dananya.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat kepada pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, dan perbadanan minyak negara, Petronas, berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan GLIC meningkatkan pelaburan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diuruskan di luar negara daripada hanya tujuh peratus pada masa ini.

Sehingga 31 Mac, jumlah saiz dana KWSP dianggarkan sebanyak RM402 bilion, dengan kebanyakannya dilaburkan dalam bon dan ekuiti dalam negara.

Semasa ditanya sama ada langkah berkenaan akan bertentangan dengan usaha kerajaan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata: "Ia boleh dikatakan bertentangan."
"Saya sentiasa percaya yang kita tidak memerlukan FDI sekarang ini. Kita perlu mempunyai sokongan terhadap industri tempatan...itu pandangan saya," kata Dr Mahathir yang menerajui Malaysia selama 22 tahun.

Semasa pembentangan Bajet 2011, kerajaan mengumumkan yang GLIC akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran.

GLIC juga dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi meneroka peluang pulangan pelaburan yang lebih baik.

Sementara itu, Dr Mahathir menolak dakwaan oleh sesetengah pihak yang Bajet 2011 adalah "bajet beliau" kerana melibatkan satu lagi projek pencakar langit, "Warisan Merdeka", yang melibatkan projek pembangunan bersepadu termasuk pembinaan menara 100 tingkat pada kos RM5 bilion.

"Saya rasa jika seseorang yang mahu berbelanja dan menganggapnya bajet saya...itu salah.

"Saya rasa kerajaan merasakan memerlukannya, jadi mungkin terdapat alasan untuk itu. (Tetapi) apa yang menarik bagi saya ialah wang yang dibelanjakan untuk membina menara ini.

"Apabila membelanjakan wang, pekerjaan diwujudkan dan peluang untuk menjalankan perniagaan. Saya tidak tahu sama ada perlu menara 100 tingkat atau tidak...tetapi membelanjakan wang suatu yang baik.

"Bagi saya, saya selalu membelanjakan wang sehingga selepas saya melepaskan jawatan, mereka tidak ada wang langsung. Malah mereka tidak membayar gaji penjawat awam," kata beliau secara sinis, yang menyebabkan wartawan ketawa.

Terdahulu Dr Mahathir menyampaikan ucaptama bertajuk "Pewujudan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru."

Persidangan sulung diadakan bersempena perhimpunan agung Umno yang berlangsung selama lima hari dan berakhir Sabtu ini.

Kira-kira 400 peserta dari 20 negara termasuk 54 dari kelab Umno seberang laut menghadiri persidangan berkenaan. - BERNAMA