IPOH: Seramai 573 orang dari 19 negara termasuk seorang mangsa kanak-kanak tempatan menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia di negara ini sejak Februari 2008 hingga bulan ini dan diberi status Perintah Perlindungan (PO) oleh mahkamah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata mereka antara 1,838 orang yang diselamatkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh berkenaan kerana disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
"Mengikut statistik 1,838 mangsa diselamatkan dan diberi Perintah Perlindungan Sementara (IPO) oleh mahkamah. Daripada jumlah itu hanya 573 mangsa dikenal pasti sebagai mangsa sebenar pemerdagngan manusia dan diberikan status PO. "Jenayah penyeludupan manusia adalah yang kedua terbesar di kebanyakan negara membangun mahupun dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata.
"Jadi ia mesti dibanteras dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Kempen Kesedaran Anti Pemerdagangan Orang peringkat negeri di sini, hari ini.
Friday, October 15, 2010
573 mangsa pemerdagangan manusia sejak Februari 2008: KDN
Posted by Irwan at 9:37 PM 0 comments
erajaan berhati-hati beri taraf kewarganegaraan
BUKIT MERTAJAM: Kerajaan amat berhati-hati dalam membuat pertimbangan untuk memberi kelulusan kewarganegaraan Malaysia kerana penganugerahan itu memberi implikasi besar kepada penerima dan negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata ketelitian itu perlu bagi memastikan penerima anugerah taraf kewarganegaraan Malaysia akan benar-benar menghargainya dan berusaha menjaganya dengan baik.
Katanya oleh itu, tempoh masa yang agak panjang diperlukan untuk memberi kelulusan sebarang permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia.
"Memohon taraf kewarganegaraan ialah anugerah tertinggi dan kerana itu kita perlu meneliti setiap permohonan dengan terperinci dan berlandaskan syarat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil warganegara kepada 20 pemohon di sini, hari ini.
Katanya setiap tahun Kementerian Dalam Negeri (KDN) banyak menerima permohonan dari warganegara asing untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia dan pada tahun ini sahaja kementerian menerima sebanyak 15,000 permohonan.
Sementara itu, beliau berkata sejak Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 920 permohonan sijil kewarganegaraan diterima di Pejabat Pendaftaran Negara Pulau Pinang. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:36 PM 0 comments
Cukai perkhidmatan naik kepada 6 peratus
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mencadangkan cukai perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan yang dikenakan cukai meningkat kepada enam peratus daripada lima peratus pada masa ini untuk menjana pendapatan cukai tambahan bagi pembangunan nasional.
Tarikh berkuatkuasa pelaksanaan cadangan ini ialah pada 1 Januari 2011.
Ia terkandung dalam cadangan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat hari ini.
Kadar ini tidak diaplikasikan ke atas kad kredit di mana cukai perkhidmatan dicajkan pada kadar khusus RM50 setahun ke atas kad utama dan RM25 untuk kad kedua. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:35 PM 0 comments
Labels: berita
Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuh untuk tetapkan upah pekerja
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis berkenaan akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
Beliau berkata, sekretariat bagi majlis berkenaan adalah Kementerian Sumber Manusia.
"Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib berkata, kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh majlis berkenaan.
Beliau berkata, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan berbanding RM610 sebulan pada 1 Julai lalu dan dengan kenaikan itu, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap.
Bagi pengawal keselamatan pula, beliau berkata kerajaan akan menguatkuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 dan RM400 pada masa ini.
"Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai Januari tahun depan," katanya.
Selain itu, Najib berkata kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor dan pada masa sama, majikan akan diwajibkan memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.
Najib berkata, kerajaan juga akan mewujudkan Program Latihan 1Malaysia yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.
Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen iaitu sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih di seluruh negara.
"Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada," katanya.
Najib berkata, antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam ialah Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab dan kelas muzik manakala di hujung minggu, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk memasak, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.
Katanya, program berkenaan juga mencakupi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.
Selain itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal. - BERNAMA
Posted by Irwan at 1:28 PM 0 comments
Labels: berita