Followers

Wednesday, October 13, 2010

Tuanku Mizan anugerah biasiswa kepada 12 penerima

KUALA LUMPUR: Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong kepada 12 graduan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti tempatan dan luar negara, pada satu majlis di Dewan Kecil, Istana Negara di sini.
Enam penerima PhD ialah Nur Tantiyana Ali Othman, 25, yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nihon, Tokyo; Nurul Shazini Ramli, 23, dalam bidang Sains Pemakanan di Universiti Putra Malaysia; Hong Siaw Swin, 25, bidang Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia; Mohd Syukri Yahya, 29, bidang kejuruteraan mekanikal di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat; Mohd Faidz Mohamad Shahimin, 24, bidang mikrobiologi persekitaran di Universiti Alberta, Kanada, dan Mohd Firdaus Abd Wahab, 28, dalam bidang bionanoteknologi di Universiti Oxford, United Kingdom.
Enam penerima biasiswa di peringkat sarjana ialah Meor Amer Reza Meor Hazizi, 28, yang mengikuti pengajian kejuruteraan biomedikal di Kolej Imperial, London; Tan Kang Ming, 22, dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Cambridge, United Kingdom; Nurliyana Rusli, 23, bidang rekaan kebandaran di Universiti Melbourne, Australia; Aishah Najiah Dahnel, 24, kejuruteraan sistem pembuatan di Universiti Warwick, United Kingdom; Wan Nur Firdaus Wan Hassan, 23, bidang kejuruteraan awam geoteknik di Universiti Teknologi Malaysia; dan Nor Hasnida Nor Sukri, 23, bidang sains rekaan di Universiti Sydney, Australia.
Biasiswa itu, yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2006 menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, diberikan kepada warga Malaysia yang cemerlang dalam akademik, selain menghasilkan karya kreatif dan inovasi serta mendapat tempat di universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

Penerima termuda, Nurul Shazini, berkata pemberian biasiswa itu mendorongnya untuk meneruskan kajian dalam mencari penawar penyakit kencing manis.

"Biasiswa ini umpama harapan rakyat Malaysia kepada saya bagi mencari penawar kepada penyakit diabetis," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Mohd Syukri Yahya, yang juga pensyarah Universiti Tenaga Nasional di Bangi, pula berazam untuk berbakti kepada negara dalam bidang nuklear sebaik tamat pengajiannya di MIT. - BERNAMA

16 Disember sebutan semula kes pembunuhan Sosilawati

KENDERAAN yang membawa orang kena tuduh (OKT) kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dekat Ladang Gadong, keluar dari mahkamah Majistret Telok Datok sambil dikawal ketat anggota keselamatan. - Foto Rosdan Wahid
KENDERAAN yang membawa orang kena tuduh (OKT) kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dekat Ladang Gadong, keluar dari mahkamah Majistret Telok Datok sambil dikawal ketat anggota keselamatan. - Foto Rosdan Wahid
BANTING: Mahkamah Majistret di sini, menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi pendakwaan mengemukakan laporan kimia.

Peguam, N Pathmababhan dan tiga yang lain didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.
Tiada pengakuan di rekodkan, sebaliknya keempat-empat mereka, Pathmababhan, T Thilaiyalagan, 19 tahun, R Matan, 20 tahun, dan R Kathavarayan, 30 tahun mengangguk menyatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Pertuduhan terhadap Pathmanabhan, 41, dibacakan dalam bahasa Melayu manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan
Majistret Hurman Hussain.

Tiga lagi tertuduh, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan, dipercayai pekerja tertuduh pertama.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, membunuh Sosilawati dan tiga mangsa lain antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot no. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Terdahulu, tertuduh dibawa masuk ke mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dan mereka dibawa masuk ke kamar Mahkamah Majistret pada jam 8.59 pagi.

Keadaan di perkarangan Mahkamah Majistret Telok Datok juga menjadi tumpuan penduduk setempat dan petugas media yang sudah menunggu sejak sebelum jam 7 pagi.

Pekarangan mahkamah itu juga dikawal ketat oleh anggota polis.

Penyokong Kelantan mati akibat sesak nafas

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong pasukan Kelantan mati dipercayai akibat sesak nafas ketika bersesak keluar dari Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata mangsa yang dikenali sebagai Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok dan bekerja sebagai pegawai keselamatan, telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata mangsa yang duduk di Aras 5 stadium berkenaan, ditemui pasukan paramedik ketika mula mengalami sesak nafas, bagaimanapun mengatakan dia okay ketika ditanya mengenai keadaannya.
"Menurut rakannya, si mati pada mulanya mengalami sesak nafas ketika perlawanan berlangsung, namun, ketika ditanya sama ada okay atau tidak, dia kata okay.

"Namun keadaan mangsa semakin teruk ketika mahu keluar dari stadium selepas tamat perlawanan dan dia rebah ketika menghampiri gerai menjual cenderamata sebelum meninggal dunia," katanya kepada Bernama.

Ketika itu, berlaku sedikit kekecohan di luar stadium sejurus tamat perlawanan selepas penyokong kedua-dua pasukan melakukan provokasi terhadap lawan masing-masing, namun berjaya disuraikan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Noor Azam berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan mengenai angkara vandalism terhadap kereta.
Sementara itu, beliau berkata seorang penyokong Selangor cedera di kepala dipercayai dibaling dengan objek.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah.

Pada perlawanan suku akhir pertama itu, tuan rumah terikat tanpa jaringan dengan Kelantan, dan perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke 1V di Kota Bharu, Sabtu ini. - BERNAMA

10 murid SK Gunung, Alor Setar cedera lantai kelas runtuh

ALOR SETAR Kira-kira 10 murid cedera apabila lantai sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, dekat sini, runtuh akibat tanah mendap, jam 11 pagi tadi.
Murid yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan.