Followers

Tuesday, October 12, 2010

PBKD arah tarik balik produk kesihatan kandungi sibutramine

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah mengeluarkan arahan menarik balik produk kesihatan yang mengandungi sibutramine dari pasaran kerana ia didapati mampu meningkatkan risiko kesan advers kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi PBKD, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata, keputusan menarik balik serta menggantung pendaftaran produk yang mengandungi bahan itu ialah berdasarkan kajian Sibutramine Cardiovaskular OUTcomes (SCOUT) bagi produk Reductil yang dijalankan oleh Abbot Laboratories.
"Kajian tersebut menunjukkan sibutramine mampu meningkatkan risiko advers kardiovaskular terutamanya ke atas pesakit obes dan berlebihan berat badan berbanding pesakit yang menjalani senaman dan kawalan pemakanan.
"Pemegang pendaftaran diminta memberhentikan segala transaksi jualan dan menarik balik produk dari pasaran dalam tempoh 30 hari dari tarikh penggantungan bermula hari ini, katanya.

Sibutramine didaftarkan di Malaysia sebagai terapi tambahan kepada diet dan senaman untuk pesakit obes yang mempunyai faktor risiko seperti penyakit diabetes, hipertensi dan dislipidemia, namun pengambilannya dilarang bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, kegagalan jantung kongestif, penyakit arteri periferal, arithma, strok dan hipertensi tidak terkawal.

Lanjutan dari maklumat kajian SCOUT, pada Januari 2010 PBKD telah mengarahkan pemegang pendaftaran produk mengemas kini sisip bungkusan mereka bagi mengukuhkan lagi informasi keselamatan serta mengeluarkan surat kepada pengamal perubatan di Malaysia untuk memaklumkan hal tersebut.

Sebanyak 38 laporan kesan advers kardiovaskular yang membabitkan sibutramine telah diterima dan lima daripada laporan tersebut mendapati pesakit mengalamai kesan seperti jantung berdebar (tiga laporan) dan infarksi miokardial bukan fatal (dua laporan).
Dr Mohd Ismail menasihatkan supaya pesakit yang menerima rawatan sibutramine supaya merujuk kepada doktor masing-masing untuk nasihat lanjut.

Setakat ini, terdapat sembilan produk berdaftar yang mengandungi bahan tesebut iaitu Reductil, Slenfig, Sibutramine Sandoz, Fenslim dan Sibutrim. - BERNAMA

Bayi lelaki ditemui dalam semak

BALING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dibungkus dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak Kanak (taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini hari ini.

Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik taska berkenaan 10 pagi tadi yang kemudian membuat laporan polis.
Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.
Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui. Urinya juga diletakkan berdekatan bayi itu.

Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui dalam jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan taska, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.
Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, Amelia Shatirah Dorahim, berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supt Mohd Daut Md Hasan, mengesahkan polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terbabit.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman. - BERNAMA

SPR akan umum tarikh pilihan raya Batu Sapi pada Jumaat

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal.
SPR dalam satu kenyataannya berkata, notis kekosongan kerusi berkenaan diperoleh daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.
"SPR akan mengadakan mesyuarat khasnya Jumaat ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas itu bagi mengumumkan tarikh pilihan raya kecil berkenaan," kata kenyataan itu.

Malaysia catat RM9.6 bilion FDI perkilangan Januari-Julai 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM9.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, petanda memberangsangkan bahawa pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap
sektor perkilangan negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata jumlah itu melibatkan 230 projek perkilangan yang diluluskan. "Mereka (pelabur asing) masih lihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan memenuhi aspirasi pelaburan mereka," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad (BN-Mukah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Muhammad bertanyakan jumlah pelaburan asing yang masuk ke negara ini pada 2009 dan 2010.

Mukhriz berkata antara sektor yang menjadi tarikan pelaburan dari luar negara ialah sektor elektronik dan elektrik, galian dan bukan logam, pengilangan makanan, produk logam fabrikasi, peralatan ukuran dan saintifik, kimia dan bukan kimia serta sektor logam asas.

Beliau berkata jumlah FDI pada keseluruhan tahun lalu pula adalah sebanyak RM22.9 bilion yang melibatkan 390 projek perkilangan.
Katanya, berdasarkan catatan FDI itu, jelas menunjukkan pelabur asing masih mempunyai keyakinan terhadap sektor perkilangan Malaysia dan tidak mempunyai masalah dengan apa jua isu yang timbul dalam negara.

Antara faktor yang menyebabkan Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik ketika pasaran dunia terjejas akibat krisis kewangan global adalah berikutan usaha kerajaan melakukan transformasi dalam ekonomi negara.

Setakat ini Malaysia masih tersenarai sebagai satu daripada 15 negara utama FDI bagi 2010 hingga 2012. - BERNAMA