Followers

Monday, October 11, 2010

Melaka hulur bantuan kewangan kepada keluarga mangsa nahas

MELAKA: Kerajaan Melaka mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat dekat sini, petang semalam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM1,000 bagi menguruskan pengkebumian setiap jenazah manakala mangsa yang cedera parah juga diberi RM1,000 dan cedera ringan sebanyak RM500.
"Kepada semua keluarga yang terbabit saya harap mereka bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mangsa kemalangan itu di Hospital Melaka di sini, awal pagi hari ini.
Turut menziarahi mangsa, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Dalam kemalangan ngeri jam 6.40 petang semalam, seramai 12 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera.

Semua mangsa yang meninggal dunia dan 11 yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Mohd Ali akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kelajuan bas ekspres dihadkan tidak melebihi 90 kilometer sejam, sebagai langkah membendung kemalangan seumpama itu.
Suasana sedih dan tangisan anggota keluarga menyelubungi bilik mayat hospital Melaka sebaik jenazah 12 mangsa kemalangan itu tiba jam 12 tengah malam tadi.

Mohd Ali berada di bilik mayat itu sehingga 4.30 pagi tadi bagi mententeramkan anggota keluarga yang begitu sedih selepas dipanggil untuk membuat pengecaman jenazah terbabit.

Sebuah balai polis bergerak diwujudkan berhampiran bilik mayat itu bagi memudahkan anggota keluarga terbabit berurusan.

Setakat ini, kawasan bilik mayat itu dipenuhi dengan anggota keluarga mangsa yang menunggu untuk membawa pulang jenazah bagi dikebumikan di kampung masing-masing hari ini.

Bedah siasat dan pengecaman mangsa yang terbunuh dijangka selesai pagi ini. - BERNAMA

Dewan Rakyat belum terima notis kematian wakil Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Notis kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, belum dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana Dewan Rakyat masih belum menerima notis dan surat kematian secara rasmi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar, berkata beliau yakin akan menerima notis tersebut daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) atau keluarganya dalam masa sehari dua lagi.
"Kebiasaannya apabila berlaku kematian Ahli Parlimen, pihak yang berwajib iaitu parti atau keluarga akan beri notis kepada Parlimen secara bertulis bersama sijil kematian.
"Tetapi saya cukup yakin Dewan (Rakyat) akan menerima notis tersebut selewat-lewatnya lusa, dan kemudian baru kita dapat hantar ke SPR supaya dapat ditentukan tarikh penamaan calon, pilihan raya dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada kejadian di Kota Kinabalu Sabtu lalu, Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong yang diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin, yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing, dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi. - BERNAMA

BNBBC akan minta KDN siasat punca nahas wakil Batu Sapi

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan siasatan teliti terhadap punca kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edward Chong Et Wah, Sabtu lalu.
Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata ini bagi membolehkan punca sebenar kemalangan diketahui.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai kunjungan 11 Ahli BNBBC memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Wisma Fook Lu Siew di sini, sebentar tadi.

Umur persaraan wajib tak dinaikkan ke 60 tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan umur persaraan perlu dikaji termasuklah kesan terhadap peluang kerja untuk golongan lepasan sekolah, kolej dan universiti serta keperluan sumber manusia dalam sektor tertentu dalam perkhidmatan awam.
"Ketiga (ialah) kesan ke atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar. Kalaupun tidak kecilkan perkhidmatan awam, (kita perlu) mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa jejas perkhidmatan untuk rakyat.
"Keempat (ialah) tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutama menjelang umur persaraan 58, adakah mereka mampu terus bekerja atau tidak," katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan sama ada langkah meningkatkan umur persaraan dapat mengelak tenaga muda yang kini bekerja di sektor awam daripada berhijrah ke sektor swasta, Mohamed Nazri berkata perkara itu dapat diatasi melalui semakan gaji oleh kerajaan dari semasa ke semasa serta pelbagai kelebihan lain bagi memastikan gaji sektor awam terus kompetitif.