MELBOURNE: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual pulang ke Kuala Lumpur tengah hari ini dengan menaiki sebuah pesawat khas.
Pesawat berkenaan dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Tullamarine di sini kira-kira 3 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).
Dr Mahathir dimasukkan ke Hospital Epworth di sini Sabtu lepas kerana jangkitan di dada.
Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa dan kemudiannya berehat di sebuah hotel di sini.
Bekas Perdana Menteri, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual berucap kepada pelajar Malaysia dalam sebuah bengkel di sini pada Sabtu namun dibatalkan selepas beliau sakit.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Dr Mahathir pada seminar itu.
Seorang pembantu kepada Dr Mahathir, ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau akan pulang ke tanah air lewat hari ini. - BERNAMA
Friday, October 8, 2010
Dr Mahathir dijadual pulang ke KL hari ini
Posted by Irwan at 10:06 PM 0 comments
Labels: berita
Laporan cadangan pemansuhan UPSR, PMR siap
KUALA LUMPUR: Laporan penuh berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk diganti dengan penilaian berdasarkan sekolah telah siap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
Beliau berkata, keputusan sama ada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan ia merupakan satu keputusan yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah di negara ini.
"Ia juga perlu memenuhi objektif kita yang melihat betapa pentingnya pembangunan modal insan ini diberi perhatian untuk melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah dalam sistem pendidikan kita," katanya ketika mengulas isu berkenaan pada sidang media selepas menutup Projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan atau MAEPA di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin telah menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan kedua-dua peperiksaan itu akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sebanyak dua sesi perbincangan meja bulat telah diadakan oleh kementerian itu berhubung cadangan pemansuhan UPSR dan PMR yang melibatkan pelbagai pihak.
Perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai dikhususkan untuk wakil pendidik, termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.
Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini.
Mengulas mengenai tindakan menukar seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor yang mengedarkan risalah ubat penguat tenaga batin di sekolahnya, Mohd Puad berkara ia merupakan satu amaran bahawa tindakan yang lebih keras akan dikenakan jika guru tersebut mengulangi perbuatannya.
Katanya kementerian tidak akan bertolak-ansur sama sekali dengan perbuatan yang tidak bermoral seperti itu terutamanya apabila melibatkan pelajar sekolah.
"Kita sentiasa memantau isu-isu disiplin di sekolah bukan sahaja di kalangan pelajar, malah guru-guru, kerana ini merupakan soal integriti institusi pendidikan di Malaysia," katanya.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan pertukaran guru terbabit dilakukan selepas laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa mengedar risalah berkenaan kepada pelajar di sekolahnya.
Sementara itu, MAEPA yang diadakan buat kali kedua pada tahun ini adalah projek usahasama Malaysia dan Australia untuk melatih jurulatih utama dari Afghanistan ubagi mempelajari kemahiran pedagogi dan penyampaian pendidikan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara peserta.
Seramai 30 orang peserta dari Afghanistan termasuk 10 wanita dan tiga penterjemah terlibat dalam projek yang berlangsung selama 14 minggu bermula 5 Julai lalu.
Mereka diberi penekanan dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, literasi dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta mendapatkan pengalaman berasaskan sekolah di beberapa sekolah untuk meningkatkan kaedah pengajaran di negara asal mereka. - BERNAMA
Posted by Irwan at 8:10 PM 0 comments
Labels: berita
Thursday, October 7, 2010
Kenaikan harga susu tak dapat dielak
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini sekiranya harganya meningkat di pasaran dunia.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.
"Kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan pengeluar dan pengilang tempatan terpaksa menanggung kos belian import yang tinggi.
"Biasalah, apabila kita beli barang dengan harga mahal, sudah pasti kita terpaksa jual dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, buat masa ini harga susu kita masih dikekalkan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung harga tepung susu tanpa lemak yang merupakan bahan mentah tenusu utama dijangka meningkat kepada lebih US$3,000 (RM9,630) satu tan metrik tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) satu tan metrik dalam suku keempat tahun lalu.
"Sekatan harga tidak boleh dilakukan ke atas barangan itu disebabkan ia di luar dari kawalan kita. Ini kerana kita membeli barang yang diimport. Perkara ini sudah banyak kali berlaku. Sebagai contoh, bawang putih, harganya terpaksa dinaikkan berikutan harga import dari China turut meningkat," katanya.
Katanya meskipun kementerian akan membentangkan Akta Anti Pencatutan 2010 di Parlimen bulan ini bagi tujuan menyekat peniaga mengaut keuntungan tidak munasabah, ia masih tidak boleh menghalang pengeluar untuk menaikkan harga barang itu.
"Ini kerana sekiranya pengeluar mempunyai bukti bahawa harga bahan mentah itu benar-benar meningkat di seluruh dunia, maka kita tidak boleh menghalang ataupun mengambil tindakan terhadap mereka menaikkan harga susu. Akta ini hanya boleh menyekat dan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang menjual barangan untuk mencari keuntungan berlebihan tanpa sebab yang munsabah.
"Sebagai contoh, topeng muka, peniaga beli 30 sen dan jual 50 sen tetapi apabila permintaan meningkat dan mereka masih membeli dengan harga 30 sen sekeping tetapi jual sampai RM5, yang ini memang boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini," katanya. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:44 PM 0 comments
Tarikh tutup permohonan Matrikulasi 2011/2012 dilanjutkan hingga 30 November
KUALA LUMPUR: Tarikh tutup permohonan Program Matrikulasi bagi sesi 2011/2012 dilanjutkan dari 10 Oktober kepada 30 November ini, menurut Kementerian Pelajaran.
Dalam kenyataan kementerian itu hari ini, ia menyatakan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 boleh membuat permohonan melalui laman sesawang baru di http://apps.emoe.gov.my/permohonan_matrikulasi.
Pembelian nombor pengenalan individu (NPI) pula boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bayaran RM6 bagi permohonan melalui internet.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-88844036/4040 mulai jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja) untuk sebarang maklumat lanjut. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:44 PM 0 comments
Labels: berita