Followers

Friday, September 24, 2010

Guru maut kain kapas dalam perut

Mangsa mengadu sakit selepas 6 hari pembedahan lahir anak
KOTA BHARU: Kegembiraan sepasang suami isteri menyambut kelahiran anak keempat tidak berpanjangan, apabila si isteri meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan selepas kain kapas pembedahan tertinggal dalam perut guru wanita itu.

Anggota Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Musa Abd Kadir, 46, berkata isterinya, Aummil Khairri Abdul Razak, 44, bersalin secara pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, pada 17 Ogos lalu.
Beliau berkata, selepas pembedahan, isterinya mengadu masih berasa sakit di perut sebelum dirujuk kembali kepada doktor di hospital sama.
Ketika itu, selepas enam hari bersalin secara pembedahan, isteri mengadu sakit di perut, bimbang perkara tidak diingini saya merujuknya kepada doktor bertanggungjawab mendapatkan penjelasan.

Doktor kemudian memaklumkan ada dua kain kapas pembedahan tertinggal dalam perut isteri selepas imbasan X-ray dilakukan dan memerlukan pembedahan kedua untuk mengeluarkannya, katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Musa berkata, pembedahan kedua terpaksa dibuat bagi mengeluarkan kain kapas pembedahan yang tertinggal itu kerana isterinya sudah tidak dapat menahan kesakitan ketika itu.

Bagaimanapun, beliau kecewa selepas pembedahan kedua dilakukan oleh doktor HUSM, isterinya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim di bandar ini, masih mengalami kesakitan teruk selain kesan pembedahan tidak dijahit sempurna.
Saya terkejut apabila melihat jahitan yang dilakukan tidak sempurna, seolah-olah tidak habis dijahit sehingga mendatangkan kesakitan berpanjangan, katanya.

'BENDERA perlu hormat Malaysia'

Kes amah didera tak patut dijadikan sebab cetus kekecohan: Muhyiddin
SERI KEMBANGAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA), Malaysia mempunyai sistem perundangan dan juga terikat dengan konvensyen antarabangsa untuk melindungi pekerja di negara ini, termasuk dari republik itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia memberi jaminan pihak yang didakwa melakukan jenayah terhadap pekerja Indonesia akan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setimpal jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang kes berlaku tidak harus mencetuskan keadaan buruk sehingga memutuskan hubungan baik yang sudah terjalin antara Malaysia dan Indonesia selama ini.
Kita masih berpendapat yang penting hubungan antara Malaysia dan Indonesia mesti baik. Kita mengambil pendekatan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua negara mesti diselesaikan menerusi saluran diplomatik, katanya pada sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merasmikan Seminar Serantau Ke-10: Menjenayahkan Rasuah di sini, semalam.

Sementara itu, Wisma Putra tidak akan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan walaupun wujud ancaman daripada BENDERA menuntut beliau keluar dari negara itu.

Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay mengesahkan tiada arahan dikeluarkan oleh Wisma Putra bagi memanggil pulang Duta Besar atau semua pegawai yang bertugas di Indonesia selepas timbul ancaman itu.

Syed Munshe Afdzaruddin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung tuntutan BENDERA itu.
Ketua Canseri Pejabat Kedutaan Malaysia, Raja Reza Raja Zaib Shah berkata, sehingga kini pejabat kedutaan di Kuningan, Jakarta tidak menerima arahan rasmi dari Wisma Putra meminta duta atau pegawai yang bertugas di Indonesia pulang.

Tiada arahan dikeluarkan dari Wisma Putra meminta Datuk Syed Munshe Afdzaruddin atau diplomat kita di Indonesia pulang. Lagipun keadaan di sini sebenarnya selamat. Memang benar berlaku tunjuk perasaan tetapi ia tidak mengancam keselamatan warga Malaysia.

Malah kerajaan Indonesia memberi jaminan akan menjaga keselamatan kepentingan Malaysia termasuk diplomat, pekerja, pelajar dan pelancong Malaysia. Polis Indonesia turut berkawal di kedutaan dan kawasan yang memiliki kepentingan Malaysia, katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Wira Chor Chee Heung dalam kenyataan medianya berkata, MCA mengutuk tindakan melampau penunjuk perasaan berkenaan dan menuntut pihak berkuasa di Indonesia mengawal tindakan ekstrim penunjuk perasaan terbabit.

Malaysia bakal pengeluar vaksin wabak JE

Sentinext jangka dapat siapkan lapan tahun
GEORGETOWN: Malaysia bakal menghasilkan vaksin yang mampu mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut (HMFD) serta wabak Japanese Encephalitis (JE) yang dipercayai pertama di dunia menerusi sebuah syarikat bioteknologi tempatan, Sentinext Therapeutics Sdn Bhd.

Vaksin itu mampu memerangi Enterrovirus 71 (EV71) iaitu penyebab utama kepada HMFD dan JE yang lazimnya menjangkiti kanak-kanak dan bayi sehingga boleh membawa maut.
Ketua Pegawai Saintifik Sentinext Therapeutics, Jane Cardosa, berkata vaksin yang dihasilkan syarikat itu yang dijangka dapat disediakan dalam tempoh antara enam hingga lapan tahun akan datang, mampu menguatkan antibodi seseorang bagi melawan virus EV71.
Katanya, pihaknya baru saja menghasilkan contoh pertama vaksin EV71 dan ujian awal menunjukkan tindak balas imun yang baik terhadap partikel terbabit, yang mana proses susulan membabitkan praklinikal haiwan serta manusia dijangka dijalankan pada 2012.

Kami berpuas hati dengan ujian yang dilaksanakan setakat ini. Kami akan menjalankan ujian dalam fasa seterusnya terutama bagi memastikan vaksin berkenaan selamat digunakan, dengan aspek keselamatan menjadi keutamaan kami dalam menghasilkan vaksin itu.

Semua ujian itu dijangka selesai dalam tempoh antara enam hingga lapan tahun sebelum vaksin sebenar dapat keluarkan dan seterusnya digunakan, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sentinext Therapeutics memulakan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan vaksin berkenaan sejak Oktober lalu dengan mendapat penajaan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Dana Modal Sains Hidupan Malaysia (MLSCF) berjumlah RM40 juta.
Cardosa berkata, pihaknya masih memerlukan dana kewangan terutama bagi melaksanakan fasa ketiga dalam menghasilkan vaksin berkenaan dengan kos diperlukan bagi melaksanakannya berjumlah RM20 juta.

Kami mempelawa mana-mana pihak swasta yang ingin melabur dalam projek menghasilkan vaksin itu, katanya.

Thursday, September 23, 2010

Hospital biak nyamuk satu kesalahan serius: Liow

PUTRAJAYA: Penemuan kawasan pembiakan nyamuk di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini adalah satu kesalahan yang amat serius, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
"Walaupun ia bukannya daripada jenis nyamuk Aedes tetapi kita tetap pandang serius kerana sepatutnya hospital menjadi contoh terbaik dalam usaha membanteras pembiakan nyamuk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementeriannya, di sini hari ini.
Liow berkata, kompaun sebanyak RM500 telahpun dikenakan terhadap hospital berkenaan dan amaran juga sudah diberikan kepada pengarah hospital itu serta tindakan selanjutnya akan dikenakan jika kesalahan berulang.
Kelmarin, akhbar melaporkan satu kawasan pembiakan nyamuk yang dikenal pasti sebagai nyamuk Culex ditemui di hospital tersebut dan semalam satu lagi kawasan pembiakan ditemui.

Pemeriksaan sedang dibuat untuk mengenal pasti sama ada ia nyamuk Aedes.

Mengenai peningkatan kes denggi di Kelantan sebanyak 119 peratus, Liow berkata arahan sudah dikeluarkan untuk menambah sejumlah 19 lagi pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) serta-merta.

Selain itu, katanya, dalam usaha memastikan wabak denggi dapat dikawal, kontrak semua 1,000 petugas pasukan Combi yang ditempatkan di unit kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara yang akan tamat hujung tahun ini disambung selama setahun lagi. - BERNAMA