KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 19 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula permohonan dua lelaki untuk keluar daripada agama Islam.
Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan sebutan semula permohonan Mohd Rajiman Chin Abdullah, 48, dan Mohd Ramzan Maniarasan, 38, akan dibuat secara bersama pada tarikh berkenaan. Beliau menetapkan tarikh itu selepas Peguam Syarie, Syed Ahmad Shabuddin Syed Nong yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai responden kes itu memaklumkan mahkamah, Pegawai Penasihat Undang-Undang Syariah yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) sedang cuti bersalin. Beliau meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula yang baru untuk kedua-dua permohonan itu iaitu selepas pegawai wanita itu kembali bertugas pada Disember ini.
Rosdi berkata beliau berharap tempoh yang panjang sehingga tarikh sebutan semula itu digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak untuk membuat persediaan memandangkan kes itu serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan akidah.
Katanya beliau mahu memberi peluang kepada dua agensi yang menjaga kepentingan orang Islam di Terengganu itu bersedia dengan dokumen lengkap untuk berhadapan dengan tuntutan itu.
"Untuk pemohon pula, kalau betul-betul mahu teruskan hasrat ini boleh lantik peguam. Memohon untuk keluar Islam bukan satu perkara yang ringan. Kalau orang Islam yang murtad, boleh dibunuh, itu hukum Islam," katanya.
Ketika mengulas permohonan Mohd Rajiman supaya kes beliau diselesaikan dengan segera, Rosdi berkata mahkamah mempunyai prosedur khusus yang perlu dipatuhi.
Mohd Ramzan pula berkata beliau terpaksa membawa permohonannya itu sendiri ke mahkamah kerana tidak ada peguam syarie yang mahu mewakilinya, ketika ditanya sama ada akan melantik peguam untuk mewakilinya. - BERNAMA
Wednesday, September 22, 2010
19 Disember sebutan semula permohonan 2 lelaki ingin murtad
Posted by Irwan at 6:13 PM 0 comments
Rumah Noorhisham disimbah cat merah
KUALA LUMPUR: Kediaman Noorhisham Mohammad, 38, seorang daripada mangsa yang dibunuh bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, disimbah cat merah semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika kejadian keluarga pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru itu tiada di rumah. Isteri dan anak-anak Noorhisham pulang ke Johor Bahru sejak Ahad lalu. Laporan polis mengenai perkara itu dibuat oleh seorang anggota keluarga Noorhisham di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang pada jam 9 malam setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran mereka.
"Seorang lelaki membuat laporan dan memberitahu rumah tiga tingkat Allahyarham di Taman Seraya, Ampang disimbah cat merah di halaman rumahnya (lantai)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Jalil berkata polis percaya kejadian itu bukan disebabkan dendam tetapi tersilap sasaran dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 kerana khianat.
Noorhisham, 38, dilapor hilang bersama Sosilawati, 47, pemandu Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - BERNAMA
Posted by Irwan at 6:12 PM 0 comments
Labels: berita
"Banyak cerita kisah hidup P Ramlee tidak tepat": Ahmad Nawab
GEORGETOWN: Seniman Negara Datuk Ahmad Nawab akan menyerahkan beberapa koleksi peribadinya mengenai Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan akan membongkar semula kisah hidup seniman agung itu kepada Jabatan Arkib Negara.
Katanya, beliau mengenali P.Ramlee secara dekat kerana membantu seniman agung itu untuk mengubah lagu selama sembilan tahun malah pernah tinggal di rumah P.Ramlee di Kuala Lumpur. "Saya kesal kerana banyak cerita mengenai kisah hidup P.Ramlee adalah tidak tepat malah ada yang berbohong, saya kenal P.Ramlee kerana kami bekerjasama dalam membuat muzik, P.Ramlee tidak pernah meminta lagu dari sesiapapun untuk filemnya kecuali dari saya sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ahmad berkata, antara fakta yang tidak betul ialah mengenai dakwaan P.Ramlee seorang yang pandai bermain semua alat muzik sedangkan Seniman Agung itu hanya berkebolehan bermain piano untuk mencipta lagu.
"Jika kita lihat filem Ibu Mertuaku, yang meniup saksofon sebenarnya ialah Ahmad B dan dalam filem Masam-masam Manis pula, yang meniup saksofon adalah saya sendiri, ini kerana P.Ramlee tidak boleh bermain saksofon tetapi beliau berkebolehan untuk memegang saksofon dengan gaya yang betul," katanya.
Beliau berkata beberapa fakta mengenai kisah hidup P.Ramlee yang diceritakan oleh kenalannya adalah tidak tepat kerana P.Ramlee sendiri tidak pernah ditemubual oleh media semasa hayatnya.
"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa P.Ramlee gemar untuk memakan buah tembikai dan dicicah dengan sambal kicap...ini pelik tetapi itulah kegemaran P.Ramlee," katanya.
Sebagai permulaan Ahmad Nawab menyerahkan potret beliau bersama P.Ramlee yang dirakam pada 1965 di Sarawak kepada Arkib Negara untuk dipamerkan di Galeri P.Ramlee di sini.
Katanya, usaha menyerahkan koleksi peribadi mengenai seniman agung itu adalah penting supaya ia dapat menjadi tatapan generasi akan datang untuk mengenali kisah hidup P.Ramlee yang sebenar.
Sementara itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, persatuan itu akan menganjurkan Seminar Pemikiran P.Ramlee di Kem Tun Razak, Bukit Gedong di sini pada Oktober depan.
Katanya, seminar itu akan membetulkan fakta-fakta mengenai kisah hidup P.Ramlee dan Ahmad Nawab akan dijemput sebagai salah seorang anggota panel. - BERNAMA
Posted by Irwan at 6:10 PM 0 comments
Malaysia kutuk sebarang penderaan terhadap pekerja: Anifah
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap pekerja tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru membabitkan seorang pembantu rumah dikenali sebagai Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 September lalu. "Adalah dikesali bahawa penderaan itu berlaku walaupun majikan dan pembantu rumah sering diberi nasihat sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini. Anifah berkata, sehubungan itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Luar akan memberi bantuan yang diperlukan kepada kerajaan Republik Indonesia bagi menguruskan perkara berkaitan.
Katanya, Kerajaan Malaysia juga memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi dan mahkamah akan menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku kesalahan itu.
Pembantu rumah berumur 26 tahun itu mendakwa didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya. Berikutan itu, sepasang suami isteri telah ditahan polis Ahad lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Mereka juga akan turut disiasat menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 berdasarkan bukti serta keterangan yang diperoleh. - BERNAMA
Posted by Irwan at 6:10 PM 0 comments
Labels: berita