Followers

Wednesday, September 22, 2010

Peguam Negara arah polis lengkapkan siasatan kes bunuh Sosilawati, tiga lain

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara, mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain kerana berpendapat siasatan dalam pelbagai aspek perlu dijalankan, menurut Ketua Bahagian Pendakwaannya, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, polis diarahkan untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke pihaknya. Beliau berkata, pihaknya telah mengembalikan kertas siasatan itu semalam setelah menerimanya pada hari yang sama kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut. Katanya, Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-supek berkenaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengesahkan telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu termasuklah laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan oleh sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.
Polis kini turut menyiasat empat kes yang melibatkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang di percayai ada kaitan dengan dua peguam yang adalah suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Antara kes tersebut melibatkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam tersebut di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya dirujuk di Ibu pejabat Daerah Brickfileds.

Selain itu, ia turut membabitkan kes kehilangan usahawan batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Bernama

Urusetia kontinjen Malaysia berlepas ke New Delhi esok

KUALA LUMPUR: Satu pasukan awal urusetia kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel akan berlepas ke New Delhi, India esok bagi meninjau dan menilai segala aspek persiapan terakhir tuan rumah sebelum temasya bermula dari 3 hingga 14 Oktober.

Pengurus Besar Sukan Komanwel, Jefri Ngadirin yang mengetuai urusetia itu, berkata pasukan yang terdiri daripada tujuh pegawai turut disertai seorang doktor dan seorang pegawai keselamatan kontinjen. "Pasukan ini kemudian akan menghantar laporan terkini situasi terkini di New Delhi kepada Menteri Belia dan Sukan," katanya di sini, hari ini. Jefri berkata, pasukan pertama Malaysia yang akan ke New Delhi adalah skuad boling padang yang akan berlepas Jumaat ini sebelum kedatangan kontinjen besar negara bermula Selasa depan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapat laporan harian terkini daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di ibu negara India itu terutama yang membabitkan isu keselamatan dan kesihatan.

"Walaupun banyak laporan negatif dilaporkan media asing mengenai tahap keselamatan dan kesihatan di New Delhi, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sehingga kini mengesahkan tahap keselamatan dan kesihatan adalah terkawal," katanya.

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 203 atlit akan beraksi dalam 14 acara iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik. - Bernama

Najib ke New York awal atas permintaan Obama: Jamaludin

PHILADELPHIA: Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, mengesahkan ketibaan awal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke New York esok berikutan keinginan Presiden Barrack Obama hendak bertemu beliau sebelum bermulanya sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Katanya, pemimpin Amerika itu menaruh harapan tinggi hendak mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri bersama semua ketua kerajaan ASEAN yang bakal menghadiri perhimpunan tahunan berkenaan menerusi Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat “Perdana Menteri akan datang awal kerana mendapat jemputan daripada Obama. Saya dimaklumkan, White House berasakan kalau Obama mengadakan pertemuan dengan ketua negara ASEAN tanpa kehadiran Perdana Menteri, ia bagaikan satu kecacatan. “Sebab itu, saya menghantar pesanan kepada Perdana Menteri supaya mengubah jadual kedatangannya ke sini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi mesyuarat meja bulat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diketuai Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan lebih 40 ahli perniagaan dan pelabur AS di Hotel Hyatt Philadelphia.

Mengikut jadual asal, Najib dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New York pada pagi Ahad ini.

Perdana Menteri dijadual tiba secara rasmi di New York pada jam 7.50 pagi esok dan kembali ke tanah air pada 28 September.

Mengikut kenyataan daripada Wisma Putra semalam, Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta barisan pegawai daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.
Penyertaan Perdana Menteri dalam sidang kemuncak itu selaras dengan pendirian Malaysia yang menganggap PBB sebagai wadah utama dalam mempamerkan komitmen serta mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat dunia bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat.

Najib dijadualkan menyampaikan ucapan pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia di Debat Umum Perhimpunan Agung PBB pada 27 September 2010, selain menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat pada 24 September yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Minh Triet selaku Presiden ASEAN, dan Obama.

Mengulas lanjut, Jamaluddin menyifatkan jemputan Obama itu adalah satu penghormatan besar kepada Malaysia sekali gus menunjukkan wujud satu anjakan baru dalam hubungan antara AS dan negara ini.

“Kita berasa bangga dengan penghormatan diberikan oleh AS kepada Malaysia. Ini adalah satu anjakan baru kepada kita kalau dibandingkan dengan hubungan terdahulu,” katanya.

Mengenai agenda pertemuan itu, Jamaluddin membayangkan ia bakal menyentuh pelbagai isu berkaitan termasuk mengenai hubungan dagangan baru antara Malaysia dan AS.

Katanya, kedatangan Mustapa dan delegasinya ke Washington DC esok bakal membantu mempercepatkan lagi perbincangan antara kedua-dua pihak bagi membentuk jalinan hubungan perdagangan baru.

“Dulu kita hanya ada hubungan dagangan antara Malaysia dan AS, tapi sekarang kita ada perjanjian baru dikenali Perjanjian Trans Pacific Partnership (TPP). Menerusi perjanjian ini ia akan dilaksanakan secara berkumpulan dengan tujuh negara.

“Justeru, kini kita bukan saja bakal membentuk hubungan perdagangan baru, tetapi juga hubungan dengan tujuh negara lain seperti Chile, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei. Bila kita tandatangan perjanjian ini, kita bukan saja dapat pertingkat perdagangan dengan AS malah dengan negara tujuh itu dan dunia,” katanya.

Jamaludin berkata, perkembangan itu jelas adalah selari dengan visi Perdana Menteri yang kini memperkenalkan model ekonomi yang dikenali Model Ekonomi Baru (MEB).

“Ia adalah satu rangsangan baru kepada perdagangan baru Malaysia dengan dunia. Dengan ini kita dapat melihat TPP bakal menjana peluang pekerjaan baru kepada anak muda kita, sekali gus mampu meningkatkan eksport kita sejajar dengan impian negara dan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Fazli dihukum gantung selepas didapati bersalah bunuh Syafiah Humaira

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun pada Februari lalu.
Hakim Datuk Moktaruddin Baki, ketika menjatuhkan hukuman, berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Ibu tertuduh yang terlalu sedih dengan keputusan itu terus menerpa ke arah tertuduh selepas mahkamah ditangguhkan dan meraung sebelum pengsan kerana terlalu sedih. Mohd Fazli, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira Sahari di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali pada 6.30 petang 25 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Syafiah Humaira anak kedua Siti Nurhanim, 25, seorang bekas pelayan kelab malam hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis, Sahari Usul.