Followers

Tuesday, September 21, 2010

Penjawat awam perlu amal keterbukaan: PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata setiap penjawat awam perlu mengamalkan keterbukaan minda bagi memastikan matlamat dan agenda kerajaan tercapai.

Beliau berkata sikap keterbukaan itu perlu dalam usaha kerajaan menghadapi cabaran-cabaran bagi menjayakan empat tonggak utama iaitu konsep "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10). "Keterbukaan itu bukan sahaja menerusi Rumah Terbuka Aidilfitri tetapi daripada segi pemikiran dan kaedah yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. - BERNAMA

Lebih 490,000 duduki UPSR

KUALA LUMPUR: 494,493 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) yang bermula hari ini sehingga Khamis.
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), dalam satu kenyataan di sini, berkata daripada jumlah itu, 373,190 adalah calon sekolah kebangsaan, 96,166 dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK(C)) dan 16,965 dari SJK Tamil. Turut menduduki UPSR hari ini ialah 8,163 calon Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Melayu dan sembilan pelajar dari Sekolah Swasta Pengantar Bahasa Cina. Di KUANTAN, seramai 26,936 pelajar Tahun Enam menduduki UPSR di seluruh negeri termasuk 81 calon daripada golongan kelainan upaya.

Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif, ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sek Keb Permatang Badak di sini, berkata beliau berharap jumlah pelajar yang lulus dalam semua subjek pada kali ini akan meningkat berbanding 68.39 peratus tahun lepas.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 23,533 murid Tahun Enam menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan membabitkan 354 buah sekolah di seluruh negeri, kata Pengarah Pelajaran negeri Ariffin Embong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, ketika dihubungi, berkata beliau yakin sasaran Terengganu untuk mencapai 20 peratus A dalam semua mata pelajaran akan tercapai.
"Ia berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan yang mencatatkan 29 peratus pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran," katanya. - BERNAMA

Pelaburan RM1.4 trilion bagi ganda pendapatan negara

KUALA LUMPUR: Pelaburan bernilai RM1.4 trilion (AS$444 bilion) dijangka dilaksanakan sepanjang 10 tahun Program Transformasi Ekonomi negara bagi menggandakan Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) mengenal pasti 133 projek bernilai RM1.4 trilion yang mana 92 peratus bakal disumbangkan sektor swasta. Ia adalah peningkatan ketara daripada 37 peratus pelaburan swasta pada 2008 dan sejajar sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 bagi pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 12.8 peratus setahun. Firma swasta akan melabur AS$266 bilion atau 60 peratus, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (AS$144 bilion atau 32 peratus) dan sektor awam (AS$34 bilion atau lapan peratus.)

Gadis kembar dan rakan ditemui di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, bersama teman sebaya, Suhaili Abd Razak yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli pakaian di pekan Kampar, Perak pada 11 September lalu ditemui di sini, jam 8 pagi tadi.
Ketiga-tiga remaja itu ditemui bersama dua lelaki yang dipercayai teman pasangan kembar terbabit di sebuah rumah di flat Green Garden, Paya Terubong.