Followers

Friday, September 17, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Pemimpin politik jangan buat tafsiran sendiri

KULIM: Pemimpin politik di negara ini sepatutnya tidak membuat tafsiran sendiri mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail Nasution, berkata semua pihak sepatutnya bermengambil sikap bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan tugas mereka.
“Jika terlalu banyak pihak membuat pelbagai tafsiran...akan menjadi lebih mengelirukan terutama persepsi umum terhadap kes yang belum selesai," katanya kepada pemberita selepas program Rapat 1Malaysia di sini petang semalam.
Lebih 500 peserta terdiri daripada ketua-ketua cawangan dan anggota jawatankuasa parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Kulim/Bandar Baharu hadir pada majlis anjuran Penyelaras Parlimen kawasan berkenaan sebagai sebahagian majlis menyambut Hari Malaysia.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang juga Penyelaras Parlimen kawasan itu.

Sahlan berkata mana-mana pihak tidak perlu turut masuk campur dengan tugas polis dan menyerahkan kepada pihak berkenaan menjalankan tugas mereka secara profesional kerana kelak akan lebih mengelirukan lagi suasana.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan tugas yang dijalankan pihak polis adalah memuaskan dan adil untuk semua pihak," katanya.
Sementara itu, Sahlan berkata ada kumpulan-kumpulan yang telah mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya satu Suruhanjaya Kesamarataan diwujudkan tetapi sehingga kini kerajaan tidak menerima ataupun menolaknya.

“Ia adalah satu cadangan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau untuk membuat pertimbangannya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri masih kekal dengan prinsip “keadilan untuk semua”. - BERNAMA

15 maut hari ke-14 Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Lima belas lagi kematian dicatat pada hari ke-14 Ops Sikap Ke-22 semalam, melonjakkan angka korban jalan raya sejak operasi bermula pada 4 September lalu kepada 226 orang.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatat angka tertinggi dengan lapan kematian, diikuti enam pengguna kereta dan seorang pejalan kaki.
Jumlah kematian yang dicatat pada hari ke-13 kempen itu ialah 15 orang.
Statistik itu turut merekodkan 869 kemalangan iaitu jumlah tertinggi dilapor di jalan bandaran dengan 384 kemalangan, 235 di jalan persekutuan, 131 di jalan negeri, 79 di lebuh raya dan 40 di lain-lain jalan.

Sebanyak 10,556 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ops Sikap sempena sambutan Aidil Fitri itu berakhir hari ini. - BERNAMA

PM Jepun bersiap buat rombakan Kabinet

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan kini bersiap sedia untuk membuat rombakan ke atas barisan Kabinetnya yang berusia tiga bulan dalam usaha untuk memperoleh sokongan rakyat.
Sehari selepas dipilih semula sebagai presiden parti memerintah, Kan dilaporkan akan menamakan Menteri Pengangkutan yang juga seorang pakar keselamatan, Seiji Maehara menjadi Menteri Luar.
Beberapa akhbar termasuk akhbar terbesar Asahi dan Yomiuri melaporkan mengenai perubahan pada barisan Kabinet itu.
Kan yang menewaskan Ichiro Ozawa dalam saingan jawatan presiden Parti Demokrat Jepun (DPJ), awal minggu ini, semalam menawarkan Menteri Luar,
Katsuya Okada menerima jawatan nombor dua dalam perti itu.

Langkah itu dianggap untuk mengurangkan pengaruh Ozawa dalam pemerintahan kerajaan.

Menteri Kewangan, Yoshihiko Noda, Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshito Sengoku, Menteri Perkhidmatan Kewangan, Shozaburo Jimi dan Menteri Reformasi Pentadbiran, Renho disebut-sebut kekal dalam potfolio masing-masing.
Anggota Kabinet sedia ada dijangka akan menyerahkan surat meletakkan jawatan pagi ini, sebelum kerajaan mengumumkan Kabinet baru, lewat hari ini, lapor akhbar harian, Yomiuri. - AFP

Thursday, September 16, 2010

Najib puji kecekapan polis tangani kes Sosilawati

SANDAKAN: Datuk Seri Najib Razak memuji kecekapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dapat menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dengan cepat.
Sambil menyampaikan ucapan syabas dan tahniahnya kepada PDRM, Perdana Menteri mahu pasukan polis turut diberi ruang dan masa untuk menguruskan kes berkenaan agar semua yang terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
"Ini satu kejayaan (pihak polis) yang begitu memberangsangkan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak PDRM kerana dapat bertindak cepat, pantas dan dapat membongkar mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan mangsa berkenaan.
"Saya berharap mereka dapat mencari bukti-bukti yang jelas yang boleh dikemukakan di mahkamah supaya mahkamah tidak merasa ragu untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal degan angkara yang cukup kejam yang telah dilakukan oleh mereka itu," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Juara Rakyat peringkat Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang menyifatkan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu berusia 47 tahun dan tiga rakannya yang lain telah selesai.

Tiga yang lain pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB bank cawangan Kampung baru, di sini, Noorhisham Mohamad, 38 dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman serta ketua parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib juga melancarkan program pemberian susu percuma kepada pelajar sekolah rendah yang dinamakan "Program Susu 1Malaysia".
Najib berkata polis tidak boleh bertindak terburu-buru membawa kes berkenaan ke mahkamah kerana mereka terpaksa mencari bukti kukuh yang boleh mensabitkan semua yang dituduh di muka pengadilan.

"Setakat ini (mereka akan) didakwa tetapi pendakwaan mesti disabitkan kesalahan di mahkamah. Ini yang kita mesti berikan masa dan ruang secukupnya (kepada polis) untuk mencari bukti yang boleh dibawa ke mahkamah sehingga tidak ada keraguan sama sekali. Sebab kalau nak jatuhkan hukuman, ia kena melangkaui keraguan munasabah," katanya.

Mengenai pemberian susu percuma itu yang dijangka dilaksanakan pada bulan depan, beliau berkata Program Susu 1Malaysia berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan.

Katannya sebagai permulaan susu berkenaan akan diberikan kepada pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3 sebelum diperluaskan secara berperingkat-peringkat kepada kelas pelajar lebih tinggi.

Najib berkata kos permulaan bagi program berkenaan ialah RM4 juta dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Katanya kerajaan negeri Sabah telah memberi jaminan kepada beliau bahawa negeri itu berupaya membekalkan susu mencukupi bagi mejayakan program berkenaan secara berterusan. -BERNAMA