KOTA BHARU: Seorang pelajar tahun dua cedera di mata, muka dan tangan kirinya apabila mercun bola yang dijumpainya meletup di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, Muhammad Aman Azrol Che Senik, 8, sedang bermain di padang permainan dan terjumpa mercun berkenaan.
Mangsa dan adiknya, Muhammad Azin, 5, cuba menyalakan mercun itu dengan mencampakkan ke dalam nyalaan api pada kertas yang terbakar menyebabkan mercun itu meletup dan serpihannya terkena mangsa.
Ibu mangsa, Yusnita Abas, 39, berkata anaknya itu berlari pulang ke rumah yang terletak 50 meter dari padang berkenaan sambil menangis dan menutup mata kirinya yang berair.
"Saya juga lihat ada kesan putih dan kemerahan pada pipi dan jari tangan kirinya melecur. Saya kemudian meminta bantuan adik ipar saya untuk menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di hospital HRPZ II, di sini, semalam.
Katanya, doktor mengesahkan anaknya itu tidak mengalami kecederaan serius dan hanya memerlukan rawatan susulan bagi memulihkan kecederaan. - BERNAMA
Monday, August 23, 2010
Murid cedera di mata terkena serpihan mercun
Posted by Irwan at 1:21 PM 0 comments
Labels: berita
Sunday, August 22, 2010
Kerajaan kaji tabung DNA bendung buang bayi: Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keberkesanan mewujudkan tabung Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi setiap bayi yang baru dilahirkan dalam menangani kejadian isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebarang pendekatan baru boleh diwujudkan bagi menyelesaikan sesuatu kes jenayah selain membantu kes jenayah lain.
"Jika cadangan itu dilihat praktikal ia boleh diguna pakai sebagai salah satu daripada 55 inisiatif dalam menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian (Dalam Negeri) untuk mengurangkan kadar jenayah pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen menahan lapar "Countdown Famine 30 Hours" di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Kira-kira 8,000 orang dari kalangan Cina dan India menjayakan kempen menahan lapar selama 30 jam itu yang berakhir 4 petang hari ini.
Hishammuddin berkata, demikian bagi mengulas cadangan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar semalam bahawa tabung berkenaan akan memudahkan polis mengenal pasti ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas pembuangan bayi di masa akan datang.
Menteri itu berkata, usaha untuk menangani isu pembuangan bayi bukan seharusnya diletakkan di bahu Kementerian Dalam Negeri semata-mata, sebaliknya semua kementerian termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, sekiranya terdapat cadangan lain yang lebih praktikal, ianya boleh dipertimbangkan.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata sistem biometrik akan dilaksanakan di setiap pintu masuk negara mulai Oktober ini bagi membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan agar mereka yang dilarang memasuki negara ini dapat dikenal pasti.
Beliau berkata, selain itu, pangkalan data majikan juga akan dilaksanakan bagi merekodkan segala maklumat berkaitan majikan supaya pengambilan dan pengurusan pekerja asing dapat dibuat dari semasa ke semasa, khususnya ketika majikan memohon untuk mengambil pekerja asing baru.
Kempen hari ini yang dianjurkan oleh World Vision Malaysia, Sin Chew Daily dan HELP University College dengan kerjasama 8TV, MIX fm dan MY fm adalah bertujuan untuk merasai sendiri pengalaman tentang kesusahan dan keperitan yang dialami oleh golongan miskin
"Isu kemiskinan tidak boleh diskriminasikan supaya gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan dan program sebegini membuktikan semangat 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama boleh menjadi kenyataan," katanya. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:56 PM 0 comments
Labels: berita
Remaja lelaki mangsa kedua leptospirosis di Kedah
ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun menjadi mangsa kedua yang meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus atau leptospirosis di Kedah tahun ini.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa, berkata remaja itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah semalam setelah dipercayai mandi di kawasan rekreasi Puncak Janing, Kuala Nerang, pada 16 Julai lalu.
"Dia mandi bersama empat rakannya di kawasan rekreasi itu, tetapi rakan-rakannya tidak menunjukkan simptom penyakit itu," katanya.
Beliau berkata, walaupun empat lagi rakan remaja itu sihat, tetapi mereka diberi rawatan berterusan kerana penyakit itu boleh dikesan paling awal selepas tiga hari dan paling lambat selepas 15 hari terdedah dengan bakteria berkenaan.
Katanya, selain Puncak Janing, dua lagi kawasan rekreasi di Kedah iaitu Lata Bayu di Baling dan Bukit Wang di Jitra masih ditutup kepada orang ramai.
"Saya menerima laporan masih ada orang yang mengunjungi Puncak Janing walaupun kawasan itu ditutup kepada orang ramai, jadi saya nasihatkan supaya mereka tidak mengunjungi kawasan itu lagi," katanya.
Kematian pertama disebabkan wabak ini di Kedah adalah pada awal bulan ini apabila seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berusia 30-an meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selepas berkelah di kawasan perkelahan Lata Bayu, Baling. - BERNAMA
Posted by Irwan at 9:55 PM 0 comments
Iran lancar pesawat pengebom kawalan jauh
TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, hari ini melancarkan pesawat pengebom kawalan jauh pertama binaan sendiri yang digelar "duta kematian" kepada musuh Iran.
Bercakap kepada sekumpulan pegawai, Ahmadinejad berkata: "Jet ini selain menjadi duta kematian kepada musuh kemanusiaan, mempunyai mesej keamanan dan persahabatan."
Katanya, matlamat pesawat itu ialah untuk "memastikan musuh lumpuh di pangkalan mereka sendiri" dan menegaskan pembinaannya bagi tujuan pertahanan.
Pesawat kawalan jauh sepanjang empat meter itu dinamakan Karrar iaitu penyerang dalam bahasa Farsi. Tiada butiran mengenai keupayaan pesawat itu diberikan. - AP
Posted by Irwan at 9:53 PM 0 comments
Labels: berita