Followers

Sunday, August 22, 2010

Pelajar tahun dua cedera kena mercun

ALOR SETAR: Seorang pelajar tahun dua cedera di tapak tangan kanan apabila mercun bola meletup dalam tangannya, ketika bermain bahan api itu di rumah rakannya di Kampung Kubang Besar, Pokok Sena, dekat sini.
Menurut bapa saudara mangsa yang enggan dikenali, ia berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam ketika mangsa yang berusia 8 tahun bermain bersama rakan-rakannya.
"Mangsa mengambil semula mercun yang dibalingnya kerana tidak meletup, tapi mercun itu kemudiannya meletup dalam tangannya secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pelajar Sekolah Kebangsaan Nawa itu pulang ke rumah sambil menangis dan memberitahu ibunya tentang kejadian itu sebelum dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh jirannya untuk mendapatkan rawatan.

Bapa saudaranya berkata, anak saudaranya itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital berkenaan. - BERNAMA

Kanak-kanak maut, dua lelaki parah rumah simpan mercun meletup

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun terbunuh dan dua lelaki cedera parah apabila sebuah rumah tinggal yang dipercayai menjadi gudang mercun di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini, meletup pada jam 12.30 tengahari tadi.

Mayat Khairul Arif Ayob, 6, pelajar Tadika Kampung Losong Atap Zin, ditemui tersangkut pada pokok selepas tercampak kira-kira 15 meter dari rumah berkenaan dengan kepalanya pecah.
Jurucakap bomba yang ditemui di tempat kejadian berkata letupan kuat itu menyebabkan bahagian depan rumah itu musnah sama sekali.
Menurut saksi, dua lagi mangsa berusia 22 dan 23 yang belum dikenal pasti identiti mereka pula mengalami kecederaan parah di kaki.

"Saya mendapati rumah berkenaan rosak teruk dengan sebahagian dinding rumah tercabut dan berandanya runtuh. Dua orang lelaki turut terbaring di luar rumah dalam keadaan cedera parah," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada lelaki terbabit tidak sedarkan diri manakala seorang lagi yang berada di bawah serpihan papan sempat meminta kami mencari seorang budak.

Mereka kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, ibu saudara kanak-kanak malang itu, Rozita Abdul Rahman, 35, berkata ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar kerana ada urusan di mahkamah manakala mangsa keluar mengikut kawan ayahnya ke tempat kejadian.

"Saya juga rasa hairan kerana hari ini Khairul Arif membawa bersama selipar rayanya ke hulu ke hilir untuk ditunjukkan kepada orang yang dijumpainya. Dia juga tidak semena-mena pernah berkata nak pergi jauh," katanya.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya akan meminta bantuan Unit Forensik dan Unit Bom dari Kuala Lumpur untuk membantu menyiasat kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

6 gempa bumi gegar Taiwan, tiada amaran tsunami

TAIPEI: Enam gempa bumi termasuk berukuran 5.4 pada skala Richter melanda luar pesisir pantai timur Taiwan hari ini tetapi tiada laporan kemalangan atau kemalangan jiwa atau amaran tsunami.

Gempa bumi sederhana itu melanda sejurus selepas tengah malam di 35 kilometer ke tenggara kampung Hsilin dengan pusat gempa pada kedalaman 5.4 kilometer saja.
Gempa bumi lebih lemah lain pula melanda di luar bandaraya Ilan. - AFP

Gempa bumi lemah dekat Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 4.0 pada skala Richter berlaku di kedudukan 19 kilometer dari utara Lahad Datu, Sabah, pada 3.43 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam satu kenyataan, menyatakan gempa bumi itu menyebabkan kemungkinan gegaran lemah dirasai di sekitar kawasan Lahad Datu.
"Jabatan ini sedang memantau perkembangan tersebut,: menurut kenyataan itu. - BERNAMA