Followers

Tuesday, August 17, 2010

Bekas pengetua asrama anak yatim dituduh cabul remaja perempuan

KUALA LUMPUR: Bekas pengetua sebuah pusat untuk anak-anak yatim dan miskin, Abdul Rahman Ramani, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang penghuni perempuan asrama itu, tahun lalu.

Abdul Rahman, 41, didakwa mencabul kehormatan pelajar berumur 14 tahun dengan meraba kemaluan dan buah dada gadis itu di pejabat Asrama Baitul Ummah di Taman Setapak Indah, Sentul, di sini pada jam 8 malam 20 Oktober tahun lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan Abdul Rahman diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norasyikin Ahmad manakala Abdul Rahman diwakili peguam, M Govindaraju.

Seorang saudara tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan itu. - Bernama

Bakteria leptospirosis dikesan di 3 kem PLKN di Perak

IPOH: Tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Perak dikesan mempunyai bakteria leptospirosis atau virus kencing tikus.

Kem terbabit sudah dinasihatkan menghentikan sebarang aktiviti air bagi mengelak pelatih dijangkiti virus itu.

67 sukarelawan Misi Kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia ke Gaza tiba di Kaherah

KAHERAH (Mesir): 67 sukarelawan Misi Kemanusiaan ke Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) selamat tiba di Kaherah, Mesir, pada jam 10.15 malam (waktu tempatan), semalam (kira-kira 4.15 pagi waktu Malaysia).

Pasukan itu berlepas dari sempadan Rafah menggunakan dua bas pada jam 3 petang selepas menunggu hampir dua jam di Bangunan Imigresen Mesir di sempadan Rafah yang memisahkan Semenanjung Gaza dan Mesir.
Menyambut ketibaan mereka ialah pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir yang diketuai Kuasa Usaha Sementara, Shaiful Anwar Mohammad dan Setiausaha politik kepada menteri luar, Datuk Norhaidi Che Dan.
Misi kemanusiaan yang diketuai presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memasuki Gaza pada 9 Ogos untuk menyampaikan bantuan makanan, pakaian raya, selimut dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza sempena bulan Ramadan.

Sepanjang lapan hari berada di wilayah konflik itu, sebanyak 2,750 keluarga membabitkan 5,000 penerima di Bandar Gaza, Jabalyah, Der Al-Balah, Khan Younis dan Rafah, termasuk kawasan Saifa yang bersempadan dengan Israel di utara Gaza, mendapat bantuan.

Misi kemanusiaan itu turut menyampaikan sumbangan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan kepada lima hospital dan klinik komuniti yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), juga di kawasan sama.

Ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan bernilai AS$10,000 turut disampaikan kepada hospital dan klinik kerajaan menerusi sumbangan kepada pemimpin Hamas yang bertanggungjawab bagi sektor kesihatan di Gaza, Dr Basem N Naim.
Misi kemanusiaan yang turut disertai 35 doktor, paramedik dan pakar perubatan pelbagai kaum itu juga mengadakan latihan kecemasan dan trauma di Hospital Al-Amal di Khan Younis selain membantu doktor tempatan merawat pesakit.

Sumbangan kewangan, masing-masing AS$2,500, turut disampaikan kepada lima masjid di wilayah Gaza.

Persinggahan terakhir misi kemanusiaan itu ialah di Yayasan Kanak-Kanak Avenir Palestin dan di sana Abdul Azeez menyampaikan sumbangan kewangan 100 shekel kepada 400 kanak-kanak kurang upaya.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 10,000 shekel kepada wakil persatuan nelayan di Bandar Gaza, Mahmood Abdul Aziz di kawasan perkampungan nelayan Bandar Gaza bagi mengadakan majlis berbuka puasa untuk 1,500 nelayan di kawasan itu. - Bernama

Isu Israel: Rumah Putih nafi beri 'kata dua' kepada Turki

MILWAUKEE (Wisconsin): Rumah Putih hari ini menafikan laporan media bahawa Presiden Barack Obama memberi amaran kepada Turki bahawa negara itu tidak akan berpeluang mendapatkan bekalan senjata keluaran Amerika berikutan perubahan dasar negara itu terhadap Israel dan Iran.

Akhbar Financial Times Britain memetik seorang pegawai kanan sebagai berkata, Obama memberitahu Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa “beberapa tindakan yang diambil Turki boleh dipersoalkan anggota kongres.
"Ia mencetuskan persoalan 'sama ada kami mempunyai keyakinan kepada Turki sebagai sekutu'," kata pegawai kanan itu bahawa kedua-dua pemimpin membangkitkan isu itu beberapa hari lalu.
Jurucakap Rumah Putih, Bill Burton menafikan wujudnya 'kata dua' diberikan kepada Ankara mengenai isu itu.

“Saya tidak tahu dari mana mereka memutar-belitkan isu itu.

“Presiden (Obama) dan Erdogan memang ada berbincang kira-kira 10 hari lalu dan ia mengenai Iran dan isu kapal bantuan ke Gaza yang diserang (Israel) serta beberapa isu berkaitan," katanya.

“Kami sememangnya mempunyai dialog berterusan dengan mereka (Turki), tapi isu Turki diberi kata dua ini tidak berbangkit," katanya.
Laporan Financial Times itu berkata, Erdogan bercadang membeli pesawat tempur Amerika untuk menangani kumpulan pemisah Kurdish di sempadan Turki-Iraq selepas tentera Amerika keluar dari Iraq menjelang 2011 nanti. - AFP