KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyemak semula peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi memastikan ia relevan dengan hasrat kerajaan.
Presidennya, Omar Osman, berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, matlamat PTK tidak tercapai sepenuhnya selain boleh mengekang aspirasi kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
"Daripada apa yang kita dapat, ramai penjawat awam tidak berpuas hati dengan PTK kerana ada yang cemerlang melaksanakan tugas hakiki tetapi tidak diiktiraf prestasi mereka kerana gagal melepasi syarat PTK.
"Dalam pada itu, ada pula yang tidak seberapa (prestasi) tapi disebabkan lulus PTK, dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan yang lain patah semangat khususnya mereka yang tidak lulus," katanya kepada Bernama.
Diperkenalkan pada November 2002, peperiksaan PTK bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya yang layak menerima pengiktirafan.
Selain itu, katanya, pelaksanaan PTK juga tidak selaras kerana bukan semua jabatan kerajaan menjalankan peperiksaan sebaliknya menghantar penjawat berkursus dan melakukan pembentangan yang disifatkan lebih sesuai dengan taraf profesionalisme yang diinginkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kalau difikirkan, bila masa mereka mahu mengulang kaji sedangkan pada masa yang sama mereka juga perlu melaksanakan tugas hakiki selain menguruskan hal peribadi. Malah saya difahamkan ada yang mengabaikan tugas untuk mengulang kaji semasa waktu kerja semata-mata untuk lulus PTK," katanya.
Omar berkata budaya mengampu ketua jabatan boleh diatasi jika urusan anjakan gaji dan kenaikan pangkat dikendalikan oleh satu jawatankuasa yang tidak berkepentingan.
"Jabatan boleh melantik dua atau tiga orang yang tidak berkepentingan untuk menilai prestasi warganya, iaitu ketua jabatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk kenaikan pangkat," katanya.
Omar juga tidak menolak pandangan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan PTK turut melibatkan pembaziran masa dan kos kerana mereka yang berkenaan harus mengikuti kursus sebelum menduduki peperiksaan, selain kos untuk mengendalikan PTK itu sendiri.
Pandangan Omar dikongsi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang bersetuju dengan pendapat bahawa mereka yang berkhidmat di sektor awam dibebani dengan peperiksaan.
Beliau berkata sewajarnya kerajaan mempermudahkan kenaikan gaji dan gred penjawatnya terutama yang telah berkhidmat puluhan tahun dan hampir bersara namun masih di takuk lama sekalipun terbukti mereka cemerlang ketika bertugas.
Hashim berkata walaupun PTK digubal untuk tujuan yang baik iaitu mengelakkan unsur pilih kasih dan memastikan hanya yang layak diiktiraf, pelaksanaanya menyebabkan ada yang tertindas.
"Tidak semua antara kita pintar semasa di sekolah tetapi lain pula keadaannya ketika telah bekerja. Justeru konsep peperiksaan dalam PTK ini sudah tidak sesuai digunakan bagi menentukan prestasi seseorang penjawat awam," katanya.
Seperti dalam sektor am, beliau berkata ada anggota yang gagal menginjak pangkat kerana gagal melepasi peperiksaan sekalipun prestasinya sebagai penguatkuasa undang-undang cemerlang. - BERNAMA
Friday, August 6, 2010
Cuepacs minta JPA semak kaedah peperiksaan PTK
Posted by Irwan at 10:40 PM 0 comments
Labels: berita
Arab Saudi mula gantung perkhidmatan mesej BlackBerry
JEDDAH: Pihak berkuasa Arab Saudi hari ini mula menggantung perkhidmatan mesej BlackBerry selepas penyedia perkhidmatan itu memberi sebab ia dilakukan atas kepentingan keselamatan.
“Ia sudah ditamatkan," kata seorang pengguna BlackBerry di selatan pelabuhan Jeddah, sambil menambah rakannya juga menghadapi keadaan sama.
Pihak berkuasa telekomunikasi Arab Saudi mengumumkan Selasa lalu bahawa tiga penyedia perkhidmatan telefon bimbit itu sudah diarah menyekat perkhidmatan BlackBerry atau berdepan denda bernilai AS$1.3 juta. - AFP
Posted by Irwan at 12:07 PM 0 comments
Labels: berita
Thursday, August 5, 2010
Ubat kuat lelaki memudaratkan: Liow
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat kuat lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.
Beliau berkata, kebanyakan ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang juga bahan aktif perangsang seks lelaki.
"Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan erectile dysfunction yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di sini, hari ini, beliau berkata kesan sampingan ubat itu adalah sangat merbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.
"Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan," katanya.
Antara kemudaratan ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.
Beliau berkata, produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki itu juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan teh o ais limau.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menghentikan semua perkara mengarut dan penyalahgunaan (ubat) ini di negara ini. Saya memandang serius perkara ini. Jangan suka membeli produk-produk sedemikian.
"Kementerian Kesihatan akan perangi habis-habisan ubat-ubatan, makanan dan minuman kesihatan dan kosmetik yang tidak berdaftar," katanya. - BERNAMA
Posted by Irwan at 11:50 PM 0 comments
Tiada pembabitan orang ketiga: Musa
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengesahkan tiada pembabitan orang ketiga dalam kes kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Aziz Md Noh, dan bekas pembantunya, Siti Rohana Ismat.
Siti Rohana Ismat mati kerana terkena dua das tembakan, masing-masing satu di kepala dan rusuk, manakala Aziz mati akibat tembakan di kepala dalam kereta yang dinaiki mereka di Kilometer 455.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh kelmarin.
Polis turut menemui sepucuk revolver .38 yang masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina milik Siti Rohana yang dipandu bekas ADUN itu.
Posted by Irwan at 11:49 PM 0 comments