KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan satu angka yang tinggi bagi suku kedua tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.
Beliau berkata, petunjuk seperti peningkatan pada dagangan, import dan eksport adalah kukuh dan menunjukkan momentum positif, dan ini akan mendorong kepada pencapaian sasaran itu.
"Suku kedua akan lebih baik dan momentum juga kelihatan bagus. Kami menjangka pertumbuhan satu digit tinggi bagi suku tahun kedua," katanya selepas membuka Konvensyen Harta Tanah Kebangsaan ke-21 di sini.
Mengulas sama ada kerajaan akan menyemak semula sasaran pertumbuhan enam peratus untuk tahun ini, Nor Mohamed berkata: "Jika ada keperluan, kami akan menimbangkan untuk menyemak KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)."
Beliau yakin bahawa sasaran itu akan dicapai.
Dalam ucaptamanya, Nor Mohamed berkata, sasaran Malaysia untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020 memerlukan negara mencapai pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak enam peratus setahun pada tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dengan Pendapatan Kebangsaan Kasar perkapita pada RM38,850 atau US$12,140 pada 2015.
Beliau berkata, cabaran utama dalam mencapai sasaran pertumbuhan adalah keperluan untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta berkembang pada 12.8 peratus setahun atau pelaburan sebanyak RM115 bilion setahun.
Dalam konteks ini, beliau berkata, RMKe-10 menumpukan kepada beberapa inisiatif utama untuk membantu sektor swasta untuk menjadi lebih terangsang, kompetitif, dinamik dan meningkatkan peranannya dengan berkesan untuk membantu Malaysia mencapai sasaran itu.
Dalam usaha untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, beliau berkata, salah satu strategi dasar utama dalam rancangan itu ialah meningkatkan tahap kependudukan bandar-bandar.
Ketika ini, 67 peratus daripada penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar dan peratusan ini dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang 2020.
"Oleh itu, untuk menampung peningkatan penduduk di bandaraya besar, kita akan menumpukan kepada pembangunan kawasan bandar untuk memastikan kawasan tersebut dilengkapi semua prasarana dan kemudahan yang diperlukan," katanya. - Bernama
Tuesday, August 3, 2010
Malaysia catat pertumbuhan satu angka yang tinggi pada suku kedua: Nor Mohamed
Posted by Irwan at 8:49 PM 0 comments
10 Ogos tarikh lihat anak bulan Ramadan
KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah petang Selasa, 10 Ogos bersamaan 29 Syaaban 1431 Hijrah.
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Majlis Raja-Raja, tempat melihat anak bulan pada malam itu ialah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Pantai Pasir Panjang (Perak); Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).
Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu (Kelantan).
Tanjong Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).
Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).
Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui Radio dan Televisyen. - BERNAMA
Posted by Irwan at 8:47 PM 0 comments
Labels: berita
Penjelasan konsep 1Malaysia terus dilaksanakan: Muhyiddin
PUTRAJAYA: Langkah untuk memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia memang wajar dilakukan dan sedang dijalankan oleh kerajaan untuk memberi penerangan secara terperinci kepada rakyat mengenainya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak menjangkakan rakyat akan dapat memahami konsep itu selepas setahun ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pentadbirannya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat rakyat yang sudah mula dapat memahaminya.
"Kerajaan memberi penjelasan, mengadakan pelbagai program untuk rakyat agar lebih memahami tentang apa yang dimaksudkan tentang gagasan 1Malaysia.
"Kita jangka mungkin dalam satu tempoh akan datang, semua orang akan dapat memahami ertinya yang sebenar, tidak ada salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan gagasan 1Malaysia," katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Dr Mahathir semalam yang mahu kerajaan menjalankan program penerangan secara menyeluruh bagi memperjelaskan konsep 1Malaysia secara terperinci kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi mengelak berlakunya kekeliruan.
Muhyiddin berkata, wujud kecenderungan tafsiran mengenai konsep itu dibuat mengikut pandangan kelompok tertentu berbanding yang dijelaskan oleh Perdana Menteri.
"Perdana Menteri menjelaskan gagasan ini adalah gagasan yang berteraskan perlembagaan negara. Itu yang paling kukuh dan apa pun tafsirannya, ia tidak seharusnya lari daripada apa yang terkandung dan semangat yang ada dalam perlembagaan.
"Baik dalam soal hak Bumiputera, bahasa, budaya, kedudukan raja dan agama. Apapun ia tidak seharusnya lari daripada itu," katanya.
Beliau berkata, yang pastinya gagasan 1Malaysia adalah satu perkara yang dinamik, ia bukan statik dan pasti ada pihak yang cuba mentafsirkan mengikut kehendak masing-masing. - Bernama
Posted by Irwan at 8:45 PM 0 comments
Labels: berita
Isu kalimah Allah tidak perlu dicetus semula: Muhyiddin
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu berkaitan penggunaan kalimah Allah tidak sepatutnya dicetuskan semula berikutan ia masih di peringkat mahkamah.
Beliau berkata, biar perkara itu diselesaikan secara baik dan sebarang pandangan yang diberikan berhubung isu itu perlu mengambil kira kepentingan umum daripada kepentingan kumpulan tertentu baik politik mahupun pentadbiran.
Katanya, parti komponen Barisan Nasional (BN) juga sepatutnya akur bahawa isu itu tidak sepatutnya menjadi bahan yang boleh menghangatkan keadaan yang sudah sejuk.
"Hal-hal sebegini perlu diambil perhatian. Saya juga kurang pasti kenapa DAP dan MCA mengambil satu pendirian yang sama dalam soal sebegini.
"Kita tahu dulu perkara ini pernah menjadi satu perbincangan hangat dengan mencetuskan keadaan yang tidak begitu sihat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan portal berita semalam yang melaporkan DAP dan MCA mahu larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian dimansuhkan.
Muhyiddin berkata, kes itu masih di peringkat mahkamah yang berkaitan dengan perbicaraan yang belum lagi selesai dan kerajaan mengelak daripada perkara itu dibincangkan secara terbuka.
Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang cuba mencetuskan isu baru berhubung perkara itu.
"Perkara itu perkara lama dan semua pihak tahu pendirian kerajaan mengenainya," tegasnya. - Bernama
Posted by Irwan at 8:40 PM 0 comments