Followers

Monday, July 19, 2010

Malaysia kecam Israel tubuh panel siasat serangan ke atas kapal Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel menubuhkan panel siasatan bagi menyiasat serangan "mereka sendiri" ke atas konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei lalu.
"Tindakan Rejim Israel itu adalah tidak wajar memandangkan Israel adalah pihak yang terlibat dalam insiden serangan tersebut dan tidak berkemungkinan akan membuat siasatan yang telus dan tidak berpihak," kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan usul khas di Dewan Negara bagi mengutuk kekejaman Israel.
"Tindakan ini juga menunjukkan sikap angkuh Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel) yang menolak kerjasama daripada masyarakat antarabangsa dalam menubuhkan satu badan siasatan bagi menyiasat serangan berkenaan," katanya.
Beliau berkata tindakan itu bertentangan dengan gesaan masyarakat antarabangsa yang mahukan satu badan siasatan antarabangsa yang bebas dan tidak berpihak ditubuhkan bagi menyiasat serangan berkenaan.

Usul yang mengandungi 14 ketetapan itu, juga menyokong sepenuhnya penubuhan panel penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bbangsa Bersatu (PBB) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri New Zealand Sir Geoffrey Palmer dan terdiri daripada wakil-wakil Amerika Syarikat, Israel, Turki dan PBB.

Muhyiddin berkata Malaysia akan terus menuntut supaya Israel mematuhi Resolusi 1860 Majlis Keselamatan PBB supaya membuka laluan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata Malaysia akan terus menyeru kerajaan Mesir supaya membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan melalui pintu sempadan Rafah.
"Perdana Menteri telah mengutuskan surat kepada presiden Mesir memohon kerjasama negara berkenaan membuka tanpa syarat pintu sempadan di Rafah bagi penyaluran berterusan bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya meneruskan usaha dan tekanan terhadap Israel bagi menamatkan kepungan dan sekatan berkenaan demi mengakhiri penderitaan masyarakat Palestin di Gaza.

Katanya, sekiranya sekatan atas Gaza tidak ditamatkan serta merta, Malaysia bimbang krisis kekurangan bekalan air bersih, makanan berzat dan ubat-ubatan di wilayah itu akan bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang parah. - BERNAMA

Pengeluar, peniaga setuju tak naikkan harga makanan dan minuman

PUTRAJAYA: Harga makanan dan minuman yang mengandungi gula di seluruh negara tidak akan dinaikkan, walaupun harga bahan itu naik 25 sen minggu lalu.
Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan persatuan terlibat, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata dalam pertemuan itu, lebih 500,000 pengeluar dan peniaga makanan, yang diwakili 34 persatuan komited untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman yang mengandungi gula.
"Saya harap dengan komitmen yang diberikan persatuan pada hari ini akan melegakan pengguna dan mereka boleh melaporkan kepada kementerian jika terdapat sebarang kenaikan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Pemborong Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Kumpulan Pengeluaran Makanan Malaysia (MAFMAG), Persatuan Pengilang-Pengilang Roti Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Ismail Sabri berkata persatuan dan pengeluar makanan itu memahami keperluan kerajaan menstruktur semula subsidi dan mereka sedia menyerap kesan kenaikan harga gula itu kerana ia tidak terlalu tinggi.

Pegawai penguatkuasa dan pemantau kementerian akan sentiasa memantau harga makanan dan minuman bergula di seluruh negara dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika mana-mana pihak didapati menaikkan harga, katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datuk Mohamad Mahmud berkata beliau menerima langkah kerajaan menaikkan harga gula kerana ia dapat mengelak masalah kekurangan bekalan.

"Daripada kita sukar untuk mendapatkan bekalan, lebih baik kerajaan naikkan harga gula kerana kebanyakan ahli menggunakan gula ini dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata penjelasan juga akan diberi kepada lebih 400,000 anggota persatuan itu supaya mereka tidak menaikkan harga makanan, namun tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit penyesuaian dari segi saiz makanan.

Presiden Primas Datuk R. Ramalingam Pillai berkata satu edaran akan dibuat kepada lebih 1,300 anggota persatuan itu yang melibatkan lebih 5,000 restoran di seluruh negara untuk memaklumkan mengenai hasil pertemuan hari ini bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga makanan dan minuman.

Beliau berkata walaupun ia akan meningkatkan kos, ia hanya menyebabkan kenaikan yang nominal dan boleh diserap. - BERNAMA

Kerajaan sedia jumpa semua pihak pastikan kejayaan Wawasan 2020

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedia berbincang dengan semua pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha memastikan Wawasan 2020 menjadi kenyataan.
Perdana Menteri berkata, kejayaan mencapai Wawasan 2020 banyak bergantung kepada faktor keupayaan dalam negara dan keadaan ekonomi global.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Najib berkata beliau mengiktiraf Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr Mahathir sebagai wawasan negara dan komited untuk mencapai wawasan itu.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa, walaupun Wawasan 2020 telah diilhamkan oleh Tun Mahathir, tapi kita sudah menerimanya sebagai wawasan negara dan sesiapapun selepasnya (Tun Mahathir) adalah komited untuk mencapai Wawasan 2020," katanya.

Wawasan 2020 diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri keempat itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) pada 1991 dalam usaha negara ke arah mencapai status negara maju.

Najib berkata kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus setiap tahun boleh dicapai bergantung kepada keadaan faktor dalaman dan luaran yang dilihat kukuh pada tahun ini.
Beliau berkata jika faktor luaran begitu lemah sepertimana berlaku pada tahun 2009 dengan krisis kewangan global melanda dunia, ia akan menyukarkan negara untuk mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi.

"Sebab itu, kita mengandaikan bahawa kita boleh mencapai minimum enam peratus, dan mengikut perkiraan kita, kalau kita dapat mencapai enam peratus setiap tahun hingga 2020, kita boleh mencapai status negara maju.

"Kalaulah sesuatu berlaku luar daripada dugaan kita, katalah ada krisis global sekali lagi yang berpanjangan, ini tentu akan membawa kesan buruk untuk kita mencapai matlamat dan impian kita yakni wawasan 2020," katanya.

Najib berkata beliau sedia menerima pandangan daripada mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir untuk bersama-sama mencapai hasrat Wawasan 2020.

Sementara itu, Perdana Menteri juga memberi jaminan rakyat di Sabah dan Sarawak akan turut sama mencapai dan menikmati status negara maju pada 2020 ekoran peruntukan tambahan yang besar telah disediakan kerajaan bagi mengimbangi apa yang dicapai di Semenanjung dari segi penyediaan prasarana dan pembangunan luar bandar.

"Ini kita sedar kerana keadaan semulajadi dan masalah perhubungan yang begitu kritikal menyebabkan untuk kita sampai di tempat-tempat yang pedalaman menelan belanja yang begitu besar.

"Namun demikian, kerajaan percaya melalui usaha-usaha dan peruntukan tambahan yang besar diberikan akan dapat membantu," katanya.

3,286 guru tabika diserap ke jawatan tetap

KANGAR: Semua guru dan pembantu guru tabika Perpaduan di seluruh negara yang selama ini berkhidmat secara kontrak bakal diserap ke jawatan tetap.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata cadangan menyerapkan 3,286 guru dan pembantu guru tabika itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Sudah sampai masanya mereka diberi jawatan tetap yang menjanjikan masa depan yang lebih baik. Saya harap proses penyerapan dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam "Untaian Kasih" Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis di sini malam tadi, Murugiah berkata pada masa ini kesemua guru dan pembantu guru di 1,643 tabika
Perpaduan berstatus kontrak dan ada yang telah berkhidmat selama 30 tahun.

Majlis makan malam Untaian Kasih yang diadakan sempena klinik Dodgeball 1Malaysia peringkat negeri Perlis itu dikendalikan Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) dan disertai kelab Rukun Negara, Jiran Muda dan Jiran Wanita.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan negeri Perlis Abdul Jamil Saad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Azizah Ariffin. - BERNAMA