KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yakin masalah bekalan elektrik yang dihadapi di Sabah sekarang akan dapat diatasi segera ke paras yang minimum.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata keyakinan itu berdasarkan kegigihan dan komitmen Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang disokong kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk menangani masalah itu.
"Walaupun ketika ini kita menghadapi beberapa cabaran namun saya yakin dan percaya masalah ini akan segera diatasi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Terbuka dan Hari Vendor SESB di Wisma SESB di sini, hari ini.
Pairin berkata, sasaran kerajaan untuk memastikan Indeks Sistem Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) elektrik, dengan sasaran 700 minit (pengguna) setahun menjelang akhir tahun ini, akan dapat diatasi melalui pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan projek khas di bawah inisiatif SAIDI 700 minit berjumlah lebih RM1 bilion.
Katanya, ia meliputi projek penghantaran dan pembahagian, dan pengendalian projek tersebut menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan elektrik di negeri ini.
"Justeru, sektor yang paling penting yang perlu ditangani pada ketika ini adalah sektor penjanaan. Kekurangan kapasiti janaan yang kritikal dengan margin simpanan yang sangat nipis menyumbang kepada masalah gangguan bekalan yang berlaku selama ini," katanya.
Pairin berkata, SESB bersama pihak Penjana Bebas (IPP) sentiasa berusaha untuk memastikan supaya jentera terbabit berada dalam keadaan yang baik, sekaligus memastikan sistem penjanaan berada dalam paras yang baik untuk memenuhi permintaan yang menjangkau 760MW pada ketika ini.
Menurutnya, peningkatan permintaan itu disebabkan peningkatan pelanggan yang drastik daripada kira-kira 290,000 pada awal penswastaan (1998) hingga menjangkau 428,717 setakat Mei tahun ini.
Peningkatan itu membuktikan Sabah telah membangun dengan pesatnya, katanya.
Pairin turut menyambut baik langkah pantas SESB untuk memasang set-set janakuasa bergerak di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu sebagai usaha sementara SESB untuk menambah kapasiti janaan di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, projek pembangunan stesen janakuasa IPP menghadapi masalah kelewatan, dan ini menjejaskan usaha untuk memantapkan serta memperkukuhkan sistem perkhidmatan elektrik di Sabah. - Bernama
Friday, July 16, 2010
Pairin yakin masalah bekalan elektrik di Sabah dapat diatasi segera
Posted by Irwan at 11:15 PM 0 comments
Mesyuarat pertama meja bulat UPSR, PMR Isnin ini
PUTRAJAYA: Perbincangan meja bulat yang pertama mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diadakan di sini, Isnin ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata perbincangan yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan dihadiri kira-kira 100 warga pendidik.
"Antara yang akan menghadirinya ialah Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian di kementerian, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua, Guru Besar, Kesatuan dan Persatuan Guru," katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata Kementerian Pelajaran akan mengadakan sesi meja bulat bagi membincangkan secara mendalam maklum balas terhadap cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR.
"Semua pihak berkepentingan akan dipelawa mengambil bahagian dalam sesi berkenaan untuk memberi pandangan masing-masing, katanya.
Alimuddin berkata mesyuarat itu tidak akan membuat sebarang keputusan tetapi akan mendapatkan input dan memberi peluang kepada kementerian untuk menyampaikan penerangan berhubung cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan.
"Penerangan dari segi kewajaran pemansuhan peperiksaan akan dibentangkan oleh Lembaga Peperiksaan dan para peserta akan diberi peluang untuk memberikan pandangan masing-masing," katanya.
Beliau berkata perbincangan kedua pula akan diadakan pada 27 Julai yang akan melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik dan pihak lain yang berminat serta berkepentingan dalam isu itu.
Alimuddin berkata input-input yang diperolehi akan dikumpulkan termasuk dari pandangan orang ramai yang disampaikan melalui media cetak dan elektronik serta e-mel yang diterima oleh kementerian.
"Kita akan merumuskan semua input yang diterima sebelum dikemukakan kepada Menteri Pelajaran pada pertengahan Ogos ini," katanya. - BERNAMA
Posted by Irwan at 11:08 PM 0 comments
Labels: berita
Kapal selam pertama negara berkeadaan baik
KOTA KINABALU: Kerajaan mengesahkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kerosakan seperti dakwaan sesetengah pihak sebelum ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata segala aspek penyelenggaraan dan ujian ke atas kedua-dua kapal selam milik negara dilakukan secara profesional.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kem Tentera Lok Kawi di sini, hari ini.
Posted by Irwan at 11:04 PM 0 comments
Labels: berita
Gempa bumi pada magnitud 3.6 gegarkan Washington
WASHINGTON: Gempa bumi pada magnitud 3.6 menggegarkan Washington dan kawasan berdekatan dengannya, hari ini.
Kejadian yang jarang dilihat di sebelah timur pesisir pantai Amerika Syarikat (AS), mencetuskan gegaran pada jarak 35 kilometer barat laut daripada ibu kota persekutuan AS, iaitu di daerah Maryland pada jam 9.04 pagi tadi (waktu tempatan).
Bagaimanapun, gempa berkenaan dapat dirasai beberapa saat di banyak kawasan lain di utara Washington, termasuk pusat bandar Washington, berdekatan Rumah Putih. - AFP
Posted by Irwan at 10:52 PM 0 comments
Labels: berita