Followers

Tuesday, July 13, 2010

Peserta PLKN akan dihimpun semula: Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan bercadang untuk mengadakan perjumpaan semula dengan kira-kira setengah juta bekas peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah menyertai program itu sejak ia dilancarkan pada 2004.

Menteri Pertahanan. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata majlis “reunion” yang dicadangkan itu akan dijalankan secara berperingkat yang bertujuan untuk menjalin dan menyemai semula semangat patriotik dan kekitaan yang dibentuk ketika para pelatih menjalani program tersebut.
"Semangat patriotik dalam membentuk generasi muda berdisiplin dan bersemangat tinggi ketika di dalam kem perlu terus melekat di dalam hati setiap peserta meskipun mereka telah tamat latihan.
"Maka kita mahu adakan tindakan susulan untuk bertemu semula dengan bekas peserta yang telah mengikuti latihan PLKN sejak dari siri pertama lagi agar semangat kekitaan itu dapat dijalin semula," katanya selepas melancarkan program pemilihan secara berkomputer bagi pelatih PLKN Siri Ke-8 untuk tahun 2011 hari ini.

Dalam pemilihan itu, seramai 140,000 remaja daripada 514,553 yang lahir pada tahun 1993 terpilih untuk menyertai program pada tahun depan.

Mereka terdiri daripada 77,000 peserta lelaki dan 63,000 peserta perempuan.

"Pecahan peserta ialah 60 peratus Bumiputera iaitu sebanyak 84,000 peserta, Cina (28 peratus iaitu 39,000 peserta), India (10 peratus iaitu 14,000 peserta) dan dua peratus (2,800 peserta) bagi lain-lain kaum," katanya.
Ahmad Zahid berkata, PLKN semakin diterima rakyat termasuk di kalangan pihak pembangkang yang kini menerima hakikat bahawa PLKN adalah untuk menjadikan pesertanya sebagai warga yang baik dan bukannya sebagai pusat indoktrinasi politik.

Katanya PLKN telah menunjukkan kesan yang amat positif dalam pembentukan ciri-ciri patriotisme, perpaduan kaum dan integrasi nasional, keperibadian unggul dan integriti serta semangat sukarelawan dalam kalangan remaja.

"Berdasarkan kajian keberkesanan PLKN yang dijalankan pada 1 November hingga 7 Disember tahun lalu ke atas 61,950 orang terdiri dari bekas pelatih, ibu bapa, majikan dan masyarakat umum, mendapati program berjaya memupuk semangat kesetiaan dan kecintaan kepada negara dengan pencapaian 83.86 peratus.

"Hasil kajian juga mendapati bahawa PLKN telah mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara remaja yang berlainan agama dan bangsa selain meningkatkan semangat kesukarelaan, cergas, cerdas dan berkeyakinan diri," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata nama pelatih yang terpilih untuk menyertai PLKN Siri 8/2011 akan disiarkan melalui laman web www.khidmatnegara.gov.my pada 15 Julai ini selain akan dihebahkan di semua media elektronik dan cetak.

Katanya, orang ramai juga boleh menyemak melalui sistem pesanan ringkas dengan menaip PLKN SEMAK (nombor kad pengenalan) dan dihantar ke 15888.

"Penempatan kem pelatih untuk Kumpulan Satu Siri 8/2011 akan diumumkan pada bulan November tahun ini dan untuk Kumpulan Dua dan Kumpulan Tiga, akan diumumkan pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata konsep pemilihan pelatih menggunakan sistem pemilihan rawak berkomputer yang dikenal sebagai “Monte Carlo Logarithm” yang mana konsep tersebut terbukti sebagai pemilihan rawak terbaik dan diguna pakai oleh banyak pihak di negara ini dan luar negara.

PLKN dilancarkan pada 16 Februari 2004 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri, dengan kumpulan sasaran adalah golongan remaja berumur 18 tahun. - Bernama

Monday, July 12, 2010

5 sekeluarga maut nahas di Telupid

SANDAKAN: Lima sekeluarga maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler minyak sawit di Simpang Ladang Reka Halus Telupid, kilometer 84 Jalan Sandakan-Telupid semalam.

Mereka yang maut itu adalah pasangan suami isteri Lakin Suyung, 72, dan isterinya Sapura Abdullah, 52, dua anak mereka, Mohd Ariffin, 30-an, dan Hasnah, 15, serta cucu pasangan itu Nurdell Asniera Haniesah Haidir.
 
Semua mangsa mati di tempat kejadian dan mayat mereka yang tersepit dalam kereta yang remuk itu dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata nahas berlaku pada jam 6 petang ketika kereta yang dipandu Mohd Ariffin menuju ke arah Kota Kinabalu manakala lori itu dari arah bertentangan.

"Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan semua mayat mangsa yang tersepit itu," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA

Gempa bumi kuat pada magnitud 6.2 gegarkan Chile

SANTIAGO: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.2 menggegarkan timur laut Chile, lewat Ahad, di wilayah Antofagasta, kawasan kediaman yang paling kering di muka bumi ini, kata ahli seismologi.

Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa pada jam 8.11 malam Ahad itu membabitkan kedalaman 91.3 kilometer (km) dan berpusat 80 km tenggara-timur laut Calama.
 
Sumber polis berkata, tiada laporan kecederaan atau kerosakan dilaporkan di Calama, iaitu bertempat di tengah-tengah padang pasir Atacama, dikenal pasti kawasan paling kering di dunia dan di San Pedro de Atacama, adalah lokasi pelancongan paling popular di negara itu. - AFP

Sepanyol juara Piala Dunia 2010

PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2010
 selepas menewaskan Belanda di peringkat akhir di Stadium Soccer City, 
Johannesburg, awal pagi ini. - Foto AFP
PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2010 selepas menewaskan Belanda di peringkat akhir di Stadium Soccer City, Johannesburg, awal pagi ini. - Foto AFP

JOHANNESBURG: Sepanyol menjuarai Piala Dunia FIFA 2010 selepas menewaskan Belanda 1-0 pada perlawanan akhir di Soccer City sebentar tadi.

Gol kemenangan juara Eropah itu dijaringkan Andres Iniesta pada minit ke-116.