Followers

Thursday, July 8, 2010

Pendidikan Islam, Moral tidak perlu jadi subjek teras UPSR

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran berpendapat subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana langkah sedemikian tidak menjamin penghayatan pada kalangan murid untuk menjadi amalan mereka.
"Peningkatan jati diri dan sahsiah murid adalah lebih berkesan melalui proses pendidikan dan penghayatan nilai, bukan dengan cara memasukkan mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang berbentuk cadangan meminta kementerian memasukkan kedua-dua subjek itu di dalam UPSR bagi meningkatkan lagi jati diri dan sahsiah murid selaku pewaris generasi.

Mohd Puad berkata, meskipun tidak dijadikan subjek UPSR, murid Islam tetap diwajibkan mengikuti Pendidikan Islam, sementara bukan Islam mempelajari Pendidikan Moral.

"Mata pelajaran tersebut ditaksir melalui Penilaian Berasaskan Sekolah dalam bentuk formatif semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran," katanya.

Subjek Pendidikan Islam ditaksir sebagai Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR, manakala pentaksiran Pendidikan Moral dibuat oleh guru dan keputusan direkodkan dalam buku rekod kemajuan murid. - BERNAMA

Gempa bumi gegar California

LOS ANGELES: Gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter menggegarkan padang pasir selatan California di timur Los Angeles, menimbulkan kebimbangan di wilayah itu tetapi tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan serius.
Jabatan Geologikal Amerika Syarikat menyatakan gempa bumi sederhana itu berlaku pada 4.53 petang waktu Pasifik dan berpusat pada 24 kilometer dari barat laut komuniti padang pasir Borrego Springs, 214 kilometer ke timur Los Angeles.
Bangunan tinggi bergoyang di pusat bandar Los Angeles dan gegaran dirasai sehingga San Diego di selatan dan Santa Barbara di utara.
Ia diikuti beberapa gempa susulan.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan. - Reuters

Piala Dunia: Sepanyol atasi Jerman untuk ke final

pix_gal0
DURBAN: Sepanyol menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2010 di Stadium Moses Mabidha pagi tadi.

Gol kemenangan Sepanyol dijaringkan Carles Puyol pada minit ke-73.
Sepanyol akan bertemu Belanda pada perlawanan akhir.

Wednesday, July 7, 2010

Angin kencang barat laut dijangka Selasa hingga Khamis depan

KUALA LUMPUR: Angin kencang Barat Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Phuket, Thailand mulai Selasa hingga Khamis depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Sementara itu, ribut petir yang berlaku di perairan Langkawi, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berbahaya kepada bot kecil. - Bernama