Followers

Monday, July 5, 2010

Pelajar cemerlang tak sertai kokurikulum sukar ke IPTA: Saifuddin

GEORGETOWN: Pelajar cemerlang mungkin berdepan masalah untuk diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini jika mereka tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin pelajar mendapat tempat di IPTA.
"Walaupun mendapat 90 peratus markah akademik tetapi aktiviti kokurikulum tidak ada langsung, pelajar mungkin menghadapi masalah untuk masuk ke universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan pelajar baru di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Saifuddin berkata, langkah kementerian menekankan aspek kokurikulum kerana ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik sebaliknya turut mempunyai nilai insaniah.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan untuk graduan memasuki alam pekerjaan kelak.

"Kalau nak kerja pun, kecemerlangan akademik itu hanya laluan awal untuk dipanggil temuduga. Tetapi ketika temuduga, aspek insaniah yang akan diambil kira," katanya.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mula melaksanakan dasar pengambilan dan pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke IPTA untuk pengambilan pelajar sesi 2007/2008.
Empat aspek utama diberi penekanan dalam pengiraan markah 10 peratus pencapaian kokurikulum iaitu kehadiran (50 peratus), peringkat pembabitan (20 peratus), pencapaian (20 peratus) dan jawatan disandang (10 peratus). - BERNAMA

Polis minta orang ramai bantu siasatan kes penemuan mayat bayi

SANDAKAN: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penempuan mayat bayi di tapak pelupusan sampah di Batu 8 Jalan Fook Kim dekat sini Sabtu lalu, diminta tampil membantu polis dalam siasatan yang dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Fadzil Mohd Ali, berkata kerjasama daripada orang ramai diperlukan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kes pembuangan mayat bayi perempuan baru lahir itu.
Katanya, polis setakat ini belum mendapat petunjuk bagi menahan mereka yang disyaki terbabit dalam kes itu.
"Kami memerlukan kerjasama daripada orang ramai dalam siasatan yang dijalankan terutama untuk mengesan mereka yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil sampel DNA daripada mayat bayi perempuan bagi membantu siasatan jika terdapat tangkapan membabitkan individu yang disyaki membuang mayat bayi perempuan itu.

Katanya, punca kematian bayi itu juga belum dapat dikenal pasti dan polis masih menunggu laporan bedah siasat.

Fadzil berkata, polis sukar mengenal pasti kemungkinan mayat bayi perempuan dibuang di tapak pelupusan itu atau daripada sampah yang diangkut lori sampah. - BERNAMA

Brazil pecat Dunga sebagai jurulatih

SAO PAULO: Jurulatih Brazil, Dunga dan seluruh anggota kejurulatihannya dipecat selepas pasukan bola sepak negara itu tersingkir pada peringkat suku akhir Piala Dunia.

Kenyataan Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) yang dikeluarkan awal pagi tadi mengesahkan pemecatan itu.
“Dengan berakhirnya kitaran tugas yang bermula pada Ogos 2006 dengan penyingkiran Brazil daripada Piala Dunia di Afrika Selatan, CBF mengumumkan pemecatan Suruhanjaya Teknikal pasukan Brazil," menurut kenyataan itu.
Dunga, 46, sudah membayangkan akan meletakkan jawatan yang disandang sejak empat tahun lalu selepas kekalahan mengejut 2-1 pasukannya kepada Belanda.

Dunga menggantikan Carlos Alberto Parreira pada Julai 2006, sejurus selepas Piala Dunai sebelum ini. - Reuters

Gempa 6.3 magnitud gegar utara Jepun

TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan utara Jepun awal hari ini tetapi tiada ancaman tsunami, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Gempa bumi itu berlaku di pesisir pantai Iwate, kira-kira 500 kilometer ke utara Tokyo pada jam 7.08 pagi (6.08 pagi waktu Malaysia) dengan pusat gempa pada kedalaman 30 kilometer.
Pegawai polis Iwate, Takahiro Fujibayashi, berkata tiada laporan berhubung kerosakan. - AP