Followers

Friday, July 2, 2010

EKSKLUSIF:Sistem trio wajar diperkenal di Malaysia: Subkhiddin

SEPANG: Sistem trio yang diperkenalkan untuk pengadil Piala Dunia FIFA 2010 wajar dilaksanakan di Malaysia bagi membantu meningkatkan keyakinan pengadil tempatan, kata pengadil Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh.
Beliau yang dipilih FIFA dalam senarai pengadil ke Piala Dunia di Afrika Selatan itu, berkata keberkesanan sistem itu perlu dipelajari untuk dilaksanakan di Malaysia dengan memberi penekanan di setiap negeri.
Menjelaskan sistem itu, beliau berkata trio daripada negeri sama boleh mengadili perlawanan di negeri lain di mana kerjasama sepasukan itu dapat membantu mereka memberikan keyakinan antara satu sama lain.
"Trio di Kuala Lumpur boleh menggendalikan perlawanan di Kelantan, manakala Trio di negeri lain pula ditugaskan untuk perlawanan membabitkan pasukan di luar negeri mereka," katanya ketika ditemui Berita Harian Online di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Subkhiddin berkata, pengalaman yang diperolehi di Afrika Selatan akan dikongsi bersama dengan pengadil tempatan, menerusi pelaksanaan satu program khusus dalam usaha meningkatkan kemampuan mereka.

Beliau berkata, program itu juga berperanan mengetengahkan wakil pengadil Malaysia ke Piala Dunia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mengulas rancangannya selepas ini, Subkhiddin berkata beliau hanya mempunyai tempoh satu tahun untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa dan mensasarkan untuk mengadili Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.

230 ahli PKR Bagan Datoh keluar parti

BAGAN DATOH: Seramai 230 ahli daripada empat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kawasan Parlimen Bagan Datoh keluar daripada parti itu untuk menyertai parti Makkal Sakhti.

Empat cabang PKR itu ialah Sungai Timah, Batu 25, Taman Desa Baru dan Hutan Melintang.
Bekas Ketua PKR Cabang Batu 25, M Subaramaniam, menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pemuda Makkal Sakhti Pusat, N Ramu, di sini malam tadi.
Kebanyakan mereka yang menyertai Makkal Sakhti berusia sekitar 35 tahun.

Subramaniam berkata, mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR yang sejak akhir ini tidak konsisten dalam memperjuangkan nasib masyarakat India selain gagal menunaikan pelbagai janji yang ditabur.

Beliau berkata, semua bekas ahli PKR itu berikrar memberi sokongan kepada Barisan Nasional untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Hutan Melintang daripada PKR.

Ramu pula berkata, pihaknya menyasarkan 2,000 anggota baru Makkal Sakhti dalam tempoh tiga bulan akan datang. - BERNAMA

EKSKLUSIF:Subkhiddin kecewa hampakan rakyat Malaysia

Subkhiddin Mohd Salleh
Subkhiddin Mohd Salleh
SEPANG: Wakil tunggal Malaysia ke Piala Dunia FIFA 2010 iaitu pengadil nombor satu negara, Subkhiddin Mohd Salleh, kecewa kerana tidak berpeluang mengendalikan sebarang perlawanan sejak kejohanan di Afrika Selatan itu bermula pada 11 Jun lalu.

Beliau berkata, kekecewaan itu ditumpukan kepada kegagalannya memenuhi impian rakyat Malaysia yang mahu melihat pengadil negara itu beraksi di tengah padang.
Katanya, sepanjang kejohanan di peringkat kumpulan dan kalah mati, beliau dilantik beberapa kali sebagai pengadil keempat yang berperanan memberi bantuan dan pendapat kepada pengadil utama bagi menjamin kelancarannya.
"Walaupun tidak dapat beraksi di tengah padang seperti yang diharapkan, saya berbangga kepada seluruh rakyat Malaysia dengan sokongan yang diberikan. Ia adalah kekuatan yang membantu saya untuk terus kekal di sana dan memberikan tugasan yang terbaik apabila diperlukan.

"Selain itu, sokongan keluarga dan rakan rapat di Malaysia yang sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi penawar bagi mententeram tekanan yang saya hadapi ketika berada di Afrika Selatan," katanya ketika ditemui Berita Harian Online di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Subkhiddin yang tiba di KLIA pada jam 5.40 pagi tadi dari Johannesburg, Afrika Selatan, sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang pada jam 7.30 pagi, sempat meluangkan masa bersama wartawan Berita Harian Online bagi menceritakan pengalamannya sepanjang berada di Afrika Selatan.

Beliau berkata, perbualan hampir empat kali setiap hari bersama isteri dan keluarga adalah penawar kepada dirinya.
"Saya selalu meluahkan kepada keluarga khususnya isteri apabila tidak dapat mengendalikan perlawanan dan sering membuat panggilan kepada Isteri selepas terbabit dalam satu perlawanan sebagai pegawai keempat.

"Sememangnya, apabila terpilih ke piala dunia, harapan adalah untuk mengendalikan sekurang-kurangnya sehingga peringkat kalah mati," katanya.

Thursday, July 1, 2010

Najib ketuai pemimpin negara beri penghormatan terakhir kepada Tun Omar Ong

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengetuai pemimpin negara dan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin yang meninggal dunia hari ini.
Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Persiaran Duta tengah hari tadi.
Turut sama menziarah ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan isteri, Tun Jeanne Abdullah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Muhyiddin berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kerana beliau adalah anggota jemaah menteri yang pertama dan telah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

"Semasa hayatnya semasa sihat, saya selalu berbicara dengan beliau dan mendapatkan pelbagai pandangan, mendengar cerita waktu beliau dengan (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussein dan bagaimana Kabinet berjalan waktu itu walaupun kecil, serta bagaimana dasar memupuk semangat dan perpaduan antara kaum ini terserlah dengan pembentukan parti Perikatan di waktu itu, " katanya.

Tun Abdullah pula berkata, Allahyarham adalah seorang yang cukup berjasa kepada negara dan bangsa kerana perjuangannya untuk menuntut kemerdekaan.

"Saya kenal baik dengan dia, beliau banyak bercerita tentang pengalaman dulu, susah payah dia dengan kawan-kawan dulu dan bagaimana mereka sentiasa bersatu padu seperti saudara.
"Dia pun ada beritahu, walaupun saya tahu daripada orang lain bahawa datuk saya yang memberi cadangan kepada Tunku untuk memilih 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham yang disifatkan baginda seorang negarawan yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada negara.

Baginda tidak dapat menghadiri upacara penghormatan dan pengebumian Allahyarham kerana sedang berada di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut bagi menyambut ketibaan kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Istana Bukit Kayangan, baginda telah menitahkan adinda baginda, Tengku Puteri Norzehan, bagi mewakili baginda ke upacara pengebumian itu.

Sementara itu, Dr Chua berkata Tun Omar adalah seorang yang paling cemerlang dan pemimpin hebat yang dimiliki MCA dan seorang yang bukan sahaja diterima oleh anggota parti itu tetapi juga kaum lain.

Dr Chua berkata sebagai seorang daripada pengasas parti dan pemimpin kanan yang dihormati, Tun Omar sentiasa berhubung rapat dengan parti dan pimpinannya walaupun usianya yang lanjut.

"Itu menunjukkan betapa sayangnya beliau terhadap parti masih kekal utuh. Beliau juga salah seorang pemimpin parti MCA yang hebat dan diterima oleh semua kaum," katanya ketika dihubungi.

Dr Chua berkata, sumbangan Tun Omar kepada parti dan negara terlalu besar kerana beliau juga memainkan peranan penting dalam usaha mencapai kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia. - BERNAMA