Followers

Friday, June 25, 2010

Ombak kuat: Pengunjung ke Langkawi diminta berhati-hati ketika mandi

LANGKAWI: Pengunjung ke pulau peranginan Langkawi diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi di kawasan pantai berikutan keadaan ombak yang tidak menentu sekarang.

Ketika membuat gesaan itu, ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, meminta pengunjung mematuhi papan tanda peringatan yang dipasang di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelancongan, Majlis Perbandaran Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi, memasang papan tanda peringatan di lokasi tumpuan pelancong bagi tujuan tersebut.
“Antara lokasi tumpuan di pulau legenda itu ialah kawasan peranginan Telaga Tujuh, Pantai Tengah dan Pantai Cenang,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Barat/Barat Daya dengan kelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Phuket, Pulau Pinang serta utara Perak sehingga 1 Julai.

Rabu lalu, bekas jurutera Yuhin Azlan Yusof, 31, dan isterinya Norita Dahari, 29, mati lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi di Pantai Tengah di sini.

Pasangan dari Batu Caves, Selangor itu bersama 12 ahli keluarga lain sedang bercuti di Langkawi dan dijadual berada di sini sehingga Sabtu ini. - Bernama

Najib ucap tahniah kepada PM baru Australia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Julia Gillard atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Australia yang baru.
Perdana Menteri membuat panggilan telefon dari pejabatnya di sini kepada Gillard, yang merupakan wanita pertama menjadi Perdana Menteri Australia, pada jam 12.46 tengah hari dan berbual kira-kira empat minit.
Bercakap kepada Bernama selepas itu, Najib berkata dalam perbualan itu, kedua-dua mereka bersetuju supaya Malaysia dan Australia perlu sentiasa berurusan bagi memajukan lagi kepentingan bersama.
"Kita setuju memandangkan bahawa Malaysia dan Australia mempunyai hubungan yang telahpun terjalin sekian lama dan banyak kepentingan bersama di rantau ini dan di peringkat global," katanya.

Najib berkata beliau juga mengalu-alukan Perdana Menteri Australia yang baru itu untuk membuat lawatan ke Malaysia dan di rantau ini.

"Beliau (Gillard) berkata dalam sehari dua ini memang tumpuannya ialah terhadap (perkara) domestik sebab akan hadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Tetapi bila masa sesuai, beliau akan melawat Malaysia dan beliau juga berharap saya melawat Australia," katanya.
Gillard, 48, dipilih sebagai perdana menteri Australia setelah Kevin Rudd meletakkan jawatan daripada berdepan dengan undi tidak percaya, kurang daripada tiga tahun selepas memegang jawatan berkenaan.

Wanita kelahiran Wales itu, dipilih tanpa pertandingan dalam satu pemilihan Parti Buruh dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia, semalam.

Gillard yang sedia maklum bahawa beliau tidak dilantik Perdana Menteri oleh rakyat Australia, berikrar akan mengadakan pilihan raya umum dalam beberapa bulan akan datang. - BERNAMA

Pendakwah perlu bebas pengaruh ekstrem: Tun Mahathir

KANGAR: Pendakwah tempatan perlu bebas daripada pengaruh ekstrem yang merosakkan imej Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.
Beliau berkata jika ada pendakwah yang terpengaruh dengan amalan ekstrem seperti yang diamalkan di negara Islam tertentu dan cuba mengembangkannya di negara ini, ia akan menimbulkan masalah.
"Mereka perlu berdakwah secara bijaksana dan sesuai dengan suasana tempatan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-49 di sini hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata kegiatan dakwah berbentuk ekstrem bukan sahaja memburukkan imej Islam malah akan menjadikan umat Islam dipandang rendah dan hina.

"Mungkin ada yang berpendapat kehinaan ini tidak mengapa kerana mereka laksana suruhan agama tapi mereka mewujudkan umat Islam yang tidak bahagia," katanya.

Lebih buruk lagi, kata Dr Mahathir, ada pihak yang berpendapat bahawa keganasan mesti digunakan bagi menjatuhkan kerajaan dengan alasan ia mengikut kehendak Islam.

"Fahaman ekstrem tidak dituntut oleh Islam. Banyak negara Islam tidak aman dan maju kerananya," katanya.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Perkim kebangsaan yang disandangnya sejak 2006.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat agung itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Empat orang yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Perkim ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Dr Ariffin Suhaimi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Dr Mustapha Ma. - BERNAMA

Kes malaria di Sabak Bernam daripada jangkitan luar negara

SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Dr Hasan berkata satu kematian telah dilaporkan di kawasan berkenaan 16 Jun lalu dan setelah disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.
Mereka telah sampai ke negara ini 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini mengulas mengenai berita yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lalu.
"Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari lautan dan diberi rawatan pesakit luar. Mangsa mendapatkan rawatan kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya.

Dr Hasan berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif bagi malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana kesemuanya juga disahkan negatif.

"Oleh itu tiada tanda-tanda jangkitan ini telah menular di kalangan penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata kawasan Sekinchan merupakan kawasan bebas malaria di mana tiada kes malaria tempatan dilaporkan sejak lima tahun kebelakangan ini dan memandangkan pekerja-pekerja asing terbabit menghabiskan masa mereka di lautan ketika mengalami gejala malaria, kemungkinan mereka menularkan jangkitan malaria kepada penduduk tempatan adalah sangat rendah.

Bagaimanapun Dr Hasan berkata penduduk dan pekerja asing yang mengalami gejala demam panas diikuti dengan rasa sejuk, menggigil dan berpeluh perlulah segera mendapat rawatan di klinik atau hospital berdekatan. - BERNAMA