KANGAR: Pendakwah tempatan perlu bebas daripada pengaruh ekstrem yang merosakkan imej Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.
Beliau berkata jika ada pendakwah yang terpengaruh dengan amalan ekstrem seperti yang diamalkan di negara Islam tertentu dan cuba mengembangkannya di negara ini, ia akan menimbulkan masalah.
"Mereka perlu berdakwah secara bijaksana dan sesuai dengan suasana tempatan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-49 di sini hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata kegiatan dakwah berbentuk ekstrem bukan sahaja memburukkan imej Islam malah akan menjadikan umat Islam dipandang rendah dan hina.
"Mungkin ada yang berpendapat kehinaan ini tidak mengapa kerana mereka laksana suruhan agama tapi mereka mewujudkan umat Islam yang tidak bahagia," katanya.
Lebih buruk lagi, kata Dr Mahathir, ada pihak yang berpendapat bahawa keganasan mesti digunakan bagi menjatuhkan kerajaan dengan alasan ia mengikut kehendak Islam.
"Fahaman ekstrem tidak dituntut oleh Islam. Banyak negara Islam tidak aman dan maju kerananya," katanya.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Perkim kebangsaan yang disandangnya sejak 2006.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat agung itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Empat orang yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Perkim ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Dr Ariffin Suhaimi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Dr Mustapha Ma. - BERNAMA
Friday, June 25, 2010
Pendakwah perlu bebas pengaruh ekstrem: Tun Mahathir
Posted by Irwan at 6:40 PM 0 comments
Labels: berita
Kes malaria di Sabak Bernam daripada jangkitan luar negara
SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.
Dr Hasan berkata satu kematian telah dilaporkan di kawasan berkenaan 16 Jun lalu dan setelah disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.
Mereka telah sampai ke negara ini 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini mengulas mengenai berita yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lalu.
"Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari lautan dan diberi rawatan pesakit luar. Mangsa mendapatkan rawatan kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.
"Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang telah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya.
Dr Hasan berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif bagi malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana kesemuanya juga disahkan negatif.
"Oleh itu tiada tanda-tanda jangkitan ini telah menular di kalangan penduduk tempatan," katanya.
Beliau berkata kawasan Sekinchan merupakan kawasan bebas malaria di mana tiada kes malaria tempatan dilaporkan sejak lima tahun kebelakangan ini dan memandangkan pekerja-pekerja asing terbabit menghabiskan masa mereka di lautan ketika mengalami gejala malaria, kemungkinan mereka menularkan jangkitan malaria kepada penduduk tempatan adalah sangat rendah.
Bagaimanapun Dr Hasan berkata penduduk dan pekerja asing yang mengalami gejala demam panas diikuti dengan rasa sejuk, menggigil dan berpeluh perlulah segera mendapat rawatan di klinik atau hospital berdekatan. - BERNAMA
Pesawat Israel lancar tiga serangan ke atas Gaza
BANDARAYA GAZA: Jet pejuang Israel hari ini melancarkan tiga serangan ke atas Semenanjung Gaza dengan mencederakan seorang penduduk, manurut saksi serta pegawai perubatan Palestin di sini.
Penduduk Palestin itu cedera apabila pesawat pejuang Israel itu menyerang Bandar Rafah di selatan sempadan dengan Mesir.
Dalam dua lagi serangan di bekas kawasan lapangan terbang di selatan dan di Bandar Beit Hanun di utara bagaimanapun tiada laporan mereka yang cedera setakat ini.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel mengesah mengenai serangan itu.
“Pesawat kami menyerang sekumpulan kenderaan bersenjata di utara Semenanjung Gaza serta dua terowong yang digunakan untuk menyeludup senjata api dari Mesir ke selatan," katanya. - AFP
Posted by Irwan at 6:37 PM 0 comments
Labels: berita
Le Guen letak jawatan jurulatih Cameroon
“Kontrak saya sudah tamat dan saya akan berhenti," katanya pada sidang akhbar selepas kekalahan pasukannya kepada Belanda 2-1 di Stadium Green Point, awal pagi tadi.
Jurulatih berasal dari Perancis itu mengendalikan skuad kebangsaan Cameroon pada Julai 2009, dikhabarkan akan menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Australia.
Le Guen bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada keputusan mengenai rancangan beliau seterusnya. - AFP
Posted by Irwan at 9:43 AM 0 comments
Labels: berita