Followers

Wednesday, June 16, 2010

Kerajaan tidak perlu gubal akta antilompat parti: Tun Mahathir

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan akta antilompat parti sebagaimana yang didesak Pengerusi DAP, Karpal Singh.
"Tidak perlu kerana sebelum ini pihak pembangkang tidak berkata apa-apa apabila wakil rakyat Barisan Nasional lompat parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Mahathir ditemui selepas melancarkan anak syarikat kumpulan Mutiara Motors, M7 Racing Sdn Bhd, dan merasmikan Pusat Penyelidikan & Pembangunan M7 di Bangunan Mutiara Motors Larkin di sini.
Karpal dilaporkan mengulangi gesaannya kepada kerajaan supaya mempertimbangkan akta itu bagi memastikan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka selepas keluar parti masing-masing.

Ini berikutan tindakan mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak, Keshwinder Singh, keluar DAP semalam dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Menjawab soalan, Dr Mahathir berkata wakil rakyat Bebas mempunyai peranan tersendiri iaitu menegur pihak pembangkang atau BN sekiranya ada yang melakukan kesilapan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang turut hadir berkata akta itu tidak perlu digubal kerana bertentangan dengan sistem demokrasi negara ini.
"Saya tidak setuju sebab kalau kita adakan akta yang sedemikian bermakna kita menghalang proses demokrasi," katanya.

Ibrahim percaya mereka yang keluar parti adalah kerana tidak berpuas hati dengan perjuangan parti mereka dan bukannya disogok atau dibeli oleh mana-mana pihak. - BERNAMA

Pemberian AP kenderaan untuk Bumiputera perlu diteruskan: Tun Mahathir

JOHOR BAHRU: Kerajaan disyor meneruskan pemberian Permit Import (AP) kenderaan terbuka secara percuma kepada peniaga Melayu dan Bumiputera yang benar-benar menggunakan permit berkenaan untuk menjalankan perniagaan dalam bidang automotif.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tujuan kerajaan memberi AP untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam bidang perniagaan automotif yang sebelum ini dimonopoli peniaga bukan Bumiputera.
"Ia tidak ada masalah. Mereka yang layak dan benar-benar mempunyai bukti menjalankan perniagaan, tidak perlulah dikenakan bayaran... bagaimanapun, ia hanyalah pendapat saya yang bukan lagi dalam kerajaan.
"Sebaliknya, mereka yang menjual AP untuk meraih keuntungan ini patut diambil tindakan dan ditarik balik AP mereka," katanya ketika mengulas mengenai langkah kerajaan ketika ini yang mengenakan caj RM10,000 pada setiap AP terbuka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran M7 Racing Sdn Bhd (M7) dan perasmian Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) M7 di Bangunan Mutiara Motors, Larkin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin, Pengarah Urusan Mutiara Motors, Mokhtar Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ali Hassan.

M7 adalah syarikat yang menjalankan aktiviti perlumbaan dan R&D produk alat ganti berprestasi tinggi yang dibangunkan di negara ini dan Jepun.
Produk yang kemudian dihasilkan di Jepun itu kini berjaya menembusi pasaran Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata, beliau menyedari ada penerima AP menyalahgunakan permit berkenaan dengan menjualnya bagi meraih keuntungan cepat pada kadar RM8,000 untuk satu AP sedangkan mereka sepatutnya boleh mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan berkenaan sendiri.

"Saya sedih kerana AP dicipta untuk menolong dan menjayakan peniaga Melayu dalam bidang automotif dan dengan peluang berkenaan kerajaan percaya mereka dapat meraih keuntungan dengan menceburkan diri dalam perniagaan yang tidak terbuka kepada Bumiputera.

"Bagaimanapun, ada peniaga Melayu yang benar-benar berniaga hasil daripada pemberian AP hingga mencatat kejayaan tinggi seperti Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin Amin yang kini mempunyai syarikat yang sangat besar dalam bidang automotif sehingga mampu menjual kereta dengan mengguna jenama sendiri, Naza.

"Saya juga gembira dengan kejayaan Mutiara Motors yang bermula pada 1982 yang membuktikan usaha kerajaan untuk membawa orang Melayu dalam bidang automotif ini berjaya," katanya.

Sistem mikro kredit Ar-Rahnu wajar diperluaskan untuk rakyat: PM

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sistem gadaian Islam mikro kredit wajar diperluaskan ke seluruh negara kerana sistem berkenaan mampu membantu pembangunan ekonomi setempat dan menaikkan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata 4.3 juta rakyat negara ini sudah menikmati skim itu dalam memberi pinjaman segera kepada peniaga dan mereka yang memerlukan wang segera.
Katanya sistem gadaian Islam mikro kredit itu memberikan kemudahan yang terbaik kerana ianya bersandarkan syariah Islam yang menepati kehendak pengguna dengan kadar pinjaman yang munasabah.
"Saya cukup minat dengan sistem pajak gadai Islam ini, ianya juga adil boleh tebus semula. Sistem itu jauh lebih baik dengan tiada penipuan tidak seperti "ah long" yang cuba memerangkap mangsa dengan kadar faedah yang terlalu tinggi.

"Ar-Rahnu mampu mengurangkan dan membantu membasmi gejala haram “ah long” yang berleluasa di negara kita," katanya ketika berucap melancarkan Ar-Rahnu Bank Islam Malaysia Berhad di sini hari ini.

Najib berkata apa yang membanggakan Malaysia adalah negara diiktiraf sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa yang terbaik di London.

Beliau berkata sebelum ini sistem gadaian diperkenalkan pada kurun ke-19 kepada pelombong bijih timah namun ianya didapati membebankan golongan berpendapatan rendah.
"Justeru itu, kerajaan mencadangkan satu alternatif sistem pajak gadai melalui perkhidmatan Ar-Rahnu yang sesuai dengan syariat Islam. Ia satu lagi instrumen kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata skim ini merupakan alternatif kepada orang ramai khususnya yang berpendapatan rendah dan mengalami kesulitan kewangan, khususnya bagi modal perniagaan secara kecil-kecilan.

Katanya lebih 4.3 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada program mikro kredit Ar-Rahnu ini, yang telah diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia pada tahun 1993.

Najib berkata kerajaan amat peka dalam memastikan pelbagai lapisan masyarakat sama ada yang terdiri daripada syarikat terulung, syarikat Industri Kecil Sederhana mahu pun para peniaga kecil supaya mempunyai akses kepada pembiayaan kewangan.

"Inilah sebabnya saya telah menekankan pembiayaan Ar-Rahnu ini di dalam ucapan Bajet 2010 yang telah dibentangkan pada Oktober yang lalu," katanya.

Beliau berkata Ar Rahnu mempunyai kelebihan. kerana dalam memberi nilai gadaian yang sepatutnya, tidak mempunyai unsur riba, nilai gadaian yang tidak merosot, wang lebih gadaian yang dipulangkan.

"Malah tempoh pembayaran balik yang munasabah, dan pemberian notis kepada penggadai tentang upacara lelongan," katanya. - BERNAMA

Gempa kuat 7.1 Richter landa Irian Jaya, Indonesia

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 7.1 skala Richter melanda Irian Yaya, wilayah timur Indonesia dengan amaran tsunami dikeluarkan Jabatan Geofizik Indonesia sebentar tadi.
Gempa berlaku jam 12.16 tengah hari waktu tempatan (0316 GMT) di 123 kilometer di tenggara Pulau Biak, di Selatan Papua.
Sementara itu, di di Manokwari, kira-kira 300 kilometer di pusat gegaran di tenggara Indonesia, keadaan panik tercetus dengan penduduk meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri apabila amaran tsunami bersifat setempat dikeluarkan.
Penduduk mendakwa mereka lari ke tempat lapang selepas bangunan dan rumah bergegar.

“Gegaran kuat dapat dirasai sehingga 40 saat. Penduduk lari meninggalkan rumah dan bangunan," kata seorang wartawan di bandar itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan teruk di kawasan pusat gegaran gempa. - AFP