Followers

Saturday, June 5, 2010

Rachel Corrie dijangka memasuki perairan Gaza 2 petang ini

KUALA LUMPUR: Kapal Rachel Corrie yang sedang dalam misi bantuan kemanusiaan dijangka memasuki perairan Gaza kira-kira tiga jam lagi atau 2 petang waktu Malaysia sekiranya tidak menghadapi apa-apa kesulitan.
Wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Sufi Yusoff ketika dihubungi berkata, Rachel Corrie kini berada kira-kira 55 batu nautika dari pelabuhan Gaza. Enam warga Malaysia antara sukarelawan yang berada atas kapal itu
"Pada ketika ini, kesemua anak kapal berada dalam keadaan selamat walaupun terdapat tiga buah kapal peronda mengekori kapal tersebut sejak tiga ke empat jam lepas," kata Sufi yang juga pembantu kepada pengerusi PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Bagaimanapun, katanya, identiti kapal-kapal peronda berkenaan yang berada kira-kira enam hingga 10 batu di belakang Rachel Corrie tidak dapat dipastikan tetapi disyaki milik Isreal berdasarkan kepada visual yang diterima.

Sambil menolak khabar angin yang tersebar di internet yang mengatakan bahawa Rachel Corrie kini dikepung tentera laut Israel, beliau mengulangi kenyataan PGPO awal pagi ini bahawa mereka mengalu-alukan wakil daripada badan antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memeriksa Rachel Corrie.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak aktivis keamanan itu pada kira-kira 12.30 tengah malam, PGPO berkata sukarelawan di atas kapal MV Rachel Corrie mengalu-alukan badan antarabangsa memeriksa kapal itu.

Mereka mempelawa sebuah badan bebas, khususnya PBB untuk membuat pemeriksaan dan menentukan jenis kargo dalam kapal itu.
Para sukarelawan itu juga berikrar bahawa mereka terdiri daripada aktivis tidak bersenjata dan kapal itu tidak membawa sebarang senjata atau kelengkapan yang mungkin digunakan untuk tujuan berbahaya. - Bernama

Rachel Corrie diekori rapat tentera Israel: PGPO

KUALA LUMPUR: Perdana Global Peace Organisation (PGPO) memaklumkan kapal Rachel Corrie masih belum menerima sebarang ancaman daripada Tentera Laut Israel walaupun tiga bot tentera negara itu sedang mengekori rapat kapal berkenaan.
Dalam maklumat terkini menerusi laman Twitter, PGPO yang menaja kapal bantuan misi ke Gaza itu memberitahu, Rachel Corrie kini masih dalam perjalanan ke Gaza.
Penaung PGPO adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tentera Israel pintas kapal misi bantuan Rachel Corrie

BANDARAYA GAZA: Tentera Israel dilaporkan memintas kapal misi bantuan kemanusiaan Rachel Corrie yang turut mengandungi akitivis Malaysia awal pagi ini di 35 batu nautika menghampiri Semenanjung Gaza.

“Kapal Rachel Corrie sudah dipintas di 35 batu nautika di perairan Gaza,” kata Amjad al-Shawa, anggota jawatankuasa yang menyambut ketibaan sukarelawan berkenaan, di sini.
Kapal bantuan yang membawa pelbagai barangan perubatan dan peralatan sekolah untuk rakyat Palestin itu turut membawa enam sukarelawan Malaysia.
Kapal itu ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation yang penaungnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Al-Shawa berkata, beberapa bot peronda askar Israel dilaporkan mengepung kapal itu bagi menghalangnya menghampiri Gaza.

“Mereka cuba membawa kapal itu ke selatan pelabuhan Israel di Ashdod atau ke tempat lain," katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk komunikasi dalam kapal berkenaan sudah diputuskan.

Martin Quigley, jurucakap pemilik kapal yang berpejabat di Dublin, Ireland itu berkata, kapal itu yang membawa 15 orang itu kini gagal dihubungi.


“Mereka bersetuju untuk menghubungi kita sebaik mereka dikepung Israel tapi kami setakat ini masih gagal menghubungi semua penumpang menerusi telefon satelit.

"Ia seperti telefon itu sudah diputuskan isyaratnya," kata Quigley. - AFP

Bedah siasat mayat sukarelawan Gaza dipenuhi peluru

LONDON: Bedah siasat mayat sembilan warga Turki yang dibunuh tentera Israel ketika menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menunjukkan peluru berselirat dan kebanyakannya ditembak dari jarak dekat.
Akhbar British, The Guardian hari ini memetik Yalcin Buyuk, Naib Pengerusi Majlis Perubatan Forensik Turki yang menjalankan bedah siasat yang diarahkan oleh Kementerian Keadilan, menyebut salah seorang mangsa ditembak bertalu-talu lebih 30 kali.
Seorang mangsa, lelaki berusia 60 tahun pula ditembak empat kali di dahi, dada, pinggul dan belakang badan, manakala seorang warga Amerika kelahiran Turki ditembak dari jarak dekat di muka, belakang kepala, dua kali di kaki dan satu di belakang badan.
Dua lagi lekaki ditembak empat kali, lima mangsa ditembak di belakang badan dan kepala, kata Buyuk.

Ketika ini berlaku konflik antara pihak berkuasa Israel dan aktivis yang terbabit mengenai apa yang sebenarnya berlaku ketika dalam serangan pada waktu subuh Isnin lalu terhadap kapal ke Gaza itu.

Israel berkata, komandonya hanya melepaskan tembakan selepas mereka diserang dengan pisau, senjata tajam dan kayu.

Ketua Yayasan Bantuan Kemanusiaan Islam, KemaBulent Yildirim, berkata ketika serangan berlaku, aktivis hanya menggunakan batang besi sebagai mempertahankan diri. - AFP